Tuesday, 29 August 2017

Pengalaman menarik bagi Hisham catatan emas ke-111...

Ketua Biro Bernama Negeri Sembilan, Mohd Hisham Abdul Rafar tidak menjangka pingat emas ke-111 Malaysia dalam Temasya Sukan SEA ke-29 akan diraih di Velodrom Nasional di Nilai.
“Perasaan sukar digambar dan tidak terjangka pingat 111 semalam rupanya dituai di Velodrom Nasional. Memang satu kejutan,” katanya hari ini.
Juara dunia, Mohd Azizulhasni Awang merangkul angka keramat itu selepas menewaskan rakan sepasukan, Muhamad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut final malam tadi.
Hisham berkata jangkaan untuk Malaysia menang acara itu sudah pasti apatah lagi kesemua pelumba yang bertanding bukan calang-calang peserta.
“Kita ada pemenang pingat gangsa Olimpik Rio dan juara Keirin dunia yang saya nampak menyuntik moral pelumba berbasikal keseluruhan,” kata Hisham yang bertugas melapor mengenai perlumbaan itu.
To be honest, ini pengalaman pertama kali saya cover acara sukan yang besar. Teruja, stress, terkejut.
“Pengalaman ini sangat menarik untuk dikenang,” katanya.
“Setiap perlumbaan tu ada excitement dia tersendiri..memang mendebarkan dan jika raih emas bukan sahaja atlet yang gembira, malah saya sendiri pun rasa puas,”katanya.
Detik perkiraan angka 111 bermula semalam selepas skuad gimrama meraih pingat emas ke-100 menerusi Amy Kwan Dict Weng dalam acara riben dan kutipan pingat meningkat menerusi acara gimrama, terjun, silat, skuasy dan hoki sebelum skuad berbasikal negara menghadiahkan emas ke-109, 110 dan ke-111.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memilih Twitter untuk berkongsi berita gembira apabila beliau tweet “Mission accomplished. #111 done. #KitaJuara” (Misi tercapai#11 dilakukan #KitaJuara) , menunjukkan bahawa Malaysia telah muncul juara keseluruhan.
Bagaimanapun, Khairy, yang juga pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), berkata bahawa perjuangan belum berakhir kerana Malaysia sudah membayangkan untuk melepasi jumlah 111 emas serta mencipta rekod tersendiri pencapaian emas dalam sejarah sukan dwitahunan itu yang diperkenalkan pada tahun 1959.
Pencapaian 111 emas itu menyamai pencapaian sama ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi ke-21 pada tahun 2001.

'Happy giler' jumpa An Najwa...

Pegawai tadbir Nurbaizura Azizul Hassan gembira pagi ini kerana dapat bertemu 'puteri' bola jaring negara An Najwa Azizan yang datang ke Wisma Bernama untuk temubual televisyen dan radio.
Hadir sama rakan sepasukan Siti Nor Farhana Mustafa.
"Happy giler...bukan senang nak jumpa dia. An Najwa kan scorer hari tu." kata Nurbaizura yang bergambar dengan An Najwa dan Nor Farhana bersama rakan-rakan Bernama.
Beliau mengetahui mengenai kehadiran An Najwa di Bernama setelah rakan-rakan pejabat 'viralkan' di Instagram dan Facebook pagi ini.
Norliza Hashim dari Perkhidmatan Berita Antarabangsa juga gembira dapat bergambar dengan An Najwa, 20, yang semakin popular setelah kejayaan Malaysia merangkul pingat emas bola jaring Sukan SEA ke-29.
"Bestlah dapat bergambar sebab pemenang pingat emas
netball untuk negara," kata Norliza.
Yasmin Yusof dari Pusat Kecemerlangan turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan An Najwa dan Nor Farhana.
"Dia sangat tinggi dan peramah," katanya mengenai An Najwa.
"Saya tengok game final tu dan bila menang, lagi seronok dan terus follow Instagram dia," kata Yasmin merujuk kepada kemenangan Malaysia ke atas Singapura 65-41 untuk meraih pingat emas pada 20 Ogos lepas.
Katanya, beliau minat sukan bola jaring "camtu camtu je" dan pernah jadi pemain simpanan pasukan sekolah.
Waktu BERNAMA ada buat pertandingan bola jaring hari tu saya join...kami dapat tempat pertama," katanya.


Perutusan Hari Kebangsaan...


Monday, 28 August 2017

Selamat tiba di Jeddah...

"Alhamdulillah, akhirnya sampai Jeddah...tengah tunggu transport," kata Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad dalam foto yang dikirim menerusi WhatsApp pagi ini.
Beliau dan tujuh lagi peserta Kembara Inspirasi Haji tiba di lapangan terbang Jeddah pada pukul 11 malam waktu tempatan setelah penerbangan selama dua jam 30 minit dari Dubai.
"Very, very happy coz finally made it. Am happy too for the rest yang looking forward for such a long time," kata Rahman, yang menunaikan Haji untuk kali kedua.
Kali pertama beliau mengerjakan haji ialah pada tahun 2007.
Setelah melalui pelbagai ujian, Rahman berkata beliau kini boleh fokus untuk mengerjakan haji dengan tenang.
Jurukamera BNC Ahmad Shahuri Mat Jaan yang lebih dikenali sebagai 'Awi' juga bersyukur dapat meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.    
“Alhamdulilah setelah menempuh pelbagai halangan dan rintangan akhirnya Allah makbulkan doa kami menjadi tetamu Allah…Amin,” katanya dalam catatan Facebook.


Sunday, 27 August 2017

Halim terima menantu sebelum bersara...

‘Otai’ InfoLibNews, Encik Abdul Halim Ariffin lega kerana majlis perkahwinan anak sulung perempuannya semalam berjalan lancar.
“Lebih kurang sebulan nak buat persiapan sebab perkahwinan buat di rumah yang kena dibetulkan,” katanya hari ini.
Walaupun letih namun beliau dan isteri Saleha Saleh lega kerana majlis yang diadakan di rumah mereka di Lembah Jaya, Ampang berjalan dengan baik.
“Gembira kerana menerima menantu dan anak pertama dah selamat melangsungkan perkahwinan,” katanya ketika ditanya mengenai perasaannya.
Anak perempuannya Fatin Syafiqah Nur dan pasangannya Mohamad Sukri masing-masing berusia 26 tahun.
“Mereka sama-sama belajar di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) dalam bidang Chemical Engineering...lepas degree bertunang tapi tangguh perkahwinan sebab menantu sambung belajar sampai Ph.D dan tahun ini habis,” kata Halim.
Fatin ialah anak sulung daripada empat beradik.
“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Bernama kerana sudi datang ke perkahwinan anak saya dan mohon maaf kalau ada terkurang masa majlis tersebut,” kata Halim yang akan bersara wajib pada 14 November ini.
Beliau telah berkhidmat selama 37 tahun dengan Bernama dan merupakan antara penerima anugerah Khidmat Setia semasa Jamuan Malam Jubli Emas Bernama pada 22 Mei lepas.

  Ditanya rancangannya selepas bersara, Halim berkata: “Rehat dan betulkan rumah.”

Berlepas ke Tanah Suci...

Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berangkat ke Tanah Suci petang ini untuk mengerjakan Haji dengan diiringi isterinya Datin Ruhiza Hashim.
Pengarah Operasi Bernama News Channel (BNC) Hakimi Zuffrida Mohd Zain dan mantan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Puan Salbiah Said, yang kini bertugas dengan Unit Portal, turut bersama mereka untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
Mereka diiringi Pegawai Berita Meja Bahasa Arab, Muammar Eusouffi Zainol Abidin.
Muammar berada di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya sejak pukul 7.30 pagi diiringi ibu dan isterinya Diyana Ahmad serta anak lelaki mereka untuk memulakan perjalanan ke Tanah Suci.
Beliau menaiki bas bersama Datuk Zulkefli, Datin Ruhiza dan Salbiah ke Lapangan Terbang KL (KLIA) menjelang tengah hari.
Sementara itu, para peserta Kembara Inspirasi Haji yang kini berada di Dubai dijadualkan berlepas ke Jeddah pukul 9.45 malam ini waktu tempatan.
Ketua Editor Tugasan BNC Abdul Rahman Ahmad berkata lapan peserta itu termasuk Pengarah projek Khir Ariffin yang tiba semula di Dubai malam tadi dari Kuala Lumpur.
Beliau telah pulang ke tanah air sebagai usaha terakhir mendapatkan visa haji bagi para peserta berkenaan yang telah membuat perjalanan sejauh 14,700 km sejak 18 Julai lepas.
Bermula dari Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, mereka merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu menggunakan dua pacuan empat roda yang telah diuruskan penghantaran pulang ke Malaysia melalui kapal.
Lapan peserta itu termasuk Rahman dan jurukamera BNC Ahmad Shahuri Mat Jaan yang lebih dikenali sebagai 'Awi'. 
Seorang peserta, Zikri Fuad Abdul Salam, yang pulang sebelum itu telah mendapatkan visa haji furada bersama Khir dua hari lepas.
Bagi para peserta kembara itu, mereka berasa terharu dan gembira apabila menerima pasport berserta visa haji itu.
"Inilah masa yang ditunggu-tunggu untuk membolehkan kami meneruskan perjalanan ke tanah suci selepas mengembara ribuan kilometer," kata peserta termuda kembara, Mohd Izam Mahd Nor.
Para peserta kembara itu terkandas di Dubai sejak empat hari lepas apabila dimaklumkan visa haji mereka belum mendapat kelulusan daripada kerajaan Arab Saudi.

Nostalgia menjelang 31 Ogos...

“Cukup senang sekarang bila seseorang wartawan menunai tanggung jawab menghantar berita hanya di hujung jari tekan sahaja dalam sekelip mata dah sampai ke meja editor walaupun di mana mereka berada.
Teringat pula kepada seorang rakan seperjuangan saya Ramli Abdul Halim pada tahun 80-an sehingga 90-an setiap hari beliau duduk bersila sampai berjam-jam menggunakan telefon awam menghantar berita.
Setiap patah perkataan disalin pula oleh rakan di pejabat di Kota Baharu manakala saya pula terpaksa meminta sedekah di rumah dan di mana-mana pejabat terutama di pejabat penerangan Pasir Puteh untuk menghantar berita.
Begitu juga rakan-rakan lain yang tinggal jauh dari pejabat masing-masing.
Kesenangan yang dicapai sekarang mungkin disebabkan negara semakin maju.........MERDEKA.”
Inilah luahan rasa di Facebook, Wan Muhammad Wan Adam, wakil veteran Bernama di Pasir Puteh, Kelantan yang telah lebih 40 tahun menulis untuk Bernama.
Beliau yang kini berusia 70 tahun merupakan antara petugas veteran yang diraikan semasa Program Konvoi Jelajah 1Jiwa Bernama sempena sambutan Ulangtahun ke-50 bulan lepas.
Catatan Wan Muhammad mendapat reaksi saudara Ramli Abdul Halim yang menyatakan:
“Kerana lama bersila di pondok telefon depan IPD (Ibupejabat Polis Daerah) Tanah Merah, saya dikepung oleh sekumpulan SB (Special Branch) dan dibawa jumpa ketua polis daerah kerana disyaki nak mengkhianati IPD. Selepas itu saya mudah dapat berita yang babitkan polis. Mereka yang cari saya, bukan saya cari mereka lagi.”
Wan Muhammad menjawab:
“Abang Mat sengaja paparkan ini supaya golongan muda insaf mereka kini hidup senang lenang, tidak seperti kami yang terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan kekangan dan tahu bersyukur.”
Seorang lagi bekas pemberita daerah Bernama, Haji Amran Mamat turut mengimbau kenangan: “Merdeka ! Saya banyak menulis berita dengan Abe Wan Mat tika mula-mula jadi stringer Bernama di Kota Bharu. Perit zaman dulu nulis kadang-kadang pinjam typewriter ore lain. Cuci gambar hitam putih. Banyak pengalaman kita jadi wartawan zaman dulu...tk Abe Wan Mat.”

Saturday, 26 August 2017

Hari istimewa bagi Suhendri...

Penolong pegawai tadbir di Bahagian Sumber Manusia, Suhendri Daud genap 30 tahun hari ini dengan azam menjadi insan yang berjaya dunia akhirat.
“InsyaAllah semoga diberi kesihatan yang baik supaya terus dapat beribadah, rezeki yang berkat supaya dikongsi bersama insan yang memerlukan dan keluarga yang bahagia,” kata bapa kepada empat orang anak itu.
Beliau ditanya apa perasaan mencecah angka 30 dalam usianya?
“Mula-mula biasalah rasa agak kekok sebab dah masuk 30 tahun ni sebab rasa diri dah semakin tua.
“Tapi Alhamdulillah dah boleh terima sebab tu hanyalah sekadar angka...Yang penting kena sentiasa positif dengan perancangan Allah,” katanya.
Mula berkhidmat dengan Bernama sejak 18 Julai 2011, Suhendri melihat banyak kebaikan di organisasi ini.
“Bernama yang saya suka hubungan kekeluargaan tanpa mengira pangkat dan kedudukan, tetap hormat dan menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza latar belakang dan agama.
“(Kumpulan) Sokongan pun boleh berkawan dengan P&P (Pengurusan dan Profesional),” kata Suhendri yang sebelum ini berkhidmat selama tiga tahun dengan Tourism Malaysia.
Beliau bahagia bersama isteri Ruhaya Rusni dengan dikurniai empat cahayamata terdiri daripada tiga lelaki berusia 11, 8 dan 6 serta anak perempuan bongsu berusia 3 tahun.
“Rezeki kahwin muda,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur dan dibesarkan di Sungai Choh, Rawang, Selangor itu.
Malam ini, mereka sekeluarga meraikan ulangtahun hari lahir Suhendri.