Monday 13 January 2014

Pampasan insurans untuk keluarga Allahyarham Mokhsin...


   Balu Allahyarham Mokhsin Bakhari, yang pernah berkhidmat sebagai pembantu tadbir  di Bernama Terengganu, hari ini menerima wang pampasan insurans berkelompok berjumlah RM162,874.30.

   Bayaran faedah Skim Insurans Hayat dan Skim Insurans Kemalangan Berkelompok daripada Syarikat Takaful Ikhlas itu disampaikan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Ahmad Zukiman Zain kepada Puan Noriah Hamid Sultan di rumahnya di Seberang Takir, Kuala Terengganu.

  Ketua Biro Bernama Terengganu Amrizan Madian turut hadir.

  Sambil berharap pampasan itu dapat meringankan beban Noriah, Zukiman berkata Bernama sentiasa mementingkan kebajikan kakitangan dengan melakukan apa yang terdaya untuk mereka.

   Noriah menyatakan terima kasih dan rasa terharu serta mengakui wang pampasan itu sedikit sebanyak dapat membantunya menyara keluarga. 

  Beliau mempunyai tiga orang anak termasuk seorang yang masih menuntut di universiti.

  Allahyarham  Mokhsin meninggal dunia selepas dilanggar sebuah van syarikat penghantaran ekspres di atas Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada 24 Oktober lepas.

 -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment