Wednesday, 4 September 2013

Pameran bersejarah...


Majlis Mesra Hari Raya Bernama di Hotel Grand Seasons Khamis lepas mencatatkan sejarah bagi Bahagian Pemasaran Foto apabila ia julung kali mengadakan pameran perkhidmatan Bernama.
“Apabila dimaklumkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat bahawa kita akan mengadakan pameran, cabarannya ialah mengumpulkan foto dan teks dalam masa yang singkat untuk tujuh perkhidmatan Bernama,” kata Farhan Mustafa dari Bahagian Pemasaran Foto.
“Cabaran itu bukan mudah kerana tidak semua bahan tersebut boleh diperolehi dari setiap bahagian dan memerlukan kreativiti iaitu dari bahan-bahan arkib Bernama dan diolah oleh penulis yang dilantik,” katanya.
Setelah bertungkus-lumus mengusahakannya, para petugas bahagian itu dapat melengkapkan kerja masing-masing. 
“Alhamdulillah pameran tersebut dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat, terima kasih kepada semua jawatankuasa dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang membantu menjayakan sesi red carpet (karpet merah) dan pameran ini,” katanya.
Farhan berpuas-hati kerana Bahagian Komunikasi Korporat memaklumkan bahawa pameran itu akan digunakan untuk acara-acara kementerian dan mana yang berkenaan pada masa akan datang.
Menurutnya, pameran itu, yang diletakkan di ruang legar ballroom hotel itu, membolehkan tetamu dan warga Bernama mengetahui dengan terperinci perkhidmatan-perkhidmatan Bernama.
Tujuh perkhidmatan yang dipaparkan ialah Pemasaran foto, Portal, Bernama Library and Infolink Services (BLIS), Media Relations dan Event Management (MREM), Newswire, Bernama Radio24 dan Bernama TV.
“Secara peribadi, saya rasa satu keseronokan sebab kita dapat mengadakan pameran ini dari kreativiiti serta mendapat maklumat dengan pergi dari satu jabatan ke satu jabatan… secara tak langsung dapat mengemaskinikan maklumat,” kata Farhan.
Di samping pameran itu, diadakan ruang karpet merah untuk membolehkan tetamu dan warga Bernama merakamkan foto serta menampilkan buku-buku ‘coffee-table’ terbitan Bernama – “Che Det”, “Pak Lah” dan Antartika.
Katanya, sesi fotografi dan "Print on the Spot" menjadi  pengisian majlis yang popular. Foto-foto tersebut boleh dimuat turun melalui http://images.bernama.com.
“Insya-Allah dengan kerjasama yang telah dibentuk dalam mengadakan pameran ini, ia akan dapat meningkatkan produktiviti demi kebaikan Bernama,” kata Farhan.










Tuesday, 3 September 2013

Selamat Ulangtahun ke-6 Bernama Radio24...

Bernama Radio24 (BR24) menyambut ulangtahun ke-enam dalam suasana meriah di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hadir dan ditemuraramah secara langsung oleh BR24.
Antara ‘celebrity’ yang kelihatan ialah Rozita Che Wan, yang menarik banyak perhatian, serta Dafi dan kumpulan K-Langit.
Tidak kurang yang menjadi ‘favourite’ ialah nasi beriayani dengan rendang Tuk yang disajikan pada majiis itu.
“Happy 6th birthday…orang usia 6 tahun boleh bermula lari dengan pantas,” kata Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong.
“Kepada rakan-rakan yang sudi hadir di majlis kami yang tidak seberapa tadi…terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. BR24 sangat terhutang budi kepada pihak pengurusan Bernama yang sentiasa memberikan sokongan dari sejak kami bersiaran pada 3 Sept 2007,” kata ketua pegawai operasi BR24 Azlan Idris.
“Kami akan terus menyusun langkah untuk memperkasakan mutu siaran serta kandungan, sekaligus menjulang nama Bernama sebagai entity berita terunggul tanahair. Terima kasih daun keladi,” katanya dalam catatan menerusi WhatsApp Bernama-Editor Team pada 9.49 malam ini.
Dalam wawancara dengan BR24, Datuk Seri Ahmad Shabery antara lain menyarankan agar nyanyian lagu kebangsaan ‘Negaraku’ sebelum tayangan filem di pawagam seluruh negara diadakan sekali lagi pada 16 September ini sempena sambutan Hari Malaysia.
Sebelum ini, lebih 700 pawagam menayangkan promo kemerdekaan serta memainkan lagu ‘Negaraku’ sebelum tayangan filem sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara bermula 28 Ogos dan berakhir hari ini.  
Beliau berkata maklum balas yang diterima mengenai langkah itu adalah baik.



