Wednesday 27 November 2013

Janda Baik destinasi menarik fotografi...



Janda Baik, sebuah kawasan perkampungan di negeri Pahang, merupakan destinasi pelancongan yang amat menarik . Dikelilingi rimbunan pokok, bukit-bukau, air terjun serta sungai yang jernih, ia begitu sesuai dijadikan lokasi program latihan selain tempat rekreasi. 
Bertemakan alam semulajadi, sekumpulan 20 peserta terdiri dari 16 petugas Bernama dan empat orang dari Malaysia Productivity Corporation, Jabatan Warisan Negara, Aswara dan Jabatan Muzium Malaysia mengikuti bengkel ‘Fotografi Lanjutan’ selama 3 hari di Cheringin Hills Convention Resort bermula 14 November 2013.
Bengkel yang menjurus ke arah latihan secara praktikal dikendalikan oleh Haji Mustaza Mohd Yusoff, Ketua Unit Foto,Bernama dibantu oleh jurufoto Shahrizan Jeffri.
 
Tiga aspek menjadi tumpuan peserta sepanjang bengkel. Pertama, mengaplikasi hal-hal teknikal seperti depth of Field, slow/fast shutter speed, flash dan shadow bagi tujuan pengambilan foto berkualiti.
Kedua, mengenalpasti objek atau suasana yang hendak digambarkan, antaranya, tumbuh-tumbuhan, serangga/unggas, landskap seperti air terjun, sungai, pemandangan di siang hari, senja dan ketika waktu malam di samping merakam aktiviti penduduk di kampung berdekatan.
Peserta dibahagikan secara berkumpulan. Setiap peserta dikehendaki mendapatkan gambar terbaik berdasarkan kreativiti masing-masing.
Foto mereka kemudian dianalisa dan diberi komen oleh kedua-dua tenaga pengajar. Menurut Shahrizan, pengambilan gambar mengenai pemandangan perlu ada komposisi dan menggunakan rule of third (peraturan ketiga) iaitu perlu tahu tujuan dan jenis foto bagaimana patut diambil.
Beliau menunjukkan contoh pelbagai foto pemandangan yang diambilnya sebagai perbandingan kepada peserta.
Uniknya bengkel seperti ini kerana ia turut meliputi teknik mempelajari rakaman video menerusi kamera secara teori dan praktikal.
Sesi memahami peralatan kamera dikendalikan dengan kerjasama wakil dari Nikon Malaysia. Peserta diberi kefahaman tentang jenis dan perbezaan pada kad memori, penggunaan bateri dan perisian seperti Adobe Premier & Windows Video Maker untuk  penyuntingan video.
Bagi aktiviti luar (outing) pula, peserta dibawa  ke kawasan berhampiran Sungai Benus, di pinggir perkampungan.
Kandungan bengkel tersebut merupakan sebahagian dari modul Kewartawanan Foto di bawah program Bernama School of Journalism.
Selaku wartawan versatile (serba boleh), pengetahuan dan kemahiran mengambil foto dan video diperlukan agar mereka dapat melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan. 

Oleh Syed Khedher Ismail

1 comment:

  1. besttttt
    http://www.duniakecantikankesihatan.blogspot.com/

    ReplyDelete