Tuesday, 5 September 2017

Food truck sementara kafeteria tutup...

Perkhidmatan food truck mula beroperasi di Wisma Bernama hari ini berikutan penutupan sementara kafeteria mulai 1 September 2017.
Kafeteria ditutup sementara berikutan tamatnya kontrak pengusaha kafeteria Syarikat Abur Emas Sdn Bhd pada 31 Ogos 2017.
Sehubungan itu, pihak pengurusan menyediakan perkhidmatan food truck untuk kemudahan petugas sehingga kafeteria beroperasi semula yang dijangka Oktober 2017.
Perkhidmatan itu beroperasi dari pagi hingga pukul 3 atau 4 petang dengan menawarkan menu seperti kuih muih, nasi lemak, masakan goreng, Western dan sebagainya.
Jawatankuasa Kantin dibantu oleh Bahagian Pentadbiran telah membuka tawaran sewaan kafeteria dan Perkhidmatan Menyediakan Makanan Bermasak Islam yang telah diiklankan di BERNAMA.COM pada 25 Julai 2017.
Seramai tujuh pengusaha telah menyertai tawaran itu tidak termasuk pengusaha sebelum ini.


Monday, 4 September 2017

Pentingnya persediaan untuk mengerjakan Haji...

Pegawai Berita Meja Bahasa Arab, Muammar Eusouffi Zainol Abidin, yang kini berada di Tanah Suci, menceritakan betapa mencabarnya bagi sesiapa yang tiada persediaan untuk mengerjakan ibadah Haji.
Start dari Arafah lagi..panas mencecah 42c di Arafah,” katanya.
“Kami duduk di situ selama dua hari..tapi Alhamdulillah khemahnya lebih besar dari tahun sebelumnya..Kami sentiasa tertanya apa ujian seterusnya..
“Lepas Arafah pergi bermalam di Muzdhalifah, hanya beralaskan sekeping tikar di atas padang yang sangat luas..
“Setiap tempat yang kami tinggal, kami cuba muhasabah dan menghayati kembali sejarah serta pengajaran tempat tersebut
“Bagi saya, tempat paling mencabar ialah di Mina, kami bermalam selama tiga hari dengan khemah dan tandas yang agak padat.
“Di Mina, kami melontar dengan jalan kaki pergi balik 7km selama 3 hari.
“Sebab tu kalau tak excercise (di Malaysia) sebelum pergi memang badan terkejut.
“Khemah pula kena sumbat 18 orang dalam tu.
“Kalau tidur memang tak boleh beralih arah.
“Tapi apa-apa pun saya sangat bersyukur,” kata Muammar yang sudah kembali ke  Makkah dari Mina – sejauh 10 km  dengan bas pagi ini.
“Rutin harian kini ke Masjid dan buat umrah,” katanya.
“Alhamdulillah dengan semua rezeki yang diberikan…kami jemaah dari Bernama semua ok,” katanya.
“Kesihatan kami semua ok Alhamdulillah…semua dapat lakukan ibadah haji dengan baik..”
Muammar berlepas ke Tanah Suci pada 27 Ogos lepas bersama-sama Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh yang diiringi isterinya Datin Ruhiza Hashim, Pengarah Operasi Bernama News Channel (BNC) Hakimi Zuffrida Mohd Zain dan mantan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Puan Salbiah Said, yang kini bertugas dengan Unit Portal.
Mereka dijadual pulang ke tanahair pada 26 Sept setelah menziarahi tempat bersejarah di Madinah.
Muammar juga akan mengiringi Datuk Zulkefli yang dijadualkan melawat Agensi Berita Antarabangsa Islam (IINA) yang dinaungi Petubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Khamis ini.

Sunday, 3 September 2017

Terima kasih daripada Azlan Idris...

"Selamat Harijadi yang ke-10 Tahun BERNAMA Radio (3 Sept 2007 - 2017). Alhamdulillah dan Syukur di atas segala Rahmat-Nya. Terima kasih kepada pasukan yang cemerlang (Dahulu dan Kini), Pihak Pengurusan BERNAMA, rakan-rakan yang sama membantu sebagai Peneraju/Penerbit Sambilan, Host-host Program serta sokongan pendengar dan penaja selama ini. SALUTE! Kami Tidak "Femes" tapi Hebat!!!"
-- Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio, Azlan Idris

Selamat ulangtahun ke-10 Bernama Radio...

Pada hari ini dalam tahun 2007, Bernama Radio (dahulu Bernama Radio24) mula bersiaran sebagai radio berita 24 jam. Tarikh ini dipilih sesuai dengan frekuensi 93.9FM untuk 3 haribulan 9 atau 3 September.
Selamat menyambut ulangtahun ke-10 Bernama Radio.
Seorang petugas perintis Bernama Radio, Essan Yahya berkongsi pengalaman berikut:
"Tahun 2007 aku memulakan kerjaya sebagai seorang wartawan di sebuah stesen Radio yang masih belum punya nama, Studio masih belum siap, Frekuensi masih belum ke udara dan program masih dalam perancangan.
Melangkah masuk (1 Julai 2007) dengan 18 orang kakitangan baharu, pelbagai latar belakang yang rata-ratanya bukan dari bidang penyiaran. Aku memilih untuk menjadi petugas awal dengan menolak tawaran dari sebuah stesen TV dan Akhbar ketika itu yang gajinya jauh berbeza dari aku terima ketika itu (RM1300 Basic).
Walaupun bukan kerjaya pilihan sebagai Wartawan Radio, aku berusaha untuk ikhlaskan hati menerima rezeki tuhan dan yakin dengan kejujuran. Selama 3 bulan 'team' ini bekerja, memilih nama radio, mengatur program, konsep dan sebagainya, 3 SEPTEMBER 2007, 'RADIO24' memulakan siaran dengan satu jajahan frekuensi di Lembah Klang 93.9FM.
Konsep? Radio Berita sepenuhnya dan menjadi satu-satunya Radio Berita di Malaysia. Saluran Radio Berita Pertama Negara!
Tapi sebelum itu, Aku wartawan pertama dihantar keluar untuk tugasan (LID Langkawi) walaupun masih belum memulakan siaran, tugasan untuk melaksanakan liputan simulasi radio. (Akan dikenang sampai bila-bila)
Selepas memulakan siaran, Radio24 melalui beberapa fasa yang jauh berbeza. Sehinggalah Ketua Pegawai Operasinya yang turut bertukar dengan pengurusan yang berbeza tetapi membawa hala tuju yang sama. Bermula daripada Datuk Syed Jamil, kepada Tuan Sheikh Raffie dan En Azlan Idris sekarang.
Perjalanan kerjaya aku turut melalui perubahan yang sangat ketara. Sifu/Cikgu Pak Openg Onn Net banyak mengajar aku menjadi seorang wartawan dalam penulisan dan penyampaian sebagai penyiar Radio termasuk ilmu yang dicurahkan En Letfee Ahmad dan tidak dilupakan Kak Sab!!
Begitu laluannya sebagai sebuah stesen radio, stesen ini turut bertukar nama demi penjenamaan. Secara ringkas :-
Radio24 -> Bernama Radio24 -> Bernama Radio (Sekarang)
Begitu juga dalam kerjaya aku di Bernama Radio, bermula sebagai Wartawan, bertukar kepada Penolong Penerbit, diberi tanggungjawab khusus sebagai Penerbit Berita.
Daripada seorang Penerbit Berita, aku ditukarkan menjadi Penerbit Rancangan dan mengendalikan Program Dalam Radar. Selang beberapa tahun, Aku diberi tugasan untuk mengendalikan Unit Rancangan sebagai Penerbit Kanan Rancangan.
Walaupun mula selesa dengan tanggungjawab berkenaan, aku akur dengan pertukaran seterusnya kepada jawatan sebagai Wartawan Penyiaran Kanan. Masa ini cukup singkat, selepas beberapa bulan, aku dipinjamkan pula selama setahun sebagai Penerbit Kanan Bernama News Channel BNC (ketika ini untuk Program Utama BNC iaitu Ruang Bicara)
Hari ini genap 10 tahun siaran Bernama Radio. Bermula dengan frekuensi 93.9FM di Lembah Klang, jelajah frekuensi diteruskan di Johor 107.5FM, Kota Kinabalu 107.9FM dan Kuching 100.9FM.
Hubungan kerjaya aku dengan Bernama Radio sangat akrab, hubungan jiwa dan rasa, hubungan tenaga dan usaha, juga hubungan ikhlas dan agama.
Benar. Bernama Radio membuka jalan dan peluang serta menambah ruang untuk aku lebih mengembara ke luar negara, memahami apa yang kabur sebelum ini dan menjadi laluan untuk aku mengetahui sesuatu perkara.
Syukur walau aku tidak popular, syukur walau petugas biasa, Syukur apa yang ada dan syukur aku bersamanya.
Di sini jalinan keluarga tercipta, di sini jalinan ukhwah bermesra, di sini jalinan sahabat di jaga dan di sini juga lah perpisahan itu nyata!
SELAMAT ULANGTAHUN KE 10 DAN TERIMA KASIH BERNAMA RADIO.
10 Tahun aku bersamanya
10 Tahun aku mencipta suka dan duka
10 Tahun aku merakam bahagia
10 Tahun ke udara
10 Tahun aku yang punya banyak Cerita

-EY2017-"

Saturday, 2 September 2017

Petugas media bantu jemaah haji dapat perhatian Asyraf Wajdi...

