Thursday 23 January 2014

Pantas lapor maklumat kepentingan rakyat...




Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman menggesa wartawan Bernama supaya lebih bersifat responsif terhadap isu-isu berkaitan rakyat dengan memberi penekanan ke atas penyampaian berita dengan cepat melalui aplikasi media sosial yang sedia ada.   
Dalam ucapannya ketika merasmikan majlis Menghargai Tenaga Pengajar Dalaman Bernama, beliau berkata: “Kita faham bahawa berita Bernama tidak boleh dikeluarkan serta merta tetapi sekurang-kurangnya tempoh masa sesuatu berita itu dikeluarkan seharusnya tidaklah  jauh jaraknya berbanding dengan pengamal media sosial lain”.  
Kira-kira 30 pegawai-pegawai kanan Bernama termasuk Timbalan Ketua Pengarang PBDN, Datuk Zakaria Wahab, TKP PBA, Encik Ahmad Zukiman Zain, TKP, PBE, Encik Amer Hamzah Md Sap, TKP, PAV, Encik Mokhtar Hussein dan para editor menghadiri majlis itu Pusat Kecemerlangan, Wisma Bernama hari ini.
“Perubahan  besar dalam teknologi membuatkan kita perlu bergerak pantas dan berada di hadapan dalam perkara yang melibatkan rakyat dan kerajaan. Jika tidak, Bernama akan ketinggalan,” katanya.
“Rakyat patut sentiasa diberitahu mengenai rasional dasar-dasar kerajaan. Pembaca perlu dididik, sebagai contoh, mengenai isu kenaikan harga barangan, di mana banyak lagi faktor yang mempengaruhi  harga tersebut, bukan semata-mata pengurangan subsidi petrol oleh kerajaan,” kata Abdul Rahman.
Justeru, katanya, selaku agensi berita tunggal di negara ini, Bernama harus menjadi nadi dalam aliran berita yang memenuhi kehendak rakyat.
Sehubungan dengan itu, di majlis tersebut, Datuk Zakaria meluahkan harapan supaya “wartawan bukan sekadar menjalankan tugas menyediakan berita malah mereka juga harus lebih berfikiran ke hadapan dengan membuat sesuatu untuk menjadikan berita mereka lebih padat. Wartawan perlu pandai bertanya untuk mendapatkan cerita yang lebih baik. Keupayaan seseorang wartawan itu amat penting kerana wartawan sampingan yang ada (di Bernama ) tidak ramai. “
Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, Program Bernama School of Journalism (BSJ) berjaya menghasilkan 145 kursus dengan penglibatan  lebih 2,200 peserta dalam kalangan petugas Bernama, warga Kementerian dan pihak swasta.
Antara kursus yang menyentuh kemahiran wartawan meliputi ‘Interviewing skills’ ‘English For Journalists’, ‘Handling Mistakes in Writing’, ’ Foreign News’ , ‘Bahasa Melayu dalam Kewartawanan’ dan ‘Towards Excellence’, modul yang menitikberatkan etika dan professionalisme wartawan .  
Modul-modul baru yang akan diperkenalkan merangkumi ‘ Media & Kerajaan’ ; Undang2 & Etika Kewartawanan’, ‘Sports Journalism’  serta ‘ Kewartawanan Media Sosial’.
Dalam pada itu, bekas wartawan Bernama juga berpeluang menyertai skim BSJ selaku Tenaga Pengajar. 
Individu atau institusi yang berminat menyertai kursus yang dianjurkan Bernama,  boleh menghubungi Sekretariat BSJ di talian 03 2050 4550.  

Catatan Syed Khedher Ismail





No comments:

Post a Comment