![]() |
| Utusan Borneo Sabah |
Wednesday, 24 May 2017
Tuesday, 23 May 2017
Bernama Perlu Kemuka Permohonan Pertukaran Nama Jalan - DBKL
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) boleh memohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menukarkan nama Jalan 1/65A off Jalan Tun Razak kepada Jalan Bernama.
Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd berkata Bernama perlu mengemukakan permohonan kepada Datuk Bandar KL.
"Permohonan tersebut perlu disokong dengan kertas kerja yang releven seperti hak milik lot tanah, pelan dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Bernama.
Cadangan untuk menukarkan nama jalan tersebut dibuat Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang ketika sambutan ulang tahun Bernama yang ke-50 di Dewan Perdana Felda yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu malam tadi.
Wisma Bernama yang terletak di Jalan 1/65A off Jalan Tun Razak merupakan bangunan terawal didirikan di jalan itu pada tahun 1980-an.
Ini disusuli dengan pembinaan bangunan lain di sekitarnya seperti Perpustakaan Negara, Balai Seni Lukis Negara, Pusat Darah Negara dan Istana Budaya.
-- BERNAMA
Monday, 22 May 2017
Sahnan bangga logo Bernama kekal digunakan sejak 1975...
Pencipta logo Bernama, Sahnan Abdullah, bangga kerana logo ciptaannya itu terus diguna agensi berita ini sejak 1975.
Menurutnya, beliau terharu apabila logo ciptaannya masih digunakan dan berharap ia akan terus dikekalkan.
Pada masa sama, Sahnan, 80, turut menyarankan agar logo itu ditambah baik dengan huruf ‘B’ ditimbulkan dan ditukar kepada warna emas serta mengekalkan latar belakang warna biru.
"Warna emas itu sebagai simbolik kerana emas berharga dan disanjung, maka ia amat relevan dengan Bernama sebagai sebuah agensi berita tempatan yang dikenali di dunia," katanya yang menerima Anugerah Khas (Pencipta Logo Bernama) pada majlis sambutan Ulang Tahun Bernama ke-50 malam ini.
Sahnan memenangi pertandingan mencipta logo Bernama yang berlangsung dari 15 Feb hingga 30 April 1975.
Sebelum mempunyai logo yang dicipta khas itu, Bernama menggunakan perkataan ‘BERNAMA’ berwarna jingga.
Sahnan, yang waktu itu berusia 38 tahun dan bertugas sebagai Penolong Pelukis Reka Bentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mendapat ilham tersebut setelah mengetahui agensi berita ini menggunakan mesin teleprinter sebagai medium menghantar maklumat pada ketika itu.
-- BERNAMA
Bernama berjaya ubah acuan berdasarkan khalayak terkini - Ahmad Zahid
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menyambut ulang tahun ke-50 dua hari lepas berjaya mengubah platformnya berdasarkan khalayak masa kini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata seperti Bernama, semua agensi kerajaan di negara ini perlu mengubah acuan mereka berdasarkan khalayak terkini bagi memastikan maklumat yang ingin disampaikan kerajaan dipercayai serta sampai ke khalayak lebih besar.
"Kita ada media tradisional dan media baharu, itu sebabnya walaupun saya tidak datang ke majlis Bernama malam ini, tetapi saya yakin Bernama mempunyai likes antara 2.5 juta dan 2.8 juta, dan merupakan sebuah organisasi yang diterima bukan sahaja di rantau ini tetapi di seantero dunia...itulah lebihnya Bernama untuk tempoh 50 tahun.
"Walaupun saya tidak bersama mereka (Bernama) malam ini, roh saya bersama mereka...mereka telah berjaya mengubah acuannya,” katanya sambil menyifatkan platform media baharu Bernama antara terbaik di negara ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) 2017 di Alor Gajah, Melaka. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah Jasa Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Bernama yang mula beroperasi pada 20 Mei 1968, mengadakan majlis makan malam hari ini bagi menyambut ulang tahun Jubli Emas agensi berkenaan.
Ahmad Zahid berkata acuan itu perlu berubah kerana khalayak pada masa sekarang tidak sama seperti khalayak pada masa lampau.
"Teruskanlah usaha mengubah acuan itu...media sosial yang dikendalikan pegawai Jasa mendapat ‘hit’ yang terbaik di negara ini,..ini suatu pendekatan baharu teruskan jangan biar orang serang kita...jangan biarkan kita terlalu bertahan.
"Di dalam peperangan, saraf pertahanan yang terbaik adalah menyerang ...saya harap Jasa buktikan kita tidak akan tersandar sekali lagi, kita telah bangun sebagai pejuang kepada kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
Tiga Bekas Menteri Terima Anugerah Jasamu Dikenang Jubli Emas Bernama...
Tiga orang bekas Menteri Penerangan diberi Anugerah Khas: 'Jasamu Dikenang' oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi menghargai sumbangan mereka dalam bidang media dan komunikasi.
Anugerah Khas bersempena sambutan Jubli Emas agensi berita itu diberi kepada Penasihat Sosio Budaya kepada Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim, tokoh wartawan Tan Sri Zainuddin Maidin dan bekas Setiausaha Agung UMNO, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada acara gilang-gemilang Jamuan Malam Jubli Emas Bernama di ibu negara malam ini.
Dr Rais, 75, yang berasal dari Kampong Gagu, Jelebu, Negeri Sembilan, terkenal dengan jasa bakti dan sumbangan melalui pelbagai usaha memartabatkan seni, bahasa dan warisan bangsa di peringkat negara bangsa, serantau dan antarabangsa.
Pernah menjadi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Menteri Luar; Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Rais mempunyai hubungan akrab dengan Bernama semasa menjadi Menteri di KPKK dari tahun 2009 hingga 2013.
Bapa kepada empat orang anak ini menjawat jawatan Menteri Penerangan pada 1984 sebelum sekali lagi memegang portfolio yang sama dari 2009 hingga 2013 sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan di bawah kabinet baharu waktu itu pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terkini, Rais yang pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Buku Negara pada 2010 kerana sumbangan dalam bidang penulisan dan industri penerbitan buku, merupakan Presiden keenam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Zainuddin, 78, yang menjadi Menteri Penerangan dari tahun 2006 hingga 2008, sinonim dengan dunia kewartawanan dan amat rapat dengan Bernama sepanjang lima dekad kerjaya beliau dengan Utusan Melayu.
Bekas Ketua Pengarang Utusan itu yang dikenali dengan nama pena ZAM itu, memulakan kerjaya dalam dunia media sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Alor Setar pada tahun 1951 sebelum dilantik menjadi wartawan tetap 10 tahun kemudian.
Beliau pernah menjadi wakil Utusan Melayu di London (1975-1976) sebelum menjadi Ketua Pengarang akhbar itu selama hampir sedekad dan kemudiannya menceburi bidang politik.
Zainuddin yang menjadi Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) pada 1970-an dan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (1984-1989) itu juga aktif menulis buku, antaranya Mahathir Di Sebalik Tabir; Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot; Wira Tak Di Dendang; dan Saya Bukan Menteri: Memoir Wartawan Negara.
Allahyarham Mohamed pula, yang merupakan bapa kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, pernah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri dan Presiden UMNO sepanjang empat dekad penglibatannya dalam kerajaan serta parti sebagai Setiausaha Agung UMNO.
Beliau yang dilahirkan pada 1938, pernah dilantik dua kali sebagai Menteri Penerangan iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semasa menjadi Menteri Penerangan, beliau antara lainnya telah memperkenalkan Program 'Setia Bersama Rakyat' (Semarak), yang bertujuan meningkatkan semangat cintakan dan setia kepada negara, semasa awal 1990-an.
-- BERNAMA
Jubli Emas: Lima Bekas Wartawan Bernama Terima Anugerah Khas...
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memberi penghargaan kepada lima bekas wartawannya dengan Anugerah Khas bersempena sambutan Jubli Emas Bernama atas kejayaan dalam peningkatan kerjaya mereka sehingga menyandang jawatan penting di dalam dan luar negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh
Said Keruak menyampaikan anugerah itu kepada Datuk Seri G.Palanivel,
Tan Sri Ismail Adam, Prof Datuk Syed Arabi Syed Abdullah Idid, Datuk Abdul
Jalil Hamid dan Mervin Nambiar, pada majlis gilang-gemilang Jamuan Malam
Jubli Emas Bernama di ibu negara malam ini.
Palanivel, 68, yang memulakan kerjaya sebagai wartawan kanan
di Bernama pada April 1977, telah mendaki tangga ke puncak kejayaan sehingga
menyandang jawatan sebagai menteri kabinet ketika beliau menjadi Presiden parti
MIC.
Semasa di Bernama, beliau menyandang jawatan Editor Berita
Dalam Negeri dan Berita Ekonomi mulai 1984 hingga 1987 sebelum dipinjamkan
sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri S.
Samy Vellu dari 1987 hingga 1990.
Di peringkat kerajaan persekutuan, Palanivel pernah
menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Asli
dan Alam Sekitar selain menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Luar
Bandar; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat;
dan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Ismail pula meniti ke
puncak kerjayanya sehingga menjawat jawatan Ketua Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu jawatan nombor dua tertinggi dalam
sektor awam, sehingga persaraannya daripada perkhidmatan pada 2010.
Pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Negara, beliau menyertai Bernama
pada 1968 sebagai antara wartawan kadet perintis.
