Wednesday, 29 January 2014

Meniti cabaran Wawasan 2020 bersama Dr Mahathir...


Foto BERNAMA
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diwawancara secara langsung menerusi "Dalam Radar Khas", program terbitan Bernama Radio24 petang ini. Arkitek “Wawasan 2020” itu ditanya mengenai pandangannya dalam meniti cabaran menjelang matlamat Malaysia menjadi negara maju dengan hanya tinggal enam tahun lagi. 
Tun Dr Mahathir berkata tidak dapat dinafikan bahawa banyak kemajuan telah dicapai sejak inisiatif itu bermula 23 tahun lalu ketika beliau menjadi perdana menteri.
Sama ada kita dapat mencapai matlamat negara maju atau tidak, bergantung kepada tafsiaran negara maju, katanya.
“Saya dapati banyak negara yang dianggap maju tetapi sebenarnya mereka tidak maju dalam bidang-bidang tertentu,” katanya.
Kalau diukur kemajuan dari segi pendapatan per kapita, banyak negara yang lebih maju dari negara-negara maju tetapi mereka tidak dianggap maju, katanya.
“Untuk menjadi sebuah negara maju, kita mesti faham apa dia negara maju…
kita mesti maju dalam semua bidang, ilmu pengetahuan, tahap yang dicapai oleh rakyat mesti tinggi, industri, ekonomi, sosio-budaya mestilah sesuatu yang boleh dianggap progresif dan maju,” katanya.
Beliau berkata semua pihak perlu bekerjasama menyumbang kepada pembangunan negara dengan cara-cara yang mampu mereka lakukan.
“Kita tidak boleh pisahkan masyarakat kepada generasi x, generasi y dan sebagainya sebaliknya kita adalah satu negara…
“Yang dewasa perlu tunjuk contoh yang baik, generasi muda pula jangan sangat terpengaruh dengan pendapat asing yang dikatakan universal,
“Kita ingin melihat semua menyumbang kepada tujuan kita untuk menjadikan  negara kita negara maju, bukan menjadi orang yang meniru pendapat asing dan terpengaruh dengan mereka bahkan takut dituduh tidak progresif.
“Kita mesti mempunyai idea, pendekatan dan objektif kita sendiri,” katanya.
Menjawab pertanyaan pendengar, Tun Dr Mahathir berkata ada bidang-bidang tertentu yang kita gagal dan kita perlu akui serta berusaha mengatasinya.
“Bagi saya, yang saya anggap gagal ialah menukar budaya dan nilai hidup orang Melayu khususnya budaya dan nilai hidup mereka yang tak sesuai dengan kemajuan.
“Saya mengambil masa 22 tahun hampir tiap-tiap tahun saya bercakap mengenai perkara ini tetapi masih tak ada kesan sepenuhnya.
“Ada yang memang mampu dan mengubah cara hidup mereka dan mencapai kejayaan tetapi majoriti tidak, peluang yang diberikan disalah guna atau diketapikan,
“Inilah yang menjadi satu kegagalan bagi saya sebagai perdana menteri pada masa itu dan saya amat sedih kerana usaha saya ini gagal,” katanya.
Tun Dr Mahathir berkata semasa pilihan raya, beliau cuba menjelaskan kepada rakyat betapa penting untuk mereka mengekalkan kepimpinan yang ada serta  pendekatan dan dasar yang digubal sekian lama.
“Saya cuba memberi pendapat saya bagaimana menangani sesuatu masalah tetapi saya tidak harap pihak kepimpinan akan menerima segala-gala yang saya cadangkan. Itu adalah hak mereka. Setiap pemimpin mempunyai hak membentuk pendekatannya sendiri.
“Yang saya mampu,  saya beri pandangan tetapi kalau ditolak atau tidak diterima, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa, memang ini sedang berlaku dan akan berlaku sehingga bila-bila,” katanya.
Dalam program selama 40 minit itu beliau turut ditanya mengenai tindakannya menggunakan internet untuk menulis blog.
“Saya mengadakan blog sendiri kerana saya dapati saya disingkir iaitu saya tidak boleh berkata apa-apa, tidak ada akhbar yang boleh publish apa yang saya kata, menteri tak boleh jumpa saya, pemimpin Umno tak boleh jumpa saya, ini merupakan sekatan kepada saya yang saya tidak faham kenapa sedangkan saya dengan rela hati memberi kuasa kepada orang lain.
Blog ini sukar disensor sebab itu saya guna media baru ini untuk menyuarakan pendapat saya,” katanya.
Pada akhir program, beliau ditanya mengenai aura yang dibawanya dan rahsia yang dapat dikongsi.
“Saya tak tahu kenapa ada perasaan yang semacam itu.
“Bukanlah  saya berusaha supaya orang suka kepada saya,
“Saya cuma menjalankan tugas yang boleh menguntungkan negara dan rakyat, Itu saja yang saya lakukan kerana bagi saya kuasa yang diberi sebagai perdana menteri bukan untuk diri saya tetapi untuk rakyat supaya mereka dapat nikmat daripada kepimpinan saya.
“Kalau itu menyebabkan mereka pandang tinggi kepada saya ok, saya pun kadang-kadang buat kerja yang tak popular tetapi  saya anggap baik kepada negara, ramai juga yang kecam saya, bukan semua orang suka kerana ada juga yang tak suka,” katanya.