Kemuliaan hati petugas media membantu seorang jemaah haji Malaysia yang kekejangan otot semasa pulang ke khemah penginapan selepas melontar Jamrah Kubra malam tadi, menarik perhatian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi melalui catatan dalam laman Facebook hari ini menyatakan bahawa beliau tersentuh hati dengan pertolongan yang dihulurkan kepada warga emas itu oleh tiga petugas media berkenaan iaitu wartawan Elmi Rizal Elias dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Ahmad Lokman Mansor (New Straits Times) dan Ainol Amriz Ismail (Utusan Malaysia). 
Tiga wartawan itu mewakili pertubuhan masing-masing membuat liputan Haji tahun ini dalam kumpulan petugas media yang diuruskan oleh Tabung Haji.   
"Sememangnya melontar merupakan saat yang paling mencabar buat jemaah haji Muassasah Malaysia kerana terpaksa berulang alik sejauh 7.5 kilometer dari khemah yang menempatkan jemaah haji Asia Tenggara termasuk Malaysia ke Kompleks Melontar Jamrah.
"Sama-sama kita doakan agar Allah memberikan kekuatan dan kemudahan kepada seluruh jemaah haji Malaysia untuk menyempurnakan segala manasik haji sekali gus mendapat haji yang mabrur," katanya yang turut memuat naik gambar petugas media berkenaan membantu jemaah tersebut.
Kesemua jemaah haji Malaysia akan berada di Mina sehingga 13 Zulhijjah (4 Sept) ​​untuk melontar di ketiga-tiga jamrah  - Sugra, Wusta dan Kubra – pada Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Jemaah haji yang melakukan 'nafar thani' akan bermabit (berada seketika atau bermalam) di Mina sehingga 13 Zulhijjah, manakala jemaah yang melakukan 'nafar awwal' akan berada di Mina sehingga 12 Zulhijjah (3 Sept).
Setelah selesai melakukan ibadat melontar, jemaah Malaysia akan ke Makkah untuk tawaf dan saie bagi menyempurnakan rukun haji.
-- BERNAMA



‘Baju Bendera’ semarakkan semangat patriotik...

Setiausaha Pejabat kepada Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Maizuriana Hassan (Nana) berazam menjadikan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka sebagai acara tahunan yang akan dikunjungi oleh keluarganya. 
“Saya sangat menghargai jasa-jasa pejuang-pejuang kemerdekaan...sambutan tahunan perarakan di Dataran Merdeka amat saya nantikan sebagai satu acara tahunan keluarga saya. Saya cuba terapkan dalam jiwa anak saya apa itu kemerdekaan. 
“Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berterima kasih atas usaha pihak-pihak berkenaan menzahirkan sambutan Hari Kemerdekaan.
“Kita tak nak belia-belia kita lupa betapa susahnya nak memerdekakan Tanah Melayu!,” kata Nana.
Semangat patriotik itu mula meresapi puteri kesayangannya Marlissa Aurora Hezrin Mohamad Harris Fadhillah atau Aurora, 6 tahun, yang mengikuti pendidikan pra-sekolah di Tadika Little Caliph Taman Dagang.
“Semangat (dia) berkobar-kobar...seminggu sebelum (31 Ogos) hari-hari tanya nak pergi jam berapa, nak pakai baju bendera apa,” kata Nana.
Mereka bertiga sekeluarga serta empat orang keluarga kakak Nana berada di Dataran Merdeka menyaksikan perarakan dan acara sambutan pada pagi Khamis.
Malah, Nana terkejut kerana ramai yang meminta untuk bergambar dengan Aurora yang memakai ‘baju bendera’ yang dijahit oleh ibu Nana menggunakan dua bendera.
“Ibu jahit baju dia start pukul 6 pagi...sejam siap..7.15 pagi dah pergi LRT,” kata Nana.
“Masa pagi tu ada ngan topi...dah rupa macam wanita Britain ja,” katanya.
Beliau berkata baju itu disiapkan pada saat akhir kerana ibunya perlu memenuhi  tempahan jahitan yang banyak diterima.
“Dah biasa last-last minute, standard la tukang jahit...baju keluarga nyaris je dapat..tapi cucu punya pasal mesti dapat punya laa.
“Kebetulan banyak budak-budak tadika nak baju bendera..ada buat baju Melayu..baju kurung..dress..semangat kemerdekaan menyerlah dalam rumah.
“Kami berdua share pendapat reka letak bendera...semarakkan sambutan Merdeka,” katanya.

Friday, 1 September 2017

Meniti perjalanan Haji di Tanah Suci...

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Makkah

Ketika umat Islam menyambut Aidiladha di kampung halaman, peserta Kembara Inspirasi Haji menyertai lebih dua juta umat Islam untuk melaksanakan rukun haji seperti melontar jamrah,  tawaf, saie hajib serta bertahlul. 
Walaupun dibahagikan kepada dua kumpulan di Tanah Suci Makkah, namun para peserta itu dapat melaksanakan ritual haji dengan baik.
Satu kumpulan yang terdiri daripada pengarah projek kembara Khir Ariffin dan Zikri Fuad Abdul Salam serta Jasmi Jantan dan Zuraini Abdul Malek ditempatkan bersama-sama jemaah dari China. 
Satu lagi kumpulan yang disertai Mohd Izam Maha Nor,  Muhammad Shahuri Zainudfin dan dua petugas media -- Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad dan jurukamera BNC Ahmad Shahuri Mat Jaan yang lebih dikenali sebagai 'Awi' ditempatkan dengan jemaah Indonesia. 
Kumpulan Khir melakukan tawaf dan saie serta bertahalul selepas bermalam di Muzdalifah sehingga 2 pagi manakala kumpulan Mohd Izam melontar Jamrah Aqabah dan bertahlul awal selepas bermalam di Muzdalifah dan berhenti sebentar di Mina. 
Kumpulan Khir akan melontar Jamrah Aqabah sebelum tengah malam ini sementara kumpulan Mohd Izam akan melontar Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra menjelang Subuh.
Bagi Khir, beliau bersyukur kerana pengembaraan sejauh 16,000 kilometer adalah satu persiapan diri dari segi mental dan fizikal yang memudahkan para peserta menunaikan ibadah Haji.
"Saya bersyukur sebab dapat menunaikan ibadah haji walaupun kita menghadapi pelbagai rintangan.  Dan lebih bermakna kerana saya dapat melakukannya dengan isteri Ain Suhana Noruzaman", katanya.
Sebelum itu, kedua-dua kumpulan mengutip batu di Muzdalifah dan bermalam di situ sehingga selepas tengah malam tadi.
Sementara itu, wartawan Bernama, Elmi Rizal Elias yang menyertai pasukan media untuk liputan Haji melaporkan bahawa hubungan baik di antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi menyaksikan jumlah jemaah Malaysia pada musim ini meningkat sebanyak 1,100 orang berbanding 30,200 jemaah yang diumumkan sebelum ini.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata daripada laporan yang diterima, sebanyak 31,300 jemaah Malaysia berada di Tanah Suci untuk melaksanakan Rukun Islam Kelima itu.
“Mengikut laporan daripada pengurusan Tabung Haji, setakat hari ini (semalam) jemaah haji Malaysia yang berada di Arafah adalah sebanyak 31,300 orang,” katanya kepada pemberita di Arafah pada Khamis.
Malam tadi, jemaah haji Malaysia bergerak ke Muzdalifah secara berperingkat untuk mabit (bermalam) sebelum terus ke Mina.
Di Mina, jemaah Malaysia akan melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah (1 Sept) sebelum melontar ketiga-tiga jamrah – Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra –  pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
-- BERNAMA

Berkorban Apa Saja...

"Semoga ini pun diterima sebagai satu pengorbanan jugak. Orang beraya dengan keluarga di rumah, kami beraya di tempat kerja. Oleh itu diharap sanak saudara dan sahabat handai fahamlah kenapa saya tak dapat beraya bersama kalian dan membantu tenaga dalam kerja korban. Apa boleh buat. Dah ini menjadi lorong mencari rezeki.
Sementara tu, terima kasih kepada sdr Hammad yang membawa nasi beriani, Dang Fatiha (nasi kerabu) dan Nurul Afida (kek pisang) untuk dikongsi. Terasalah juga suasana raya."
-- Shamsudin Puteh