Thursday, 22 June 2017
Wednesday, 21 June 2017
Tuesday, 20 June 2017
Monday, 19 June 2017
Majlis Hari Raya Bernama 21 Julai...
Majlis Hari Raya Aidilfitri Bernama akan diadakan di tingkat 10, Wisma Bernama pada 21 Julai ini.
Tarikh itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Pengurusan pada mesyuarat bulanannya hari ini.
Majlis itu akan diadakan secara 'potluck' sepertimana sebelum ini.
Unit Komunikasi Korporat akan memanggil mesyuarat antara jabatan dan bahagian untuk menetapkan makanan yang masing-masing akan sediakan.
Saturday, 17 June 2017
Kakitangan Bernama rugi RM10,200 diperdaya panggilan palsu...
![]() |
| FotoBERNAMA |
Seorang kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM10,200 lesap sekelip mata akibat terpedaya dan panik dengan panggilan telefon seorang pemanggil yang menyamar sebagai pihak bank dan polis.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nadirah, 31, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku dia daripada sebuah bank, ketika sedang berada di pejabat Selasa lepas.
“Lelaki yang membuat panggilan itu memberitahu yang saya mempunyai tunggakan pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 dari sebuah bank di Pulau Pinang.
“Saya terkejut dan beritahu dia bahawa saya tidak pernah membuat sebarang pinjaman atau berurusan dengan bank terbabit. Namun dia kata dia sedang periksa perkara itu dan kemudian memberitahu ada orang lain guna nama saya buat pinjaman yang saya perlu selesaikan.Saya terus menjadi takut dan panik, katanya.
Nadirah berkata lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Fahmi Ismail itu kemudian menyambungkan panggilan kepada kononnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk bercakap dengan seorang anggota polis yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Fikri Abdul bagi menerangkan prosedur untuk menyelesaikan perkara terbabit.
Beliau berkata panggilan itu kemudian disambungkan pula kepada kononnya seorang pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPK Pulau Pinang yang dikenali sebagai Inspektor Peter Wong.
“Dia meyakinkan saya bahawa saya perlu menggunakan akaun bank sementara berikutan semua akaun bank milik saya akan dibekukan untuk siasatan. Kemudian saya diarahkan memindahkan semua wang yang ada dalam akaun bank saya ke dalam akaun bank yang diberikannya,” katanya.
Nadirah berkata orang itu turut meminta beliau memindahkan wang ke dalam sebuah akaun Bank Rakyat yang menggunakan nama Siti Sarah Abdul.
Beliau berkata orang yang mendakwa sebagai Peter Wong itu turut mengarahkan beliau menghantarkan gambar resit sebagai bukti pemindahan wang ke nombor telefon bimbitnya menerusi aplikasi WhatsApp, namun sebaik pemindahan wang dan bukti resit dihantar ke nombor berkenaan, semua nombor telefon itu gagal dihubungi semula.
Terkilan dan menyedari tertipu akan kejadian itu, Nadirah segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.
“Kita sudah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
-- BERNAMA
Biskut Raya diberi nama Bernama...
Seorang pengusaha kuih di Johor Bahru memperolehi idea untuk menamakan dua produk terbaharunya iaitu biskut dahlia susu dan macaron nutella dengan nama Bernama -- singkatan bagi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia untuk mencipta kelainan di Aidilfitri ini.
Mohd Naharudin Isa, 48, berkata idea itu tercetus setelah mengenali Bernama melalui siaran radio dan televisyennya dan pernah berurusan dengan petugas Bernama.
“Kebetulan pula tiada lagi kuih-kuih raya yang diberikan nama seperti ini,” katanya kepada Bernama.
Tambahan pula menurutnya, biskut dahlia susunya adalah berwarna putih dan biru yang disaluti coklat cip manakala macaron nutella juga berwarna biru berintikan coklat kegemaran ramai iaitu nutella.
Biru dan putih adalah warna logo Bernama.
Berjinak dalam bidang membuat biskut hampir 20 tahun lalu, Mohd Naharudin mempunyai identiti tersendiri dalam kalangan peminat kuih dan biskut di sini di mana beliau mempunyai gerai jualan dan gerai membuat biksut Nahar Power di pusat beli-belah Angsana dan Kampung Melayu.
Dalam gerainya kelihatan 45 jenis kuih raya tradisional dan moden selain 80 jenis kerepek dan makanan ringan.
Seorang pelanggannya warga Singapura, Rahmat Da’ed, 52, memberitahu beliau menyukai biskut Mohd Naharudin kerana rasa dan teksturnya yang berlainan selain menepati citarasanya.
"Hampir setiap tahun menjelang Aidilfitri saya akan ke sini, ia menjadi kemestian bagi saya,” katanya.
Seorang lagi pelanggan tetap Faizal Ujang, 35, pula berkata harga yang ditawarkan Nahar Power adalah berpatutan.
"Berbeza di tempat lain, harga biskut di sini sangat berpatutan dan pengusahanya sendiri tidak lokek untuk memberi harga yang murah apabila pelanggan tawar-menawar," katanya.
Sempena Aidilfitri ini dan untuk menghargai sokongan pelanggan terhadap perniagaannya, Mohd Naharudin memutuskan untuk menghadiahkan satu daripada dua jenis biskut Bernama kepada pelanggannya bagi setiap pembelian biskut lain.
Friday, 16 June 2017
Duta Besar Malaysia di Indonesia rai media Indonesia berbuka puasa...
Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim meraikan kira-kira 20 editor dan wartawan kanan media tempatan di Indonesia dalam majlis berbuka puasa malam ini.
Antara yang hadir Timbalan Ketua Pengarang agensi berita Antara Aulia Badar dan Pengurus Pengacara dan Bakat TVone Divi Lukmansyah, wartawan akhbar tempatan, pegawai kanan kedutaan dan Ketua Biro Bernama di Indonesia Azeman Ariffin.
Aulia pernah menjadi pewarta Antara di Kuala Lumpur sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang.
Zahrain berkata majlis itu bertujuan merapatkan hubungan antara kedutaan besar Malaysia dengan pemimpin media selain dapat berkenal mesra antara satu sama lain.
"Kita sentiasa meraikan wartawan Indonesia dan menganjurkan pelbagai majlis untuk mengeratkan hubungan antara pengamal media dengan kedutaan," katanya.
Katanya wartawan tempatan juga akan diundang ke majlis rumah terbuka di residensi kedutaan pada 15 Julai depan.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Posts (Atom)













