Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengkaji cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya umur persaraan wajib penjawat awam
dilanjutkan kepada 62 tahun daripada 60 tahun.
Ketua
Pengarah JPA, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata sebarang keputusan untuk
melanjutkan umur persaraan penjawat awam bukan hanya merupakan keputusan JPA
tetapi turut melibatkan keputusan kerajaan.
"Saya
kena lihat secara keseluruhan dan mengkaji terlebih dahulu. Ini bukan keputusan
JPA sahaja dan ia juga merupakan keputusan kerajaan atau dasar yang kita kena
bawa balik kepada kerajaan.
"Buat
masa ini, saya ingat tidak perlu komen panjang mengenai hal berkenaan,"
katanya kepada pemberita di Nibong Tebal hari ini.
Beliau
merasmikan Pusat Latihan Kemahiran Peringkat Tertinggi CoAS, Institut Kemahiran
Tinggi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang.
Turut
hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus dan Pengurus Besar
Perda, Saringat Hassan.
Semalam
CUEPACS meminta kerajaan supaya membuat pertimbangan bagi melanjutkan umur
persaraan penjawat awam atas alasan negara sedang menuju status negara maju.
Sementara
itu Mohamad Zabidi berkata kerajaan akan memperluas pengambilan pemegang Sijil
Kemahiran Malaysia (SKM) ke dalam perkhidmatan awam.
Beliau
berkata kini 17 skim perkhidmatan berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
telah diperuntukkan kemasukan di peringkat SKM yang akan diperluas kepada lebih
banyak skim perkhidmatan lain.
"Penjawat
awam dengan kelayakan SPM dan memiliki sijil kemahiran akan memperoleh gaji
permulaan lebih tinggi dan ini merupakan nilai tambah kepada mereka yang
memiliki SKM," katanya.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment