Thursday 22 May 2014

Delegasi Wartawan Indonesia Lawat Bernama


Delegasi lapan wartawan Indonesia yang sedang dalam program lawatan enam hari di Malaysia meluangkan masa lebih dua jam meninjau operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama hari ini.
Anggota delegasi berkenaan terdiri daripada wartawan pelbagai media Indonesia iaitu Redaksi Harian Waspada, GM Kompas TV, Harian Radar Surabaya, Harian Singgalang, Harian Umum Pikiran Rakyat, Banjarmasin Post dan Harian Fajar.
Lawatan delegasi berkenaan ke negara ini adalah anjuran Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) bersama Jabatan Penerangan.
Dalam lawatan ke Bernama, delegasi berkenaan diberikan taklimat operasi Bernama oleh Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Zakaria Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Ahmad Zukiman Mohd Zain. Hadir sama Penolong Pengarang Meja Isu Khas dan Rencana Adnan Jahaya.
Ini diikuti dengan sesi soal jawab bagi mendapatkan maklumat menyeluruh dan terperinci tentang kedudukan Bernama sebagai sebuah agensi berita nasional di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Dalam taklimat berkenaan, Zakaria memaklumkan anggota delegasi tentang program khusus untuk warga Indonesia menerusi saluran Radio24 Bernama 'Kabar Merah Putih' yang bersiaran setiap Sabtu dari pukul 6 petang hingga 9 malam.
"Program khusus untuk warga Indonesia di Lembah Klang ini adalah hasil kerjasama dengan Kedutaan Republik Indonesia di Kuala Lumpur dan dikendalikan oleh warga Indonesia.
"Sejak mula disiarkan sambutan yang diterima sangat baik," jelas Zakaria.
Selepas sesi taklimat dan soal jawab, anggota delegasi tersebut melawat perkhidmatan Audio Visual Bernama, BernamaTV.
Ini diikuti dengan lawatan ke Jabatan Pengarang Bernama bagi mempelajari dan melihat sendiri operasi perkhidmatan berita Bernama.
Seorang anggota delegasi, H Sofian Harahap daripada Redaksi Harian Waspada menyifatkan lawatan beliau ke Wisma Bernama sebagai satu pendedahan yang sangat baik.
"Berdasarkan taklimat dan tinjauan hari ini, sebagai seorang pengamal media, bagi saya Bernama ialah sebuah agensi berita yang moden dan bertaraf dunia.
"Perkhidmatan yang ditawarkan Bernama begitu menyeluruh meliputi audio-visual, radio, berita dalam talian dan gambar. Saya doakan Bernama akan terus sukses," jelas beliau.
Koordinator ISWAMI dan wakil Indonesia dalam YIRMI, Dirwan Ahmad Darwis yang mengetuai delegasi berkenaan berkata, program lawatan enam hari wartawan Indonesia ke Malaysia mampu meningkatkan persefahaman antara rakyat Malaysia dan Indonesia.
"Wartawan merupakan ejen yang menggalakkan keharmonian dan persefahaman antara dua buah negara. Justeru program lawatan dan tinjauan sebegini adalah penting untuk memastikan hubungan masyarakat antara Malaysia dan Indonesia bertambah erat seiring masa," jelas beliau.
Selain lawatan ke Wisma Bernama, program lawatan di negara ini yang bermula 18 Mei sehingga esok turut melibatkan lawatan ke Hilir Perak dan daerah Kerian di Perak serta Sabak Bernam, Selangor.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment