Wednesday 23 May 2018

Bank Islam rai warga Bernama berbuka puasa

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menganjurkan majlis berbuka puasa untuk meraikan warga kerja Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama hari ini.
Pengurus Besar Ketua Kumpulan Pegawai Syariah Bahagian Syariah Bank Islam Mohd Nazri Chik berkata pihaknya sangat berbesar hati apabila dapat berbuka puasa bersama-sama petugas agensi berita itu.
"Ini merupakan tahun ketujuh Bank Islam menganjurkan majlis berbuka puasa bersama petugas Bernama.  Ia sebagai menghargai petugas media yang bertugas menyalurkan berita untuk orang ramai ketika orang lain telah pun berada di rumah bersama keluarga masing-masing untuk berbuka puasa.”
Inisiatif tahunan tersebut mula dilaksanakan pada 2011 sebagai memberi penghargaan kepada warga media yang sentiasa bekerjasama membuat liputan dan penyebaran maklumat mengenai Bank Islam, di samping mengeratkan ukhwah antara bank berkenaan dengan pihak media.
Turut hadir Ketua Perbendaharaan Bank Islam Adi Asri Baharom, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Datin Rohana Mustaffa.
Selain itu, Bank Islam Malaysia Berhad Holdings (BIMB Holdings) dan anak syarikatnya memperuntukkan hampir RM800,000 untuk beberapa program kebajikan sepanjang Ramadan ini.
Antaranya majlis berbuka puasa secara percuma (setiap hari bekerja) buat masyarakat yang bertugas di sekitar Menara Bank Islam; Program Tanggungjawab Korporat (CR)  Amal Ihtimam Ramadan Bank Islam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Kelantan dan Johor; Majlis Iftar dan penyerahan juadah berbuka puasa bersama media; tajaan untuk berniaga di Bazar Ramadan Bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia dan Program Semarak Ramadan BHB-BH 2018 di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment