Friday 25 May 2018

Bernama rai petugas jualan capai KPI


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus memainkan peranan penting bagi pelanggan bukan media untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka apabila  dua unit daripada Jabatan Niaga dan Pemasaran serta  Bernama Radio berjaya mencapai petunjuk prestasi (KPI) jualan pada tahun lepas.
Bahagian Jualan  Nasional, Pertubuhan Media dan Pengurusan Acara (MREM) dan Bernama Radio masing-masing menerima sijil kecemerlangan dalam satu majlis  yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh, sebagai penghargaan di atas jasa serta sumbangan mereka.
Pengurus Kanan Bahagian Jualan Nasional, Norena Wati Yaacob berkata, penghargaan yang diberikan menjadi penyuntik semangat bagi semua petugas untuk bekerja dengan lebih tekun bagi meningkatkan pendapatan Bernama.
“Tanggungjawab sebenar petugas jualan dan pemasaran bukan hanya untuk mencapai KPI masing-masing tetapi  kami juga perlu membawa pendapatan dan keuntungan kepada organisasi,” katanya.
Tambahnya, mereka juga perlu merangka  strategi yang tepat dengan mendapatkan pelanggan baru serta menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
Sehingga  kini, pihaknya giat mengenal pasti bakal pelanggan dan beliau yakin dengan imej yang dibawa oleh Bernama akan memberi keyakinan kepada pelanggan untuk menjalin kerjasama bagi tempoh yang panjang.
 Ujarnya, Bahagian Jualan Nasional menyasarkan pendapatan sebanyak RM4.9 juta menjelang akhir tahun 2018.
"Dari Januari hingga April tahun ini, kami telah memperoleh RM1.98 juta iaitu 40.45 peratus dan saya  positif kami akan berjaya melepasi jumlah yang disasarkan pada tahun ini berdasarkan usaha keras yang ditunjukkan oleh semua petugas," katanya.
Norena Wati berkata, pelanggan Bernama terdiri daripada kementerian, agensi di bawah kementerian, entiti korporat dan badan bukan kerajaan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Pusat Pungutan Zakat, Suruhanjaya  Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Samsung dan Institut Diabetes Negara.
Mengimbas kembali penubuhan bahagian itu pada 2009, Norena Wati berkata objektif Bahagian Jualan Nasional adalah untuk membentangkan aspek jualan dan pemasaran produk Bernama  dengan cara bersepadu kepada pelanggan berpotensi untuk meningkatkan pendapatan Bernama.
“Kami membuat cadangan kepada pelanggan dengan membentangkan produk yang ditawarkan dalam jumlah keseluruhannya, termasuk perkhidmatan yang diberikan oleh unit lain seperti Perhubungan Media dan Pengurusan Acara (MREM), Perpustakaan Bernama dan Perkhidmatan Infolink (BLIS), Berita News Channel (BNC) dan Bernama Radio dan lain-lain, " katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, pihaknya akan menumpukan kepada sektor yang belum diteroka seperti industri kecil dan sederhana, platform e-dagang, sektor pendidikan, serta perbankan dan kewangan.
Sementara itu, Pengurus Kanan MREM, Aniceta Ferns berkata pencapaian KPI pada tahun lepas tidak bermakna unitnya kini sudah berada di zon selesa, sebaliknya penghargaan yang diberikan oleh pihak pengurusan akan menjadi titik asas untuk bekerja dengan lebih keras supaya  penambahbaikan sentiasa dapat dilakukan.
Katanya, tiada rahsia strategi untuk mencapai KPI jualan selain daripada sentiasa mengetahui perkembangan berita daripada dalam dan luar negara bagi mencari pelanggan yang bersesuaian dengan perkhidmatan yang disediakan di Bernama.   
Buat Pengurus Pembangunan Perniagaan Bernama Radio, Raziyaza Mohammed pula, elemen visual yang ditampilkan oleh Bernama Radio menjadi ciri unik untuk ditawarkan kepada pihak pelanggan sekaligus membantu untuk membawa pendapatan kepada organisasi dan Bernama Radio.
“Sejak tahun lepas, kami menumpukan kepada media sosial di mana sesetengah segmen disiarkan secara langsung di Facebook dan kami menjadikan ini sebagai kelebihan untuk dijual kepada pelanggan sedia ada dan menarik pelanggan baru,” katanya.
Bagi terus mendekati bakal pelanggan, Bernama akan mengadakan ‘Bernama Roadshow 2018’ tidak lama lagi.
Selain memperkenalkan produk dan perkhidmatan Bernama, acara itu bertujuan memberikan makluman mengenai program terkini yang disiarkan di BNC dan Bernama Radio.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment