Banyak pengalaman dilalui Mazlin Nordin dalam
menerbitkan program televisyen seperti “Bersama Mu” yang mula disiarkan TV3
lapan tahun lepas.
Program itu yang kini memasuki fasa kedua dengan judul “Potret
Bersama Mu” telah membawa faedah kepada lebih 400 keluarga untuk keluar dari
kancah kemiskinan.
“Ini betul-betul kerja kebajikan kita secara berterusan,”
kata Mazlin, yang telah bertugas hampir 20 tahun dengan TV3 bermula sebagai
wartawan dan kini penerbit eksekutif.
Pagi ini, Mazlin, yang membahasakan dirinya ‘Chik Inn’, berada
di konti Bernama Radio24 untuk
berkongsi pengalamannya dalam program “Bersama Wartawan” diterajui
Wan Yuzaini Wan Yahya.
Ketika ditanya peristiwa yang tidak dapat dilupa ketika
mengendalikan program itu, beliau menceritakan mengenai sebuah keluarga yang tinggal di kaki
Gunung Kinabalu yang dikunjunginya pada tahun 2005.
Si suami seorang petani bukit yang bekerja di kebun orang manakala
rumahnya tiada bekalan air dan elektrik melainkan lilin untuk menerangi malam.
“Malam tu, apabila dia balik dari menghantar sayur, kami sudah standby
dan memberitahunya supaya buat seperti biasa.
“Diapun pergi ke dapur…ambil nasi dan letakkan dalam pinggan
anak-anaknya yang sabar menunggu,
“Selepas tu dia letak air dalam pinggan anak-anaknya dan membuka
botol yang mengandungi garam dan dituangkan ke dalam pinggan.
Mazlin ternyata sebak apabila menceritakan bagaimana
mereka menyudahkan makanan dengan menghirup air itu “seolah-olah kuah tom yam
atau sup tulang yang paling enak”.
“Itulah makanan mereka setiap hari…semua kami termasuk jurukamera
yang macho pun bergenang air mata,” katanya.
Kedaifan keluarga itu amat menginsafinya apabila membandingkan
dengan orang lain yang boleh menukar makanan mengikut selera.
“Jangan kita bazir makanan…dalam bulan Ramadan ini, maaf
cakaplah, kadang-kadang kitapun terlepas juga.
“Ingatlah…buffet yang mahal-mahal ini, masyaAllah banyak
lagi orang yang boleh makan,” kata Mazlin.
Ditanya mengenai keadaan keluarga berkenaan pada ketika
ini, beliau gembira kerana mereka berjaya dengan sokongan yang diberikan.
“Ada anaknya yang belajar di KL dengan mengambil IT,
rumahnya pun dah elok, ada TV besar,” katanya yang bertindak sebagai penerbit
bagi Potret Bersamamu – fasa kedua yang merakam kembali perkembangan
keluarga-keluarga yang muncul dalam siri terdahulu.
Dalam program bual bicara selama 50 minit itu yang mula ke udara dua bulan lepas, Mazlin turut berkongsi
hobinya yang unik – mengumpul poskad.
Hobi itu bermula sejak kecil, semasa “darjah tiga atau empat”,
setelah mengikut keluarga ke sana sini.
Setelah bekerja, hobi itu semakin mekar kerana beliau
akan mengirim poskad kepada dirinya sendiri dari tempat-tempat beliau
ditugaskan.
Ia menjadi catatan perjalanan serta pengalaman hidupnya,
kata Mazlin yang masih menyimpan poskad yang dikumpul dari tahun 1970-an.
“Memang ada hajat saya nak buat buku sebelum bersara,”
katanya yang dinobatkan sebagai Tokoh
Pekerja Wanita Kebangsaan 2003 dan menerima anugerah daripada idolanya Tun Dr
Mahathir Mohamad, yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.
“Bila saya dimaklumkan oleh bahagian sumber manusia kami,
saya betul-betul terperanjat juga dicalonkan kerana biasanya wartawan
dicalonkan untuk anugerah kewartawanan,” katanya .
“Saya selalu sarankan kepada staf saya bahawa apabila
kita bekerja, kita jangan berkira.
“Kita mesti ada disiplin…jangan bila kita bekerja hingga larut
malam, kita kata bos bukannya nampak dan kita buat kerja lebih kurang aja…tak
boleh.
“Saya selalu pesan, mungkin kita kata dia tak nampak tapi
dia nampak dan Allah nampak,” katanya.
No comments:
Post a Comment