Tugasan mengetuai pasukan
Bernama untuk liputan Pilihan Raya Kecil Kuala Besut meninggalkan kenangan
manis bagi Editor Meja Berita, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Haji Khairdzir
Yunus.
Beroperasi di sebuah resort
yang baru dibuka, para petugas dari ibu pejabat yang membantu beliau ialah dua
Penolong Editor Leslean Arshad dan Harlina Samson serta wartawan Mohd Yusof
Saari, Mohd Faizal Hassan, Salawaty Supardi dan Siti Salwa Shaari serta
jurufoto Mahayuddin Mohammad.
Kehadiran mereka bertujuan
memperkasakan tenaga Biro Terengganu yang diketuai Amrizan Madian dan wartawan
Ahmad Erwan Othman serta jurufoto Arjasneh Ahmad.
Dua orang stringer Biro
Kuala Terengganu Nur Fazlizai Ali dan Cikgu Nodin Mahadi serta petugas teknikal
Rosamiza Omar turut membantu.
"Liputan Bernama untuk
pilihan raya kecil kerusi DUN Kuala Besut ini boleh dikatakan antara liputan
yang terbaik berbanding beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
"Semua isu diliputi
malah keputusan tidak rasmi juga dapat dihantar sebelum proses penjumlahan undi
bermula. Keputusan rasmi pula dihantar sebaik sahaja diumumkan oleh Pegawai
Pengurus Pilihan Raya tanpa sebarang masalah," kata Khairdzir.
Penamaan calon diadakan pada
12 Julai manakala pengundian pada
24 Julai lalu.
Barisan Nasional (BN)
berjaya mempertahankan kerusi itu apabila calonnya Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera mengalahkan
calon PAS Endot @ Azlan Yusof, seorang peniaga dengan kelebihan 2,592 undi
majoriti.
Tengku Zaihan memperoleh
8,288 undi manakala Azlan 5,696 undi daripada sejumlah 14,108 yang telah
menunaikan tanggungjawab masing-masing atau kira-kira 80 peratus daripada
17,683 pengundi berdaftar di DUN Kuala Besut.
PRK itu diadakan selepas berlaku
kekosongan akibat kematian ADUN-nya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu.
"Semua liputan berjalan
lancar dan pasukan Bernama telah menunjukkan semangat bekerja secara
"teamwork" yang sangat baik,” kata Khairdzir.
Operasi liputan Bernama berakhir secara rasminya pada Jumaat, 25 Julai 2013 dengan berita rangkuman dan
analisis mengenai PRK yang telah berlangsung dan satu berita mengenai wakil
rakyat yang baharu memulakan tugas hari pertamanya.
Kuala Besut, yang menghadap
Laut Cina Selatan, tidak hanya menambat hati kerana keindahan pemandangannya
tetapi juga kehidupan penduduknya.
Selain makanannya murah dan
enak, dialek penduduk yang bersempadan dengan Kelantan itu menarik perhatian
Khairdzir.
"Tempat penginapan di
Tanjung Demong Beach Resort juga selesa dan memuaskan, ada sahur disediakan dan
terletak di tepi pantai Teluk Demong yang memberikan ketenangan suasana santai
seolah-olah kita bekerja dalam bercuti," kata beliau.
Lebih menyeronokkan, kata
beliau ialah bekerja dalam bulan Ramadan membuatkan suasana kempen tenang dan
tidak agresif.
Malah Pengerusi dan Timbalan
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyifatkan PRK kali ini
sebagai PRK yang paling tenang dalam sejarah pilihan raya di negara ini dan
harus menjadi ikutan pilihan raya lain pada masa akan datang.
Di Kuala Besut terdapat dua bazar Ramadan iaitu di Kampung
Raja dan di tapak Pasar Tani Kuala Besut yang menawarkan pelbagai masakan khas
dan tradisional Kelantan/Terengganu seperti kuih akok, nasi dagang, nasi
kerabu, ayam percik, satar dan lain-lain.
Wartawan Salwa dan Salawaty
mengakui tiada makanan yang tidak enak yang dibeli di bazar Ramadan itu
walaupun makanan itu dipilih secara rambang.
"Lagipun harganya murah,
sebagai contoh satu cucuk satar yang mengandungi tiga biji satar baru seringgit
berbanding dua ringgit di KL," kata mereka.
Cuma para peniaga di situ
agak sukar memahami dialek KL yang dipertuturkan oleh petugas Bernama kerana
rakyat tempatan bertutur dalam dialek Kelantan.
"Sebagai contoh apabila
saya minta untuk membeli ayam percik makcik penjual tidak faham dan hanya faham
setelah anaknya menterjemahkannya kepada "aye". Begitu juga seringgit
disebut "serial"," kata Khairdzir.
Yang menjadikan PRK kali ini
lebih santai menurut beliau adalah kedudukan Kuala Besut sebagai pintu masuk ke
Pulau Perhentian yang merupakan antara pulau tercantik di dunia dan menjadi
destinasi pelancongan antarabangsa.
Hampir setiap hari pemimpin
pusat dan negeri serta calon silih berganti ke Pulau Perhentian untuk berkempen
kerana pulau yang dihuni oleh lebih 2,000 penduduk itu juga terletak dalam
kawasan DUN Kuala Besut.
Khairdzir sendiri
berkesempatan menginap semalam di Sharila Beach Resot di Pulau Perhentian Kecil
kerana membuat liputan majlis berbuka puasa Timbalan Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Jailani Johari bersama penduduk Pulau Perhentian. Program yang
dikenali dengan nama "Kenali Jiran" itu dianjurkan oleh Jabatan
Penerangan Malaysia.
Sebelum pulang ke Kuala
Lumpur, Khairdzir dan Puan Harlina yang ditemani dua petugas Biro Bernama KT,
Tuan Azam dan Moksin telah ke Dungun untuk mengunjungi bekas editor Meja Berita
Encik Ali Mamat.
Walaupun telah bersara sejak
2007, 'sifu' bagi sebilangan besar wartawan Bernama, Encik Ali kelihatan sihat
dan ceria.
Beliau yang disyaki
menghidap barah hati telah menjalani prosedur rawatan membuang ketumbuhan dalam
perutnya sebelum ini namun doktor baru-baru ini mengesan ketumbuhan baru.
Beliau menerima rawatan
secara berkala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,
Kelantan.
"Marilah kita sama-sama
mendoakan semoga beliau cepat sembuh," kata Khairdzir.
Menurut isteri Encik Ali,
walaupun sakit beliau masih giat dengan aktiviti kegemarannya iaitu memancing
dan menjala ikan.
Encik Ali, yang mempunyai
dusun durian di Hulu Terengganu berhampiran Tasik Kenyir, turut mempelawa kami
mengadakan rombongan ke dusunnya pada musim durian yang akan datang.
Beliau turut berkirim salam
kepada sesiapa jua yang mengenalinya.
Usaha Haji Khairdzir dan
Puan Harlina untuk menjejaki seorang lagi "sifu" iaitu bekas Editor
Eksekutif Perkhidmatan Berita Am Bernama dan Pengarah NAM News Network (NNN),
Encik Rachman Nordin atau dikenali sebagai "Roger", menemui jalan
buntu apabila alamat tempat tinggal beliau di Dungun tidak diketahui sesiapa
dalam kalangan kami.