Touch base breakfast meeting...


Bernama senior officials led by General Manager Datuk Yong Soo Heong held a breakfast meeting with a delegation from Singapore’s Ministry of Communications and Information (MICA) at the Grand Millennium Hotel in Kuala Lumpur.
Led by the ministry’s Deputy Secretary Sim Gim Guan, the 11-member delegation  comprises officers from the ministry.
They include  a number of senior public communications directors who have been posted to various ministries to head their public communications divisions and serve as press secretaries to the republic’s political office holders.
Singapore High Commissioner Ong Keng Yong and several of his officers were present during the one-and-half hour meeting.
The visit to Malaysia was part of the inaugural INFO-LEAD Programme, a three-week training programme, jointly organized by the Singapore Civil Service College and MICA aimed at improving Singapore’s public communications efforts.
The delegation hopes to learn from the Malaysian government’s experience in public engagement and public consultation, as well as to obtain an update on the information and media scene in Malaysia.
The participants also hope to develop and strengthen professional ties with their Malaysian counterparts.
The breakfast meeting was to enable the delegation learn more about how Bernama had been adapting to respond to various challenges including the increased diversity of media and other information sources in the country.
Bernama General Manager Datuk Yong Soo Heong and Editor-in-Chief Datuk Zulkefli Salleh briefed the delegation about Bernama, followed by Q&A.
Datuk Yong told the delegation that apart from Singapore, Bernama has correspondents in Bangkok, Jakarta, Beijing and New Delhi.
The agency is also supported by stringers in Melbourne, New York and Washington D.C.
Bernama Radio24 Managing Editor Mohamad Letfee Ahmad took the opportunity to informed the meeting that the radio station, which generated interest among members of the delegation, was celebrating its sixth anniversary today.

 
 

Ahli Akrab Bernama sertai seminar psikologi KKMM...


Seminar Psikologi’ anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) diadakan di Hotel Seri Costa, Bandar Hilir, Melaka pada 2 dan 3 September 2013.
Seramai 80 warga KKMM termasuk  9 petugas Bernama selaku Rakan Akrab kementerian menyertai bengkel tersebut.
Tujuan utamanya adalah untuk merapatkan lagi hubungan silatulrahim dalam kalangan peserta selaku Rakan Akrab yang diiktiraf oleh kementerian.
KKMM   telah meraih tempat ketiga dalam pertandingan antara kementerian bagi Rakan Akrab Terbaik (organisasi).
Sesi perbincangan mengenai tajuk ‘Mengenalpasti watak melalui tandatangan’ diadakan bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala topik ‘Hipnosis’ disampaikan oleh  pegawai dari Unit Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KKMM Encik Abdul Rahman Mohamad merasmikan bengkel dalam suasana hari raya dengan memotong kek sambil para peserta beramai-ramai menyanyikan lagu ‘Allah Selamatkan Kami’.
Pelbagai hidangan lauk pauk yang enak  seperti kambing ‘barbeque’ (panggang)  dan laksa turut disediakan.
Mesyuarat pemilihan barisan exco baru untuk jawatankuasa Rakan Akrab  diadakan sebaik sahaja selesai bengkel.
Editor Tugas-tugas Khas dan Rencana Bernama, Haji Mohamad Nasir Yusof dilantik sebagai bendahari manakala Pengurus Infolib Puan Hasnita Ibrahim terpilih sebagai anggota exco.
Seminar ini penting untuk memastikan peranan Akrab diperkukuhkan bagi membantu menangani apa jua permasalahan pekerja di peringkat kementerian  yang boleh menjejaskan produktiviti kerja.
Ia juga bertujuan membantu mengenalpasti untuk sama-sama menyelesaikan isu-isu berkaitan moral dan gejala sosial dalam kalangan warga kementerian.

Syed Khedher Ismail

Monday, 2 September 2013

Projek gimnasium diteruskan...


Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) hari ini antara lain dimaklumkan bahawa cadangan projek gimnasium dan pusat riadah tetap diteruskan.
Pembinaannya akan bermula apabila Bahagian Infolib, yang kini di Tingkat 8,  berpindah ke Tingkat 11.
Kerja pengubahsuaian ruang baharu Infolib itu dijangka siap hujung tahun ini.
Cadangan gimnasium baharu ini telah dikemukakan lebih lima tahun lepas tetapi tertangguh kerana mendapatkan ruang yang sesuai.
Ruang lama gimnasium di basement tidak sesuai  untuk dijadikan pusat riadah itu.
Dalam perutusan semasa memulakan mesyuarat, Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong yang mempengerusikan pertemuan itu mengucapkan tahniah kepada semua yang bekerjasama menjayakan Majlis Hari Raya Bernama di Hotel Grand Seasons.
Beliau membayangkan kemungkinan persiapan lebih awal dilakukan sekiranya majlis seumpama itu diadakan lagi tahun depan.
Singapura, misalnya, sudah membentuk jawatankuasa perayaan ulangtahun ke-50 kemerdekaannya walaupun ia adalah pada tahun 2015.
Datuk Yong juga mengingatkan bahawa cuma ada empat bulan sahaja lagi sebelum akhir tahun.
“Harap kita dapat mencapai apa yang kita sasarkan untuk tahun ini,” katanya.
Pihak kesatuan diketuai Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-pekerja Bernama (KPPB) Zaharin Mat Noor.
Mengenai Tabung Kebajikan, mesyuarat dimaklumkan bahawa baki terkini ialah RM38,933.
Tabung itu digunakan untuk sumbangan khairat kematian, anak cemerlang, kemasukan ke institusi pengajian tinggi, rawatan, yuran, sekolah, kelahiran, perkahwinan dan kehilangan harta benda termasuk kecurian.  

Bersemangat mula khidmat di Bernama ...

Ceria dan bersemangat, Mohamad Helmi Syafiq Mohamad Awal memulakan tugas di Bernama hari ini.

"Pukul 4 pagi saya dah bangun untuk bersiap...selepas solat, saya memandu dari rumah di Wangsa Maju dan sampai di pejabat pukul 7.30 pagi," katanya.

Helmi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha di pejabat Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa berikutan persaraan Puan Rodziah Idris.

"Setelah menghadiri temuduga dan kemudiannya dimaklumkan saya mendapat kerja itu, saya 'excited' walaupun saya tak 'sure' siapa bos," kata Helmi, 27.

Lulusan Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat  Universiti Teknologi MARA (UITM) itu berazam melaksanakan tugas dengan baik, menggunakan pengalaman dan pengetahuan yang ada.

"Saya cakap tak kisah-lah siapa bos asalkan saya boleh 'deliver' kerja saya," kata Helmi yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan.

Setelah tamat pengajian, beliau menjadi pegawai imigresen selama empat tahun dari Mei 2008 hingga Mei 2012 dan setiausaha di Tenaga Nasional Berhad selama setahun tiga bulan sebelum menyertai Bernama.


Sunday, 1 September 2013

Meraikan pengantin baru...

Haji Amin Husaini Harun dan Mohd Awal Ibrahim ternyata gembira menyambut kehadiran sanak saudara, kenalan dan rakan sepejabat  pada majlis kesyukuran perkahwinan anak perempuan masing-masing.
Haji Amin, editor  di NAM News Network (NNN) dan isteri Hajah Che Rugayah Abdul Jalil mengadakan majlis untuk anak perempuan mereka Siti Nur Husniyah yang memilih Mohd Shafeek Amil sebagai suami.
Haji Amin dan Hajah Che Rugayah mengadakan majlis di kediaman mereka di no 14, Jalan Kencana 23,Taman Kencana, Ampang.
Awal, dari Perkhidmatan Audio-Visual, dan isteri Khairiyah Ab Rahman meraikan perkahwinan anak perempuan mereka Nurizzati dengan Mohd Hafiz Rasid.
Majlis berlangsung di Kompleks Sukan Dato Keramat, Jalan Dato Keramat, Kuala Lumpur.





"24-7" jadi budaya wartawan ...


Tangungjawab seseorang wartawan kini semakin meningkat dan sudah menjadi “budaya 24-7” (24 jam sehari, tujuh hari seminggu), kata Timbalan Pengarang Kumpulan New Straits Times Abdul Rashid Yusof
“Tak boleh switch off lagi dan rehat sudah jadi konsep yang alien (asing),” katanya dalam rancangan bualbicara ‘Bersama Wartawan’ menerusi Bernama Radio24 pagi ini.
Beliau juga menyentuh mengenai dunia kewartawanan yang dinamik dengan penglibatan tenaga muda berkemahiran daripada bidang-bidang berkaitan.
“Dulu kita anggap kewartawanan dikuasai oleh lulusan kursus kewartawanan tetapi sekarang ada banyak displin, lebih luas skopnya…ini adalah sesuatu yang membanggakan,” katanya..
Sebagai contoh, katanya, sekarang sudah ada yang mahir dalam segi menganalisis pendapat umum.
Pandangan anak-anak muda juga diambilkira dalam penggunaan sesuatu foto  serta grafik bagi ‘menguatkan’ lagi berita yang dipaparkan akhbar.
Penggunaan visual dan grafik adalah penting dari segi menggalakkan dan mendalami patriotisme dan nation-building (pembangunan negara).
Bagi memastikan syarikat akhbar itu mempunyai stamina dan tenaga untuk menghadapi cabaran, beliau berkata antara usaha yang dilakukan ialah keluar mendapatkan talent (bakat) baru untuk berkhidmat dengan akhbar itu.
Mengenai semangat patriotik di kalangan generasi muda yang dikatakan pudar, Rashid berkata ia satu persoalan yang agak subjektif.
Ini hanya dapat ditentukan dengan cara sama ada “kita boleh menilai dalam hati mereka berapa banyak sel-sel patriotik”.
Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab golongan muda untuk meneruskan kesinambungan negara setelah pembagunan serta perancangan dilakukan oleh generasi sekarang dan terdahulu.
Dalam program yang diterajui Wan Yuzaini Wan Yahya, beliau turut menyatakan rasa kesalnya terhadap mereka yang mudah mempercayai sesuatu perkara tanpa menyelidik punca kesahihannya.
Beliau memberikan contoh menjelang  pilihan raya umum baru-baru ini di mana “kita dikejutkan dengan berita 40,000 rakyat asing yang dikatakan datang ke negara ini untuk terlibat dalam pilihan raya”.
“Saya tak nak sentuh politik, tapi dalam soal news, ramai yang masih ‘gullible’ (mudah mempercayai sesuatu) dengan tidak bertanya kesahihan berita itu termasuk menyoal puncanya,” kata beliau.
Inilah contoh di mana content (kandungan) padu yang berkredibiliti dan beritegriti amat diperlukan dan media tradisional harus menggembeleng tenaga dengan banyak lagi pihak untuk tujuan ini.
Menurutnya, jika sesebuah negara mempunyai masyarakat yang mudah terbawa-bawa dengan berita palsu, ia harus diubati.
“Saya mengharapkan kepada pendengar yang bijaksana agar menasihati sahabat-sahabat yang lebih gemar membuat dakwaan atau telahan berdasarkan sumber berita yang tidak diketahui puncanya, supaya mengambil masa untuk menilai kesahihan sesuatu berita," kata Rashid.
Menurutnya, sebagai media arus perdana, akhbar itu bersedia menerima ‘teguran’ dan pandangan serta berjumpa dengan orang ramai atau melalui emel mengenai sesuatu isu.
Mengenai suasana Syawal yang masih dirasai, beliau berkata amalan rumah terbuka sudah menjadi budaya yang harus digalakkan.
“Ini perkembangan yang sangat bagus….saya tengok ziarah menziarahi ini konsep yang makin segar,” katanya.