Thursday, 23 January 2014

Pantas lapor maklumat kepentingan rakyat...




Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman menggesa wartawan Bernama supaya lebih bersifat responsif terhadap isu-isu berkaitan rakyat dengan memberi penekanan ke atas penyampaian berita dengan cepat melalui aplikasi media sosial yang sedia ada.   
Dalam ucapannya ketika merasmikan majlis Menghargai Tenaga Pengajar Dalaman Bernama, beliau berkata: “Kita faham bahawa berita Bernama tidak boleh dikeluarkan serta merta tetapi sekurang-kurangnya tempoh masa sesuatu berita itu dikeluarkan seharusnya tidaklah  jauh jaraknya berbanding dengan pengamal media sosial lain”.  
Kira-kira 30 pegawai-pegawai kanan Bernama termasuk Timbalan Ketua Pengarang PBDN, Datuk Zakaria Wahab, TKP PBA, Encik Ahmad Zukiman Zain, TKP, PBE, Encik Amer Hamzah Md Sap, TKP, PAV, Encik Mokhtar Hussein dan para editor menghadiri majlis itu Pusat Kecemerlangan, Wisma Bernama hari ini.
“Perubahan  besar dalam teknologi membuatkan kita perlu bergerak pantas dan berada di hadapan dalam perkara yang melibatkan rakyat dan kerajaan. Jika tidak, Bernama akan ketinggalan,” katanya.
“Rakyat patut sentiasa diberitahu mengenai rasional dasar-dasar kerajaan. Pembaca perlu dididik, sebagai contoh, mengenai isu kenaikan harga barangan, di mana banyak lagi faktor yang mempengaruhi  harga tersebut, bukan semata-mata pengurangan subsidi petrol oleh kerajaan,” kata Abdul Rahman.
Justeru, katanya, selaku agensi berita tunggal di negara ini, Bernama harus menjadi nadi dalam aliran berita yang memenuhi kehendak rakyat.
Sehubungan dengan itu, di majlis tersebut, Datuk Zakaria meluahkan harapan supaya “wartawan bukan sekadar menjalankan tugas menyediakan berita malah mereka juga harus lebih berfikiran ke hadapan dengan membuat sesuatu untuk menjadikan berita mereka lebih padat. Wartawan perlu pandai bertanya untuk mendapatkan cerita yang lebih baik. Keupayaan seseorang wartawan itu amat penting kerana wartawan sampingan yang ada (di Bernama ) tidak ramai. “
Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, Program Bernama School of Journalism (BSJ) berjaya menghasilkan 145 kursus dengan penglibatan  lebih 2,200 peserta dalam kalangan petugas Bernama, warga Kementerian dan pihak swasta.
Antara kursus yang menyentuh kemahiran wartawan meliputi ‘Interviewing skills’ ‘English For Journalists’, ‘Handling Mistakes in Writing’, ’ Foreign News’ , ‘Bahasa Melayu dalam Kewartawanan’ dan ‘Towards Excellence’, modul yang menitikberatkan etika dan professionalisme wartawan .  
Modul-modul baru yang akan diperkenalkan merangkumi ‘ Media & Kerajaan’ ; Undang2 & Etika Kewartawanan’, ‘Sports Journalism’  serta ‘ Kewartawanan Media Sosial’.
Dalam pada itu, bekas wartawan Bernama juga berpeluang menyertai skim BSJ selaku Tenaga Pengajar. 
Individu atau institusi yang berminat menyertai kursus yang dianjurkan Bernama,  boleh menghubungi Sekretariat BSJ di talian 03 2050 4550.  

Catatan Syed Khedher Ismail