Ketika itu, Bernama beroperasi di sebuah rumah banglo
sewaan di Jalan Pekeliling (kini Jalan Tun Razak). Beliau meninggalkan
Bernama kemudiannya untuk menyertai bidang lain sektor awam pada 1972.
Prof Syed Arabi, juga yang merupakan antara wartawan
perintis Bernama dan menyertai agensi berita itu pada tahun 1968,
adalah bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan masih
berkhidmat sebagai Profesor Jabatan Komunikasi Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains
Kemanusiaan di UIAM.
Berusia 73 tahun, Prof Syed Arabi pernah berkhidmat selama
tiga tahun di Bernama bermula sebagai wartawan sebelum dilantik Ketua Biro
Sabah selama dua tahun.
Dalam sektor pendidikan beliau pernah juga memegang beberapa
jawatan penting di universiti antaranya pensyarah kanan, Timbalan Dekan di
Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain menjadi Ketua
Jabatan Komunikasi UKM.
Abdul Jalil, 57, yang kini menyandang jawatan Ketua Pegawai
Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dan
berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan dan komunikasi,
memulakan kerjaya kewartawanannya di Bernama pada 1982 sebagai pegawai berita.
Selama tujuh tahun di Bernama, Abdul Jalil pernah menjadi
Ketua Biro Bernama Johor dan pemangku pengarang berita ekonomi.
Beliau kemudian berkhidmat dengan Reuters selama 18 tahun,
dengan menjawat beberapa jawatan seperti ketua koresponden politik dan
Timbalan Ketua Biro Reuters di Malaysia dan Brunei dari 1998 hingga 2008 selain
pernah ditugaskan di pejabat-pejabat Reuters di London, Singapura dan Jakarta.
Abdul Jalil ,yang masih menjadi Ahli Tetap Mewakili Akhbar
dalam Lembaga Pengelola Bernama, dilantik CEO NSTP pada 1 Mac 2017 selepas
memegang jawatan Pengarang Urusan Kumpulan pada 15 Okt 2011.
Nambiar, 69, pula mula menceburi dunia media di
Bernama sebagai wartawan kadet pada 1969 dan berkhidmat di agensi berita itu
sehingga menyandang jawatan Timbalan Editor Berita di Meja Berita Ekonomi.
Pada tahun 1975, Nambiar menjadi wartawan Bernama pertama
yang mengikuti latihan kewartawanan di AFP, Paris dan seterusnya ditempatkan di
pejabat AFP di London, sebelum dihantar bertugas sebagai koresponden
Bernama di Bangkok.
Pada 1984, Nambiar meninggalkan Bernama dan menyertai AFP di
Kuala Lumpur sebelum bertugas sebagai Ketua Biro AFP di Singapura. Jawatan
terakhir beliau sebelum bersara pada Disember tahun lalu ialah Pengarah Jualan
dan Pemasaran AFP bagi Asia-Pasifik, yang berpangkalan di Hong Kong.
Bernama turut menghargai tiga bekas pegawai kanan agensi
berita itu dengan Anugerah Khas kategori Sumbangan Khusus kepada dua bekas
Pengurus Besar iaitu Datuk Yong Soo Heong dan Datuk Hasnul
Hassan serta bekas Editor Eksekutif Zainoor Sulaiman.
Yong, 62, yang memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet pada
1974, banyak berjasa mengetengahkan Bernama sebagai hos CAPAM iaitu persidangan
dwi-tahunan Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan serta
perbincangan meja bulat mengenai bajet nasional.
Di Bernama, Yong maju dalam kerjaya kewartawanan dengan
menyandang beberapa jawatan kanan seperti penolong editor, editor dan Editor
Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi mulai 1993 hingga 2004,
Dari 2007 hingga 2013, beliau merupakan Ketua
Pengarang Bernama sebelum menjadi Pengurus Besar agensi berita itu pada 1 Jan
2013, wartawan Bernama ketiga yang dilantik sebagai Pengurus
Besar selepas meniti kerjaya dari peringkat bawah.
Yong bersara wajib pada 28 Okt 2014 selepas 40 tahun
berkhidmat dengan Bernama dan kini merupakan Pengerusi Malaysia Global Business
Forum (MGBF).
Hasnul, 55, yang menyertai Bernama pada 2 Jan 2009
hingga 31 Dis 2012, berjasa dalam pengurusan Bernama, terutamanya penstrukturan
Bernama yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam serta memantapkan bahagian pemasaran Bernama.
Zainoor, 70, yang berkhidmat di Bernama selama 25 tahun,
termasuk sebagai koresponden Bernama di Jakarta dan Manila, berjasa sebagai
pengasas Perkhidmatan Audio Visual Bernama, yang berkembang menjadi
Bernama News Channel (BNC) pada hari ini.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Posts (Atom)





















