Tuesday, 10 March 2015

Tiada Pemantauan Laporan Media...



Kementerian Kewangan tidak pernah memantau laporan media yang disifatkan boleh mewujudkan sentimen terhadap ekonomi negara melalui berita yang disiarkan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong menyatakan demikian semasa persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
"Laporan yang dikeluarkan media kadang-kadang untuk pastikan akhbar mereka dijual lebih laris tapi sehingga kini kementerian tidak memantau (laporan akhbar) kerana kita beri kebebasan tetapi jika ada fakta salah saya yakin pihak berkenaan akan ambil tindakan susulan," katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) dalam sesi soal-jawab  sama ada kementerian membuat pemantauan kepada mana-mana laporan media yang berkemungkinan melahirkan sentimen sabotaj kepada ekonomi negara.
Chua berkata untuk memastikan ringgit tidak terdedah kepada serangan spekulasi, Bank Negara melakukan pemantauan harian terhadap pasaran mata wang untuk memastikan pergerakan mata wang teratur.
Katanya ekonomi negara berada pada tahap yang kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan mampan sebanyak enam peratus pada tahun lepas berbanding 4.7 peratus pada 2013.
Beliau berkata analisis yang kurang tepat dan tidak konsisten selain memutar belit fakta merupakan antara usaha sabotaj ekonomi kerana memberi gambaran tidak baik kepada orang ramai.
Namun, katanya ekonomi negara tidak tergugat dengan aktiviti sabotaj ekonomi sebegini kerana kekuatan ekonomi negara disokong dengan asas makro ekonomi yang teguh dengan tabungan dan rizab yang kukuh, kadar inflasi yang terkawal dan kadar pengangguran rendah.
Chua berkata usaha untuk memantau tindakan golongan yang mensabotaj ekonomi negara turut mendapat kerjasama pihak penguat kuasa undang-undang dan pelbagai pengawal selia termasuk agensi kerajaan dan Bank Negara.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment