Thursday, 31 August 2017

Peserta Kembara Haji berwukuf di Arafah...

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Makkah

Selepas bermusafir lebih 40 hari meninggalkan Malaysia dengan dua buah kenderaan pacuan empat roda, lapan anggota peserta Kembara Inspirasi Haji  yang tiba di Tanah Suci pada Isnin kini berwukuf di Arafah bersama-sama dengan hampir dua juta jemaah haji dari seluruh pelosok dunia.
Peserta kembara itu termasuk dua petugas Bernama News Channel (BNC) sebelum ini melalui pengembaraan sejauh 14,700 kilometer merentasi lapan buah negara.
Mereka berdepan cabaran terkandas selama seminggu di Dubai setelah gagal mendapatkan visa haji namun itu tidak dapat menghalang hasrat mereka menunaikan ibadah haji tahun ini.
Semua peserta kembara itu tiba di Padang Arafah malam tadi secara berperingkat tanpa sebarang masalah pengangkutan.
Di Arafah, peserta kembara dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama diketuai Pengarah Projek Khir Ariffin ditempatkan di khemah jemaah dari Filipina manakala satu lagi kumpulan bersama jemaah haji dari Indonesia.
Menurut Penyelia Khemah jemaah haji Indonesia Ustaz Fairuz Abady Firdaus, peserta kembara terpaksa diletakkan di khemah jemaah haji Indonesia dan Filipina kerana mereka bukan kalangan jemaah Tabung Haji.
​​​​​​​​​​​​​​"Mereka juga dipisahkan kerana kedua-dua khemah itu hanya boleh menampung bilangan jemaah yang telah ditetapkan," katanya ketika diminta memberi penjelasan sebab peserta kembara terpaksa dipisahkan kepada dua kumpulan.
​​​​Bagi Khir pula, mereka redha dan bersyukur diletakkan di khemah jemaah Filipina dan sekadar berkata:  "Yang penting kita ada tempat tinggal bagi membolehkan kita berwukuf”.
Di khemah jemaah Indonesia, seorang peserta kembara, Muhammad Shahuri Zainuddin berpeluang melaungkan azan subuh di satu daripada khemah itu sebelum mereka menunaikan solat subuh berjemaah dan mengikuti kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Baharin Zainal Abidin.
Terdahulu, ketika berada di tempat transit jemaah haji sebelum ke Padang Arafah, Muhammad Shahuri dan seorang lagi peserta Mohd Izam Mohd Nor sempat mengagihkan ubat-ubatan seperti ubat sakit kaki kepada jemaah haji yang berada berhampiran mereka.
-- BERNAMA

Bangga sebagai rakyat Malaysia...

Wartawan Sharifah Hunaini Syed Ismail yang ditugaskan membuat berita rangkuman perbarisan sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di seluruh negara hari ini berasa bertuah diberikan tanggungjawab itu.
“Banyak saya kena study..satu-satu dari sambutan yang lepas-lepas sampailah kepada yang hari ni.
“Bila study tu saya faham..saya dapat rasa nilai-nilai merdeka tu...bukan setakat sekadar tanggungjawab nak kena hasilkan berita tapi rasanya semangat saya, cintanya saya kepada Malaysia semakin mendalam.
“Bangganya saya lahir di Malaysia,” kata Sharifah Hunaini yang perlu membaca berita-berita yang dihasilkan oleh para wartawan di negeri-negeri untuk membolehkan beliau membuat berita rangkuman sambutan itu.
“Nampaknya semangat yang cuba disampaikan di Dataran Merdeka hari ini tidak ada bezanya di negeri-negeri.
"Pada saya, elemen perpaduan itu signifikan...kalau tak ada perpaduan, Malaysia tak jadi seperti hari ini.
Perjuangan membangunkan negara turut digambarkan dalam acara sambutan, kata Sharifah Hunaini yang berada "dua, tiga kali" di Dataran Merdeka untuk melaporkan mengenai raptai sambutan.
"Memang sebagai reporter penat sebab terpaksa berhujan dan berpanas ulang alik ke Dataran..baru-baru ini kena hujan tetapi mujur tak  demam...he he he,” katanya.
Beliau berkata pasukan muda Bernama terdiri daripada “enam hingga tujuh orang adik-adik” yang ditugaskan melaporkan acara dan sekitar sambutan di Dataran Merdeka telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Berita yang dikeluarkan Bernama menyatakan sambutan itu “Umpama menyelak helaian buku sejarah bermula daripada  kemerdekaan 31 Ogos 1957”.
Sejarah laluan 60 tahun negara yang menakjubkan disajikan secara amat istimewa dan penuh nostalgia disaksikan ribuan hadirin di dataran bersejarah itu.
Stesen-stesen utama televisyen tempatan termasuk Bernama News Channel menyiarkan secara langsung persembahan tahun ini yang mengembalikan detik bagaimana tanah air dibina hasil kepayahan yang diatasi  secara kebersamaan dan perkongsian kuasa oleh anak Malaysia.
Gambaran kegemilangan Malaysia setiap era di bawah teraju enam  Perdana  Menteri dikisahkan secara imbasan babak demi babak daripada sebuah negara yang baru  merdeka kini di ambang negara maju.
Bertepatan dengan tema sambutan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’, semangat kesepaduan, kesefahaman dan kekitaan bukan sahaja terserlah pada wajah barisan kepimpinan  negara tetapi juga terpancar pada peserta dan orang ramai yang membanjiri lokasi seawal 6 pagi.
Acara sambutan bermula dalam cuaca cerah pada 8 pagi dihadiri Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan pemimpin negara daripada pelbagai latar belakang serta ribuan orang ramai.

Wednesday, 30 August 2017

Syabas Team SEA Games KL2017 Bernama...

Pusat Media Bernama SEA Games KL2017 di Mitec ditutup secara rasminya petang ini selepas selesai berita terakhir hasil sidang akhbar penutup oleh Kontinjen Malaysia yang diadakan pada 3.45 petang.
Operasi selanjutnya termasuk semua liputan Majlis Penutupan rasmi Sukan SEA KL2017 dan sambutan Ambang Merdeka malam ini diproses dari ibu pejabat.
Team Bernama mula beroperasi di Mitec pada 10 Ogos dengan bekerja dari 8 pagi dan ada kalanya sehingga 2 pagi.
Ketua kontinjen Team SEA Games KL2017 Bernama, Pengarang 1 Meja Berita Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Haji Khairdzir Md Yunus merakamkan catatan berikut:

"Tahniah team Sukan SEA KL 2017 Bernama

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Sukan SEA KL2017 akan melabuhkan tirainya malam ini.

Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota Team SEA Games KL 2017 Bernama kerana telah "Bangkit Bersama" untuk memberikan liputan terbaik untuk temasya sukan dwitahunan terbesar rantau Asia Tenggara ini.
Syabas dan tahniah kerana bagi saya anda semua adalah "yang terbaik daripada yang terbaik"  dan layak diberi pingat emas untuk acara "Kerja Lasak Berpasukan"  (Team Work Endurance).
Setiap anda telah mempamerkan semangat dan dedikasi yang tinggi sehinggakan ada dalam kalangan kita yang telah menjadi "selebriti segera" kerana klip video mengenai kegigihannya  melaksanakan tugas telah  tular dalam media sosial dan media massa.
Penghargaan khas untuk Ms. Tham Choy Lin yang telah banyak membantu team dan para "pilot" kenderaan Bernama yang bekerja siang dan malam tanpa mengira waktu.
Ucapan terima kasih juga buat Puan Lyn dan Puan Masturi yang telah mengatur urusan logistik, pengangkutan dan makan-minum kita dengan cekap dan berkesan.
Pengharhargaan juga buat Penyelaras, Hj Shukri, En Muin dan Puan Sharifah Shahrizad yang telah menguruskan liputan dengan cemerlang.
Kepada Farhanah, Kamarul Irwan, Firdaus Azil dan team keputusan, anda telah memberikan yang terbaik.
Kepada team penyunting dan penulis kapsyen BM dan BI terima kasih kerana telah memastikan berita-berita dapat disampaikan dengan cepat dan tepat.
Kepada team wartawan dan jurufoto, termasuk Saudara Kamarul Ariffin dan team MMD andalah "tiang seri" kepada segala usaha ini. Tanpa anda maka runtuhlah apa juga yang telah kita bina.
Kepada team di biro-biro khususnya Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor, you are the best!
Tidak lupa juga kepada team TMK yang telah bekerja bertungkus lumus siang dan malam untuk memastikan sistem wifi dan BestV2 lancar.
Semoga semangat kerja berpasukan dan kegigihan yang anda tunjukkan sepanjang bertugas di Mitec dari 10 hingga 30 Ogos yang lalu akan berkekalan sampai bila-bila.
Jika ada salah silap, terlanjur kata-kata atau terkasar perbuatan saya selama ini, saya menyusun sepuluh jari meminta ampun dan maaf setulus hati daripada anda  semua.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2017.
Negaraku Sehati Sejiwa
dan,
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha

Maaf zahir dan batin.

Terima kasih.

Khairdzir Md Yunus

P/S: Pecahan team.
Pengarang 4 orang, Penulis khas 1, Sub BM 4, Sub BI 4, Wartawan Meja Am 10, Wartawan Meja Sukan 7, MMD 9, Jurufoto 16, Penulis kapsyen 4, Logistik 2, TMK 4, Pemandu 4,Wartawan biro 10, Jurufoto biro 7.






