Foto BERNAMA |
Bekas
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diwawancara secara langsung menerusi
"Dalam Radar Khas", program terbitan Bernama Radio24 petang ini. Arkitek
“Wawasan 2020” itu ditanya mengenai pandangannya dalam meniti cabaran menjelang
matlamat Malaysia menjadi negara maju dengan hanya tinggal enam tahun
lagi.
Tun
Dr Mahathir berkata tidak dapat dinafikan bahawa banyak kemajuan telah dicapai
sejak inisiatif itu bermula 23 tahun lalu ketika beliau menjadi perdana
menteri.
Sama
ada kita dapat mencapai matlamat negara maju atau tidak, bergantung kepada
tafsiaran negara maju, katanya.
“Saya
dapati banyak negara yang dianggap maju tetapi sebenarnya mereka tidak maju
dalam bidang-bidang tertentu,” katanya.
Kalau
diukur kemajuan dari segi pendapatan per kapita, banyak negara yang lebih maju
dari negara-negara maju tetapi mereka tidak dianggap maju, katanya.
“Untuk
menjadi sebuah negara maju, kita mesti faham apa dia negara maju…
kita
mesti maju dalam semua bidang, ilmu pengetahuan, tahap yang dicapai oleh rakyat
mesti tinggi, industri, ekonomi, sosio-budaya mestilah sesuatu yang boleh
dianggap progresif dan maju,” katanya.
Beliau
berkata semua pihak perlu bekerjasama menyumbang kepada pembangunan negara
dengan cara-cara yang mampu mereka lakukan.
“Kita
tidak boleh pisahkan masyarakat kepada generasi x, generasi y dan sebagainya
sebaliknya kita adalah satu negara…
“Yang
dewasa perlu tunjuk contoh yang baik, generasi muda pula jangan sangat
terpengaruh dengan pendapat asing yang dikatakan universal,
“Kita
ingin melihat semua menyumbang kepada tujuan kita untuk menjadikan negara kita negara maju, bukan menjadi orang
yang meniru pendapat asing dan terpengaruh dengan mereka bahkan takut dituduh
tidak progresif.
“Kita
mesti mempunyai idea, pendekatan dan objektif kita sendiri,” katanya.
Menjawab
pertanyaan pendengar, Tun Dr Mahathir berkata ada bidang-bidang tertentu yang
kita gagal dan kita perlu akui serta berusaha mengatasinya.
“Bagi
saya, yang saya anggap gagal ialah menukar budaya dan nilai hidup orang Melayu
khususnya budaya dan nilai hidup mereka yang tak sesuai dengan kemajuan.
“Saya
mengambil masa 22 tahun hampir tiap-tiap tahun saya bercakap mengenai perkara
ini tetapi masih tak ada kesan sepenuhnya.
“Ada
yang memang mampu dan mengubah cara hidup mereka dan mencapai kejayaan tetapi
majoriti tidak, peluang yang diberikan disalah guna atau diketapikan,
“Inilah
yang menjadi satu kegagalan bagi saya sebagai perdana menteri pada masa itu dan
saya amat sedih kerana usaha saya ini gagal,” katanya.
Tun
Dr Mahathir berkata semasa pilihan raya, beliau cuba menjelaskan kepada rakyat
betapa penting untuk mereka mengekalkan kepimpinan yang ada serta pendekatan dan dasar yang digubal sekian
lama.
“Saya
cuba memberi pendapat saya bagaimana menangani sesuatu masalah tetapi saya
tidak harap pihak kepimpinan akan menerima segala-gala yang saya cadangkan. Itu
adalah hak mereka. Setiap pemimpin mempunyai hak membentuk pendekatannya
sendiri.
“Yang
saya mampu, saya beri pandangan tetapi
kalau ditolak atau tidak diterima, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa, memang
ini sedang berlaku dan akan berlaku sehingga bila-bila,” katanya.
Dalam program selama 40 minit itu beliau
turut ditanya mengenai tindakannya menggunakan internet untuk menulis blog.
“Saya
mengadakan blog sendiri kerana saya dapati saya disingkir iaitu saya tidak
boleh berkata apa-apa, tidak ada akhbar yang boleh publish apa yang saya kata,
menteri tak boleh jumpa saya, pemimpin Umno tak boleh jumpa saya, ini merupakan
sekatan kepada saya yang saya tidak faham kenapa sedangkan saya dengan rela
hati memberi kuasa kepada orang lain.
Blog
ini sukar disensor sebab itu saya guna media baru ini untuk menyuarakan
pendapat saya,” katanya.
Pada
akhir program, beliau ditanya mengenai aura yang dibawanya dan rahsia yang
dapat dikongsi.
“Saya
tak tahu kenapa ada perasaan yang semacam itu.
“Bukanlah saya berusaha supaya orang suka kepada saya,
“Saya
cuma menjalankan tugas yang boleh menguntungkan negara dan rakyat, Itu saja
yang saya lakukan kerana bagi saya kuasa yang diberi sebagai perdana menteri
bukan untuk diri saya tetapi untuk rakyat supaya mereka dapat nikmat daripada
kepimpinan saya.
“Kalau
itu menyebabkan mereka pandang tinggi kepada saya ok, saya pun kadang-kadang
buat kerja yang tak popular tetapi saya
anggap baik kepada negara, ramai juga yang kecam saya, bukan semua orang suka
kerana ada juga yang tak suka,” katanya.
No comments:
Post a Comment