Wednesday, 6 December 2017

Team Bernama di PWTC...

Penolong Ketua Penyunting Nurul Afida Kamaludin memuat-naik di Facebook gambar-gambar Team Bernama yang  bertugas sejak Ahad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi liputan Perhimpunan Agung UMNO ke-71.
Perhimpunan Agung Umno merupakan antara liputan yang menjadi tumpuan saban tahun kerana kepentingannya bukan setakat parti itu tetapi juga kepada pentadbiran negara memandangkan Umno merupakan parti tulang belakang Barisan Nasional yang memerintah.
Perhimpunan agung kali ini bertambah penting kerana ia terakhir diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Dengan beroperasi dari tempat persidangan, liputan dapat dilakukan dengan lebih pantas sepanjang persidangan.
Ia juga membolehkan para pemimpin dan perwakilan Umno diwawancara dengan lebih mudah manakala pasukan liputan dapat merasai 'áura' perhimpunan parti keramat itu.  




Tuesday, 5 December 2017

Hubungan baik media Malaysia-Thailand untungkan rakyat dan negara...

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah hubungan baik pengamal media negara ini dan selatan Thai memberi manfaat kepada kedua-dua negara khususnya rakyat di kawasan sempadan.
Baginda bertitah maklumat atau berita mengenai kepentingan bersama perlu diketahui rakyat kedua-dua negara dan disalurkan dengan pantas oleh media.
“Dalam hubungan ini, media kedua-dua negara harus memainkan peranan dengan berkesan menyalurkan maklumat apatah lagi apabila menyentuh isu-isu sempadan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan komoditi dan barang larangan seperti senjata api dan dadah,” titah baginda. 
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian  semasa menerima menghadap 40 pengamal media dari selatan Thailand dan Bangkok di Galeri Diraja, Istana Arau di Perlis hari ini.
Baginda kemudian meraikan mereka pada majlis jamuan tengah hari di galeri itu.
Rombongan itu dalam rangka lawatan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan mereka di Perlis, Pulau Pinang dan Perak bermula hari ini dan turut disertai Timbalan Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran (Pembangunan) Wilayah Selatan Thailand (SBPAC) Laksamana Madya Somkeart Ponprayoon.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah maklumat yang disalurkan harus memberikan kesan dan impak positif terhadap masyarakat selain memperkukuhkan kerjasama dan hubungan dua hala.
“Perbezaan bahasa dan budaya bukanlah penghalang untuk media kedua-dua pihak bekerjasama kerana kedua-dua pihak mempunyai tujuan sama iaitu menyalur maklumat atau berita kepada rakyat,” titah baginda.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin kebolehan sebahagian pengamal media selatan Thai berkomunikasi dalam bahasa Melayumemudahkan perkongsian maklumat.
Baginda mahu media Thailand turut membantu mempromosikan Perlis yang menyediakan kemudahan dalam sektor ekonomi, pendidikan dan pelancongan kepada rakyat Thailand.
“Beta mengambil kesempatan ini mempelawa penuntut dari Thailand menyambung pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menawarkan kepakaran dakam bidang kejuruteraan manakala Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dalam pelbagai bidang berteraskan agama,” titah Tuanku Syed Faizuddin.
Program itu merupakan kerjasama antara Kelab Media Perlis (KEMPs) dan Southern Peace Media Club (SPMC) Selatan Thailand yang mengambil kesempatan itu membincangkan pelbagai agenda kerjasama dua hala selain menyokong usaha antara kerajaan untuk memajukan wilayah-wilayah di sempadan.
Rombongan itu meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang petang ini dan seterusnya Perak esok.
-- BERNAMA


Zahid rasmi Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2017

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merasmikan Laman Media, yang menempatkan ruang kerja serba lengkap bagi pelbagai agensi dan syarikat penyedia berita dan maklumat yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2017.
Lebih 1,800 petugas yang mewakili 75 agensi serta syarikat media cetak dan elektronik ‘berkampung’ di pusat media itu yang bertempat di Dewan Tun Razak 4, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Putra sepanjang Perhimpunan Agung UMNO bermula hari ini hingga Sabtu.
Daripada jumlah itu, 61 adalah agensi dan syarikat media tempatan manakala 14 lagi merupakan media antarabangsa yang membuat liputan perhimpunan terakhir UMNO sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. 
Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Laman Media kali ini menempatkan kesemua media cetak, elektronik dan media sosial di ruang yang sama.
Ia menyediakan ruang kerja yang selesa dengan keluasan tiga kali ganda lebih besar berbanding lokasi di Bilik Mawar sebelum ini.
Selain kemudahan teknologi multimedia terkini, Laman Media turut dilengkapi bilik sidang media, surau dan ruang makan.
Ahmad Zahid, yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, meluangkan masa melawat pusat media itu yang turut menempatkan ruang kerja bagi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Bernama News Channel (BNC) serta beramah mesra dengan para petugas media.
Perhimpunan agung parti tunjang kerajaan Barisan Nasional itu disertai oleh 5,739 anggota perwakilan.
-- BERNAMA

Monday, 4 December 2017

Felda Hot Springs lokasi Management Retreat...

Program ‘Management Retreat’ yang sebelum ini dicadangkan diadakan di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Jabatan Perangkaan Malaysia, di Sungkai akan bertukar tempat ke Felda Residence Hot Springs di Sungai Klah, juga di Perak.
Tarikhnya masih 14 dan 15 Disember ini.
Memo berkenaan dikeluarkan hari ini dengan menyatakan para peserta akan berbincang dan menyumbang idea ke arah merangka hala tuju BERNAMA (B50) serta strategi dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Turut dinyatakan adalah format penyediaan pelan hala tuju yang perlu dibincangkan oleh setiap kumpulan/jabatan untuk dibentangkan semasa program itu.
Program itu melibatkan 30 peserta yang dibahagi kepada empat kumpulan.
Selain hala tuju, fokus pembentangan termasuk penjenamaan (branding), strategi jualan dan pemasaran.
Ketiga-tiga perkhidmatan Jabatan Pengarang – Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN), Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) dan Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) diletakkan dalam satu kumpulan untuk menyediakan pembentangan yang memberi fokus kepada hala tuju Bernama.
Begitu juga kumpulan mengandungi Bernama News Channel (BNC) dan Bernama Radio yang turut memberi tumpuan kepada hala tuju.
Kumpulan Pejabat Pengurus Besar mengandungi Komunikasi Korporat, Pusat Kecemerlangan, Sumber Manusia dan Pentadbiran serta Kewangan dan Akaun akan memberi fokus kepada Penjenamaan (Branding).
Kumpulan keempat mewakili Jabatan Niaga mengandungi MREM, Portal dan Pemasaran Foto, Media dan Pangkalan Data serta Jualan Nasional akan memberi tumpuan kepada Strategi Jualan dan Pemasaran.
Tarikh 14 dan 15 Disember dipilih bagi membolehkan para peserta mengikuti acara Hari Keluarga Bernama anjuran Kelab Kakitangan Bernama (KKB) pada 16 dan 17 Disember  2017 di Puteri Bayu Beach Resort, Pulau Pangkor, Perak. 

Sunday, 3 December 2017

Sambutan meriah Malam Deepavali...

Kira-kira 100 kakitangan kaum India dari Bernama dan keluarga mereka menyambut meriah Malam Deepavali yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara malam ini.
Acara tahunan itu yang diadakan sejak 2014 dimeriahkan dengan kehadiran Presiden Makkal Sakthi Datuk R. S. Thanenthiran selaku tetamu kehormat. Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Semasa berucap, Datuk Zakaria menggalakkan kakitangan kaum India meneruskan tradisi menyambut Deepavali demi mengukuhkan hubungan dengan rakan sekerja dari kaum lain.
"Saya berharap semoga lebih banyak acara seperti ini diadakan oleh kakitangan kaum India dan melalui acara ini, hubungan antara kakitangan akan terus kukuh,” kata beliau.
Pengerusi penganjur acara Jeyakumar Athimulan mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu bagi memastikan kejayaan acara tersebut.
Kemuncak malam itu ialah acara cabutan bertuah yang menyaksikan beberapa kakitangan memenangi hadiah percutian dengan semua perbelanjaan dan tiket penerbangan ke Chennai dan Jaipur di India ditanggung manakala yang lain memenangi hadiah telefon bimbit, kamera dan penginapan hotel.
Dua daripada kakitangan Bernama yang akan bersara tidak lama lagi iaitu Durga Varma Sreenivasan, Editor Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Perkhidmatan Ekonomi Bernama dan Jaiarajo Lechuman dari Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Perkhidmatan Berita Dalam Negeri juga diraikan pada majlis itu.
-- BERNAMA

A hotel named Malaysia in Bangkok…

Bernama correspondent in Bangkok Mohd Haikal Isa traced a modest hotel named Malaysia Hotel in the heart of the modern metropolis which was the location of award-winning Hollywood movie “Good Morning Vietnam”.
The family-run business, which has just celebrated its golden anniversary, hosted late Hollywood funnyman Robin Williams for the shooting of the 1987 film.
The hotel was founded by entrepreneurial Chinese immigrant Peng Hui Saebae in 1967.
“They (the film crew) spend about a month here. Robin Williams came and shot the film here,” Saebae’s 73-year-old daughter Mayuree Rungsaeng told Bernama.
According to Mayuree,  who helped run the hotel during the shooting of the film, one of the rooms on the second floor had undergone extensive renovation to resemble a radio studio.
The comedy-war film which earned Williams a Golden Globe Award for Best Actor  in the Motion Picture Musical or Musical Category and an Academy Award nomination and other accolades, also starred another of Hollywood’s greats, Forest Whitaker.
Williams who tragically committed suicide in 2014,  played the role of radio DJ, Adrian Cronauer in the Barry Levinson directed film.
The hotel, Mayuree said, also received a lot of patronage from American military officers during the Vietnam war, either for rest and relaxation or for official duties at nearby Joint United States Military Advisory Group (JUSMAG).
According to Mayuree’s daughter Chanthiman Rungsaeng, who is the managing director of the hotel,  William’s did not stay at the hotel throughout the filming but only came to shoot the film.
On how the “Malaysia Hotel” name came about, she said, it was the desire to maintain the family’s ancestral name “Ma” which drove them to name the hotel with a name of a South East Asian country.
“Our family name is “Ma”,  so the family decided to named it Malaysia Hotel, as the name carries our family name and Malaysia, as it is easy for the customers to know,” she said of the 130-room hotel located in Sathorn area in Bangkok.
“Ma” in Chinese means “horse” she said, adding that an iron statue of a horse was placed at the entrance of the hotel to greet customers. 
The hotel just underwent an extensive renovation to commemorate its 50th anniversary as well as an effort to draw new customers  in view of the increasing competition from other hotels in the area, said Chanthiman.
In the renovation works  completed in September, many parts of the hotels were painted in golden yellow colour to mark its golden anniversary.
The hotel receives a small number of customers from Malaysia but aims to attract more with efforts like providing more Malaysian food and delicacies at its restaurant as well as halal food for them.
"We also hope our unique name, Malaysia Hotel will attract more Malaysians to stay with us," said Chanthiman of the hotel where the standard rooms start at about 900 Baht (RM113) per-night.
-- BERNAMA

Saturday, 2 December 2017

Dunia semakin kecil...

Adnan (kanan) bertemu Haikal di Almaty
Setiap kali bertugas di luar negara, Editor Foto Adnan Jahaya sering berdoa semoga bertemu rakyat Malaysia terutama orang Perlis atau mereka yang mempunyai kaitan dengan negeri kelahirannya itu. Seringkali doa beliau dimakbulkan.
Inilah catatan terbaharunya mengenai kunjungan ke luar negara.
"Ketika di Almaty, Kazakhstan minggu lalu saya bertemu seorang yang bukan kelahiran Perlis tetapi beliau mempunyai nostalgia dengan Taman Bunga Padi.
Encik Haikal Hanib menegur saya dan memperkenalkan diri ketika saya tiba di lapangan terbang Almaty dari Baku, Azerbaijan.
Beliau adalah setiausaha pertama Kedutaan Malaysia dan pengarah bahagian perdagangan di Kazakhstan dan berpejabat di Almaty.
Kami duduk semeja ketika makan malam di sebuah restoran dan dalam perbualan beliau turut menyebut tentang Perlis dan kawasan Bintong sebuah mukim di negeri bersempadan Thailand itu.
Saya beritahu beliau bahawa saya juga orang Bintong dan mengenali kebanyakan penduduk di situ. 
Beliau kemudian memberitahu bahawa beliau berkahwin dengan gadis pilihan  di Taman Bunga Padi yang merupakan antara kawasan perumahan paling awal wujud di Bintong.
Perbualan lebih rancak apabila saya juga menyatakan bahawa pernah menetap di kawasan perumahan itu dan mempunyai sebuah rumah di situ.
Kami berkongsi nostalgia dan sebelum meninggalkan Almaty dua hari kemudian saya memikirkan apakah saya pernah menghadiri majlis perkahwinannya di perumahan itu.
Ini kerana saya sering menerima jemputan ke majlis kahwin di taman itu tetapi jarang mengambil tahu siapa pengantinnya.
Ketika di Baku, Azerbaijan saya sempat berkongsi nostalgia bersama Duta Besar Malaysia di negara itu Datuk Roslan Abdul Rahman yang juga mempunyai koleksi nostalgia di Bintong.
Beliau pernah bersekolah di Perlis dan bekerja di negeri paling utara itu sebelum menjadi seorang diplomat.
Saya nengenali kebanyakan individu yang disebut mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.
Sesungguhnya dunia ini semakin kecil dalam sebuah jiwa kita yang semakin besar."
Adnan bersama Datuk Roslan di Baku

Friday, 1 December 2017

Dr Muhammad Afifi terima Anugerah Perdana Maulidur Rasul...

Pensyarah Bidang Pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2017.
Anugerah disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1439H/2017M di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara malam tadi.
Dr Muhammad Afifi menerima wang tunai RM50,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan.
Ketika ditemui pemberita kemudian, beliau berharap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai golongan ilmuwan Islam dan ulama daripada kalangan pelajar yang cemerlang dalam semua mata pelajaran ketika di peringkat sekolah menengah dan universiti.
"Dulu ada persepsi bahawa golongan ulama ini adalah pelajar yang gagal di peringkat Siji Pelajaran Malaysia (SPM) atau sekolah menengah.
"Justeru kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi harus memberi galakan kepada pelajar cemerlang untuk memilih jurusan pengajian Islam ke arah melahirkan lebih ramai ilmuwan dan intelektual Islam," katanya.
Beliau turut meminta golongan ulama dan ilmuan Islam memainkan peranan dalam membersihkan imej Islam yang diberi gambaran buruk oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, anugerah yang diterimanya itu merupakan satu tanggungjawab untuk menyebarkan dakwah Islam di seluruh dunia.
Dr Muhammad Afifi berkata antara perkara yang telah dilakukannya ialah mengeluarkan tulisan dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris mengenai penentangan terhadap pengeboman.
“Kita seharusnya menjadi duta atau wakil dari Nusantara untuk mengajar bahawa Islam yang dipelajari di Nusantara ini sepatutnya boleh dimanfaat di seluruh dunia Islam,” katanya.
Dalam pada itu, lapan individu lagi menerima Anugerah Maulidur Rasul.
Mereka ialah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Yaakub Md Amin; Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji di Tabung Haji Datuk Wan Mohamad Syeikh Abdul Aziz; dan bekas Duta Malaysia ke Mesir Datuk Ku Jaafar Ku Shaari.
Penerima lain ialah Pengerusi Yayasan Murni Aqidah Datuk Aidit Ghazali; Pengarah Eksekutif International Shariah Research Academy Prof Dr Mohamad Akram Laldin; Ahli Panel Pemikir Dakwah Negara Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin; Profesor di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Datin Dr Raihanah Abdullah dan ahli astronomi Dr Nur Adlyka Ainul Annuar.
Mereka dipilih berdasarkan kepada sumbangan mereka dalam memperkasakan syiar Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.
-- BERNAMA