Monday, 12 June 2017

Cabaran membentuk kematangan...

Wartawan Ahmad Muliady Abd Majid mencatatkan di Facebook pengalaman kerja yang meninggalkan kesan mendalam dalam kerjayanya. 
"Antara pengalaman dan cabaran kerja dalam bidang media yang akan aku ingat sampai mati:
1. pengalaman pertama bertugas di oversea (luar negara) di Guangzhou, China apabila cover Para Asia Games berjalan sejauh mata memandang dalam hujan salji keliling stadium buat aku rasa nak nangis kepenatan dan sejuk gara-gara teksi hantar salah pintu.
2. terpaksa masuk wad gara-gara hidrasi akibat cuaca panas ketika cover Asia University Games di Shenzen, China.
3. Termakan daging khinzir ketika bertugas Guangzhou.
4. Sesat entah ke mana hampir dengan sempadan Korea Utara gara-gara tak jumpa venue ketika Asia Games di Incheon, Korea Selatan.
5. Berjalan kaki sampai kaki bengkak dalam cuaca panas di stadium ketika cover Sukan SEA Games Myanmar gara-gara tak ada teksi.
6. Jalan kaki sampai kaki melecur ketika cover tragedi tanah runtuh gara-gara kereta tak dapat gerak.
7. masa mula-mula kerja tak ada transport cover PRU (Pilihanraya Umum)...tengah malam jalan kaki nasib baik ada wartawan senior tolong hantar balik office
Semua orang alami cabaran tapi cabaran tersebut buat kita matang....hee"

Salam Nuzul Quran...


Sunday, 11 June 2017

Oren botol Cap Ayam menjelang Aidilfitri...

Menjelang  Aidilfitri, ada yang telah memuat-naik di Facebook foto dan catatan mengenai persiapan Hari Raya.
Selain pakaian dan perkakas rumah, persediaan mengenai makan minum turut menjadi bahan nukilan.
Foto hiasan daripada Facebook
Antara foto yang menarik perhatian ialah bekalan minuman botol Cap Ayam yang diperolehi daripada kilangnya di Kelantan untuk berhari raya di ibu negara.
Minuman botol itu cukup terkenal satu ketika dahulu dan menjadi kegemaran semasa hari raya.
Encik Letfee Ahmad, Encik Shamsudin Puteh dan Encik Adnan Yahya memang ingat sangat air botol minuman Cap Ayam yang amat popular dengan perisa oren.
Selain itu, ada juga perisa sarsi serta soda dan halia.
"Masa sekolah dulu, harganya 10 sen sebotol," kata Encik Shamsudin.
"Ada lagi minuman itu di Kelantan?...kena cari ni," kata Encik Letfee.
Encik Adnan berkata minuman itu tidak banyak di Perlis tetapi masih ingat bahawa ia disebut sebagai "air Kelantan" yang mempunyai botol berleher panjang.
"Yang popular di Perlis sirap cap bunga Rose. Setiap kali bulan puasa bagaikan kemestian menikmati sirap Cap Rose yang disertakan biji selasih.
"Kadangkala sirap cap Rose dicampur cincau yang penduduk Perlis sebut sebagai lengkong," katanya.
Bagi Haji Nasir Yusof, yang berasal dari Kelantan, beliau bukan sahaja ingat oren botol Cap Ayam tetapi kerap meminumnya.
"Sayapun ada simpan sebotol di opis," katanya.

Saturday, 10 June 2017

Kuih tradisional tarikan bazar Ramadan...

Bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa kini sebati dengan masyarakat Malaysia. Ia dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat yang mahu mendapatkan makanan kegemaran mereka.
Antara sebab bazar Ramadan menjadi tarikan ialah adanya makanan terutama kuih muih tradisional yang hanya boleh didapati semasa bulan puasa.
Wartawan Nor Fazlizai Ali melaporkan mengenai keunikan kuih-muih tradisional ini yang dijual di Bazar Dataran Shahbandar, Terengganu.
Bazar itu mempunyai lebih 100 gerai.
Antara kuih yang disebutkan ialah Asam Gumpal, Nekbat, pisang salai, Patit Toyo dan Aji Serban.
Asam Gumpal diperbuat daripada sagu dan mempunyai inti kacang manakala nekbat menggunakan tepung dan telur yang disira untuk dimakan.
Kuih Patit Toyo pula diperbuat daripada sagu, gula dan tahi minyak.
Kuih Aji Serban menggunakan telur, nisan dan santan serta pulut.    






Friday, 9 June 2017

Bank Islam anjur majis berbuka puasa untuk petugas Bernama...

Sebagai menghargai sokongan media, Bank Islam menganjurkan majlis berbuka puasa untuk para petugas Bernama di Wisma Bernama hari ini.
Ketua Pegawai Syariah Bank Islam, Mohd Nazri Chik berkata majlis itu juga mengambilkira rakan-rakan dari media yang terpaksa berada di pejabat kerana tugas ketika orang lain berbuka bersama-sama keluarga di rumah.
"Kita telah beberapa tahun datang ke Wisma Bernama," katanya.
Bank Islam meningkatkan aktiviti kebajikan dalam bulan Ramadan setiap tahun termasuklah mengadakan majlis berbuka puasa bersama media.
Sejak empat tahun lepas, ia juga mengadakan majlis iftar di perkarangan ibu pejabatnya yang membolehkan terutamanya para pemandu teksi dan pekerja pejabat yang tidak sempat pulang untuk   berbuka puasa.
Ia juga mengadakan Iftar di lima kawasan Bank Islam yang lain bersama-sama anak yatim dan turut memberikan sumbangan Hari Raya kepada mereka. 




Menangani risiko untuk kecemerlangan organisasi...

Keupayaan sesebuah organisasi mengenalpasti dan seterusnya mengatasi potensi risiko yang dihadapi amat penting bagi menentukan kecemerlangannya. 
Begitulah juga dengan Bernama yang terus berusaha ke arah kecemerlangan setelah baharu sahaja merayakan ulangtahun ke-50 Jubli Emasnya.
Pagi ini, setiap perkhidmatan, bahagian dan unit membentangkan log masing-masing yang menyenaraikan potensi risiko dan tindakan yang diambil untuk mengatasinya pada sesi penilaian yang dipengerusikan oleh Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh.
Pengurus Unit Sistem Pengurusan Kualiti, Khairul Annuar Abdul Majid berkata penilaian dan pengurusan risiko diwujudkan untuk mengenalpasti, menilai dan menguruskan potensi risiko dalam organisasi. 
“Dengan melihat potensi risiko ini, pihak Pengurusan tertinggi akan dapat mengatasi atau mengurangkan tahap potensi risiko tersebut.
“Ini secara langsung akan menjadikan operasi lebih efisien dari segi guna tenaga kerja, peralatan, mesin dan kewangan,” katanya.
Telah menjadi amalan dan keperluan wajib sektor swasta dalam dan luar negara untuk membuat pendekatan ini yang kini telah diikuti oleh sektor awam.
Menurut Khairul Annuar, sesi itu mula diarahkan oleh mantan Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan kerana ketika itu pihak Kementerian melalui Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik telah merangka penilaian dan Pengurusan Risiko.
Ia juga sejajar dgn keperluan dan kehendak standard sistem Pengurusan yang diiktiraf oleh ISO 9001.
“Versi baru 9001: 2015 yang akan kita perolehi tahun depan memang memberi tumpuan lebih kepada penilaian dan Pengurusan risiko organisasi,” katanya.


Thursday, 8 June 2017

Jaguh-jaguh sukan meriahkan Amanat Merdeka...

Jaguh-jaguh sukan negara akan diundang untuk acara Amanat Merdeka 2017 bagi menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan negara.
Amanat Merdeka tahun ini akan diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada pukul 4 petang, 30 Ogos ini.
Acara diadakan pada sebelah petang kerana upacara penutup Sukan SEA akan berlangsung pada sebelah malamnya. 
Tema Amanat Merdeka kali ini ialah 'NegaraKu Sehati Sejiwa''.
Kehadiran jaguh-jaguh sukan akan memeriahkan acara memandangkan temasya sukan terbesar Asia Tenggara yang diadakan ketika itu.  
Bernama sekali lagi diberi kepercayaan mengendalikan Amanat Merdeka yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini merupakan tahun keempat berturut-turut Bernama diberi kepercayaan itu setelah pertama kali melaksanakannya dengan jaya di Dewan Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang pada tahun 2014.
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana perutusan Perdana Menteri  dibuat secara rakaman dan disiarkan menerusi radio dan televisyen, Datuk Seri Najib memilih untuk menyampaikan amanat secara langsung pada tahun tersebut dan kemudiannya menjadi acara tahunan.
Penyertaan jaguh-jaguh sukan dalam acara kali ini merupakan antara cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat penyelarasan Amanat Hari Kebangsaan yang dipengerusikan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh di Wisma Bernama pagi ini.
Wakil dari pelbagai jabatan dan agensi Kementerian Multimedia dan Komunikasi hadir pada mesyuarat itu yang pertama kali diadakan bagi membincangkan pengendalian acara tahun ini.
Mesyuarat juga membentuk sembilan jawatankuasa yang diterajui pelbagai jabatan dan agensi berkenaan serta turut melibatkan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dari kementerian lain.