Jemaah Malaysia Mula Bergerak Ke Arafah

 Daripada Elmi Rizal Elias di Makkah

Kesemua 30,200 jemaah haji Malaysia pada Rabu, mula bergerak secara berperingkat ke Arafah untuk menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji, pada Khamis (31 Ogos).
Mereka bergerak daripada maktab penginapan masing-masing ke Arafah, yang jaraknya kira-kira 25 kilometer dari Masjidil Haram, bermula 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) pada 8 Zulhijjah (30 Ogos), dan dijangka selesai pada tengah malam ini.
Pergerakan jemaah melibatkan 20 bas disediakan bagi setiap maktab yang akan membawa jemaah dalam tiga penggiliran perjalanan.
Ini bermakna 280 bas disediakan bagi membawa jemaah di 14 maktab penginapan membabitkan keseluruhan 840 perjalanan.
Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyempurnakan majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji Maktab 74 dan 75 ke Arafah di Ibu Pejabat TH Makkah di Hotel Abraj Al-Janadriyah di Makkah.
Wukuf adalah rukun haji yang dilakukan dengan seluruh jemaah berada di padang Arafah pada satu waktu yang sama iaitu mulai daripada tergelincirnya matahari (waktu Zohor) pada 9 Zulhijjah (31 Ogos) sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.
Dianggarkan lebih dua juta umat Islam seluruh dunia akan berkumpul di Arafah untuk menjalani ibadah wukuf, rukun yang jika ditinggalkan menyebabkan haji tidak sah.
Cara pelaksanaan ibadah wukuf ini adalah dengan berdiam diri (dan berdoa) di padang luas di sebelah timur luar kota Mekkah.
Kesemua jemaah haji Malaysia akan berada di Arafah sehingga malam 31 Ogos. Mereka kemudian akan melakukan mabit (bermalam) di Muzdalifah dan melontar di Mina sehingga 13 Zulhijjah.
Seterusnya jemaah akan melakukan tawaf dan saie haji serta bertahalul di Masjidill Haram.
Di Arafah, kesemua jemaah Malaysia ditempatkan dalam khemah baharu yang pertama kali digunakan pada musim haji ini.
Khemah itu lebih besar serta kukuh, dengan setiap sebuah boleh memuatkan antara 150 dan 240 jemaah. Khemah berkenaan juga dapat menahan angin kencang serta kalis api.
Kipas angin berwap juga dipasang di setiap khemah dengan setiap maktab disediakan 150 unit bagi keselesaan jemaah.
Pada Hari Wukuf juga, lebih 1,000 jemaah akan mengambil bahagian pada majlis khatam al-Quran sempena World#QuranHour 2017.
Pada masa ini, keadaan cuaca di Arafah agak panas dengan suhu sekitar 40 darjah celsius.
-- BERNAMA 

Peserta Kembara Inspirasi Siap Sedia Berwukuf

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Makkah

Peserta Kembara Inspirasi Haji telah membuat persiapan bergerak ke Padang Arafah untuk menjalani ibadat wukuf bersama-sama jutaan umat Islam lain yang memulakan pergerakan ke sana pada Rabu.
Mereka bergerak pada sebelah tengah hari dan pada saat-saat akhir untuk memulakan pergerakan itu, mereka sempat menganjurkan kuliah subuh khas berkaitan proses haji dan kebesaran Arafah yang dibimbing oleh Ustaz Baharom di tempat kediaman mereka di Aziziah, dekat Makkah.
Kuliah itu membolehkan mereka mendalami pengetahuan ketika berada di Arafah, mengutip batu di Muzdalifah, bermabit di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah serta proses bertawaf mengelilingi Kaabah.
Bagi Mohd Izam Mahd Nor, yang pertama kali mengerjakan haji, kuliah itu didapati amat bermanfaat bagi melaksanakan Rukun Islam kelima, yang sudah lama dihajati.
"Alhamdullilah, ustaz atau pembimbing kita sepanjang berada di Arafah adalah seorang yang telah lama menetap di Tanah Suci, dan dia tahu selok belok keadaan di sini serta proses mengerjakan haji.
"Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik nanti dan tidak sabar untuk ke Arafah," katanya sambil bersiap sedia untuk menyusun barangan keperluan ke Arafah.
Semalam, semua peserta, kecuali Zuraini Abdul Malek, telah selesai melakukan tawaf qudum yang khusus bagi mereka yang melakukan haji Ifrad.
-- BERNAMA

Jamuan sempena Hari Kebangsaan, Hari Raya Haji dan Sukan SEA...


Tuesday, 29 August 2017

Datuk Zulkefli muncul di televisyen Arab Saudi...

Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh muncul dalam siaran berita sebuah televisyen Arab Saudi semalam yang melaporkan mengenai program pra-pelepasan Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci.
Wawancara itu dibuat oleh Gharawi Mohamed Ahmad dari Ekhbariya TV sebelum Datuk Zulkefli berlepas ke Jeddah di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada hari Ahad.
Malaysia menjadi negara perintis yang dipilih oleh kerajaan Arab Saudi bagi melaksanakan program itu yang diharap akan diteruskan pada musim haji akan datang. 
Dilaksanakan sejak Khamis lepas melibatkan 112 penerbangan haji, program rintis itu membolehkan jemaah diberi prapelepasan di KLIA dan mereka tidak perlu melalui pemeriksaan pasport di lapangan terbang Arab Saudi.
Melalui sistem itu, jemaah akan melalui pelepasan imigresen oleh pegawai Imigresen Arab Saudi di KLIA sebelum mereka menaiki pesawat.



InfoLibNews anjur aktiviti galakan penggunaan...