Tuesday 12 November 2013

Unitar sertai bengkel komunikasi ...




Unitar, satu-satunya universiti tempatan yang menjadi perintis dalam ‘virtual learning’ (pembelajaran maya) menyertai bengkel khas anjuran Bernama bertemakan ‘High Impact Communications Skills’ di Pusat Kecemerlangan, Wisma Bernama, hari ini.
Bengkel tersebut disertai 20 kakitangan universiti berkenaan termasuk empat professor dan beberapa ketua bahagian. Ketua Pengawai Eksekutif Unitar,  Encik  Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi dan Ketua Pegawai Operasi & Kewangan, Encik Lukman Musa turut meluangkan masa meninjau operasi Bernama TV dan Jabatan Editorial serta bertukar-tukar pandangan ketika jamuan tengah hari bersama pegawai-pegawai kanan Bernama.  
Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong dalam sesi mukadimah bengkel berkongsi pengalamannya dengan para peserta mengenai pelbagai peristiwa semasa dan cabaran-cabaran yang dilalui oleh Bernama dalam menulis laporan berita  serta menterjemahkan artikel.
Ketika ditanya pendapatnya oleh seorang peserta bengkel, Datuk Yong menghargai perancangan Unitar untuk menceburi bidang pemakanan. Menurut beliau tidak banyak rangkaian bisnes masakan Melayu di bidang perhotelan atau restoran dalam ataupun di luar negara. Justeru, ia satu ide yang bagus dan menunjukkan Unitar mampu mempelbagaikan aktivitinya.
Editor Meja Berita Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN), Khairdzir Yunus membicarakan aspek komunikasi krisis sebelum peserta berpeluang melihat dengan lebih dekat operasi Bernama Radio24. 
Melalui saluran radio Bernama, Unitar boleh mengenengahkan pelbagai jenis program yang hendak diwar-warkan kepada orang ramai.
Sesi berikut yang ‘ditunggu-tunggu’ oleh peserta ialah simulasi mengenai sidang akhbar yang dikendalikan oleh Editor Tugasan Bernama TV Abd.Rahman Ahmad. Ketua Bahagian Korporat Komunikasi, Ahmad Hafiz Osman berperanan selaku ‘CEO UNITAR’ bersama Prof.Dr.Sakina Sofia, Prof.Dr.Abd.Razak dan Prof.Dr.Muhamad Naim menjawab soalan-soalan dari wartawan Bernama. 

Syed Khedher Ismail


No comments:

Post a Comment