Friday, 7 July 2017

Kerisauan Seorang Bakal Pesara

"Seorang kawan yang sedang bercuti panjang sebelum bersara meminta pandangan macam mana dia nak mengisi hari-harinya apabila dah bergelar pesara nanti.
Katanya, sekarang pun dia dah rasa rimas dan tak tahu apa nak buat, walaupun baru sebulan tak bekerja.
Saya kata, perkara itu masing-masing kena selesaikan sendiri sebab corak hidup kita tak sama. 
Cuma, saya berpesan kepadanya supaya bersedialah menerima hakikat bahawa lepas ini dia tak ada peluang lagi nak marah dan bengis dengan orang bawahan kerana jawatannya yang tinggi dulu sudah tiada lagi.
Di samping itu, semua urusan dia kena buat sendiri, termasuk memandu merempuh kesesakan jalan raya dan perbelanjaan harian pun kena diubah suai juga.
Satu perkara lagi ialah sahamnya di mata kebanyakan mereka yang pernah menjadi rakan sejawatan dan orang bawahannya akan susut nilai.
Cakap pun, orang dah tak berapa nak pakai.
Lalu dia bertanya, hang pulak macam mana. Bagaimana hang mengisi masa?
Jawab saya, aku tak apa sebab tak pernah berjawatan tinggi dan tak pernah ada kuasa. Kerja di stesen minyak atau pasar malam untuk mencari duit dan mengisi masa pun, tak jadi masalah.
Termenung dia seketika sebelum berkata: "Aku memang tak pernah rancang apa nak dibuat setelah bersara".
Ya. Kita perlu buat perancangan untuk melalui usia persaraan!"

Catatan Shamsudin Puteh

Wednesday, 5 July 2017

Tiada kelonggaran Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam...

Jemaah Menteri hari ini memutuskan tiada sebarang kelonggaran berkaitan Bahasa Melayu diizinkan untuk sebarang jawatan awam.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kabinet turut memutuskan untuk mengekalkan syarat-syarat lulus Bahasa Melayu dalam pengambilan semua jawatan dalam sektor awam di negara ini.
Dengan keputusan itu, katanya, Jemaah Menteri menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak pegawai perubatan gred UD41 yang diumumkan sebelum ini.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet tersebut, Ahmad Zahid berkata keputusan itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Jemaah Menteri turut memutuskan untuk meminda Akta Perubatan 1971 untuk mewajibkan perkhidmatan pegawai perubatan selama dua tahun selepas tamat latihan dan memasukkan syarat kelulusan Bahasa Melayu," katanya.
Ahmad Zahid berkata pindaan itu akan dibincangkan oleh Kementerian Kesihatan dan pejabat Peguam Negara terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
"Sekarang mereka (pegawai perubatan yang menjalani latihan) boleh mengambil peperiksaan Bahasa Melayu SPM sebagai subjek tunggal pada bulan Jun atau November," katanya.
Lembaga Peperiksaan juga telah memutuskan bahawa tenaga profesional boleh mengambil satu subjek dalam SPM dan ia boleh dilaksanakan mulai November ini, jelas beliau.
Menurut Ahmad Zahid, hanya 23 orang doktor yang terlibat dalam latihan yang diberi kelonggaran sebelum ini.
Sebelas daripada mereka merupakan anak diplomat Malaysia yang mendapat pendidikan perubatan di luar negara dan berketurunan Melayu.
"Jadi saya tidak mahu ada orang gambarkan seolah-olah jumlahnya adalah 300 atau 3,000 orang," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan bahawa Jemaah Menteri komited untuk mempertahankan Perkara 152 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui langkah proaktif yang diambil hari ini.
-- BERNAMA

Tuesday, 4 July 2017

Cabaran industri media...

Mesyuarat Penyelarasan Mingguan Bernama hari ini dimaklumkan mengenai kedudukan industri media yang kurang memberangsangkan.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang berkata ada syarikat akhbar yang merancang memberhentikan pengeluaran akhbar dan memberi fokus kepada berita dalam talian.
Beliau meminta petugas Bernama supaya bekerja lebih gigih dalam menghasilkan berita yang tepat dan menarik.
Memandangkan kebanyakan wartawan merupakan petugas baru, beliau meminta penyunting memperbaiki angle berita dan artikel yang dihasilkan.
Mesyuarat juga dimaklumkan mengenai beberapa acara yang akan diadakan:
(i) Amanat Merdeka 2017
(ii) Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang dijangka berlangsung hujung September ini.
(iii)   Majlis Hari Raya Bernama pada 21 Julai 2017.
(iv) Mesyuarat Biro Zon Selatan pada 7 hingga 9 Julai 2017 di Imperial Heritage Hotel, Melaka.

Monday, 3 July 2017

Roti Titab jadi pilihan...

Di sebalik beraneka menu sarapan pagi seperti nasi dagang, nasi kerabu dan nasi berlauk, makanan yang amat disyorkan bagi pengunjung ke Kota Bharu, Kelantan ialah ‘Roti Titab’.
Ia merupakan sajian istimewa Kopitiam Kita, yang diilhamkan pemiliknya Wong Nye Hua, 61, dan baru sahaja dipatenkan.
Memulakan perniagaan kopitiam itu 13 tahun lalu, Wong mendapat idea untuk memperkenalkan roti titab pada 2010 setelah melawat China.
“Saya melawat China semasa kedai saya ditutup dalam bulan puasa dan semasa di sana berpeluang merasakan sarapan roti yang menarik minat saya,” katanya.
Sekembalinya ke Kota Bharu, beliau menambah baik menu itu dengan menggunakan kaya buatan sendiri yang diletakkan di setiap penjuru roti empat segi yang disapu marjerin dengan telur separuh masak di tengah-tengahnya.
“Ramai pelanggan memuji keenakan roti ini yang dibakar menggunakan arang dan menasihati saya supaya mendapatkan ‘trademark’ (cap dagangan),” kata Wong yang memilih nama ‘Roti Titab’ kerana jenama itu menarik dan mudah diingati.
“Sebenarnya tak ada makna khusus, cuma saya rasa nama ‘Titab’ senang nak ingat,” kata Wong yang menggantung gambar orang-orang kenamaan serta selebiriti seperti penyanyi Datuk Siti Nurhaliza di dinding kopitiamnya yang terletak di Jalan Pengkalan Chepa.   
Turut diletakkan di dinding ialah salinan sijil bagi jenama ‘Roti Titab’ berkenaan yang dikeluarkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia bertarikh 29 Mei lepas.
Wong selaku Pengarah Urusan Kopitiam Kita, disahkan sebagai pemegang cap dagangan itu untuk tempoh 10 tahun sehingga Januari 2026.
Beliau tidak menyangka perniagaannya berkembang pesat sehingga ada yang datang dari jauh semata-mata untuk menikmati Roti Titabnya.
“Ada yang dalam perjalanan ke lapangan terbang sanggup singgah di kopitiam ini untuk merasakan Roti Titab sebelum mereka menaiki pesawat…ada juga yang berhenti dahulu di sini setelah mendarat,” kata Wong yang sentiasa memakai beret, sejenis topi  yang dikumpulnya sebagai hobi selain barangan antik.
“Dari hanya 20 meja, saya kini mempunyai 88 meja dengan 32 orang pekerja manakala 95 peratus pelanggan kopitiam ini adalah orang Melayu,” kata Wong yang mempunyai dua anak – lelaki berusia 34 tahun dan perempuan, 33 tahun.
Walaupun menjadi ‘tauke’, Wong tidak hanya duduk di kaunter sebaliknya turut melakukan kerja bersama-sama para pekerjanya.  
Beliau bangun seawal 4 pagi untuk merebus telur dan menyalakan arang.
Wong juga pergi mendapatkan bekalan pelbagai jenis nasi bagi sarapan dari beberapa tempat sehingga ke Tumpat dan Wakaf Bharu.
Ada juga pengusaha yang menghantar sendiri juadah mereka ke kopitiam itu menjadikan kedai tersebut agak istimewa kerana menghidangkan  apa sahaja nasi sarapan pagi Kelantan.
Kopitiam itu dibuka dari 6 pagi hingga 2 petang setiap hari.
Sungguhpun beliau boleh melanjutkan waktu berniaga sehingga malam, Wong berkata masa berniaganya sekarang sudah memadai bagi menjaga kesihatan beliau dan para pekerjanya.
Menurutnya ramai yang meminta untuk bekerjasama dengannya dan memperluaskan perniagaan Roti Titab itu secara francais tetapi beliau masih mempertimbangkan cadangan tersebut.
“Yang lebih mustahak ialah servis mesti bagus dan pelanggan puas hati,” kata Wong yang memilih nama ‘Kopitiam Kita’ sebagai lambang ‘milik bersama’.
Kopitiam itu juga semakin popular setelah kerap diperkatakan menerusi media sosial. 
Para pekerja Wong juga menggunakan Facebook untuk memuat naik foto para pelanggan selain menyediakan buku catatan bagi pelanggan menulis mengenai kunjungan mereka ke kopitiam berkenaan.
-- BERNAMA

Sunday, 2 July 2017

Cekal teruskan paluan kompang...


Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

Seorang pembuat kompang di Melaka masih cekal menghasilkan alat muzik itu yang biasanya menjadi pelengkap majlis kenduri perkahwinan orang Melayu.
Muhamad Shabri Kasim, 35, berkata permintaan pelanggan bergantung mengikut musim dan biasanya ia meningkat menjelang cuti sekolah yang menjadi musim mengadakan majlis perkahwinan.
“Bila tiba musim cuti sekolah, kita terima banyak tempahan kompang berbanding biasa iaitu dalam lingkungan 150 hingga 200 buah,” kata generasi kedua pembuat kompang itu kepada Bernama.
Muhamad Shabri berkata selain menerima tempahan dalam negeri, beliau pernah menerima tempahan dari luar negara seperti Belanda, Korea Selatan, Itali dan Qatar.
Dengan lebih lima tahun pengalaman menghasilkan kompang, beliau berkata secara purata syarikat miliknya Gema Seni yang terletak di Kampung Pulai, Merlimau mampu menghasilkan 100 kompang sebulan dengan bantuan dua pekerja.
Muhamad Shabri berkata harga kompang dijual berdasarkan saiz dan ia secara purata dijual dengan harga RM75 sebuah
“Kita mengutamakan kualiti dalam menghasilkan kompang agar ia mampu bertahan lebih lama...biasanya kompang yang kami hasilkan dapat digunakan untuk tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya.
Muhamad Shabri berkata walaupun menggunakan bantuan mesin bagi mempercepatkan proses pengeluaran, beliau masih menggunakan kaedah tradisional dalam proses memaku bagi menjaga kualiti kompang yang dihasilkan.
Beliau berkata kompang terhasil gabungan daripada dua bahan utama iaitu kayu dan kulit kambing.
“Pelbagai jenis kayu boleh digunakan untuk membuat kompang seperti kayu leban, sena, nangka, mangga dan mahogani. Kayu yang sudah dipotong, dilarik menjadi rangka atau bingkai berbentuk bulat yang lebih tepat dikenali sebagai ‘baloh’,” katanya.
Selain kompang, syarikat itu turut menghasilkan alat muzik tradisional lain seperti gendang silat, rebana tradisional, rebana moden dan jidur.
Dalam pada itu, Muhamad Shabri berhasrat menubuhkan pasukan kompangnya sendiri dengan pemainnya mengenakan busana tradisional dalam usaha memelihara budaya masyarakat Melayu itu.
-- BERNAMA

Saturday, 1 July 2017

Gasing perlukan 'tulang belakang', kata Ikon #Negaraku

Oleh Fadzli Ramli

Usaha mempertahankan gasing sebagai permainan warisan memerlukan ‘tulang belakang’ kukuh bagi memastikan ia dapat dilaksana secara berkesan, kata Ikon #Negaraku Remy Azizi Abdul Karim.
Remy Azizi, 37, berkata ‘tulang belakang’ dalam bentuk sebuah badan atau organisasi khusus dengan sokongan penuh kerajaan serta organisasi swasta di negara ini, adalah perlu bagi memperkasa usaha mempertahankan warisan gasing.
Beliau yang juga penggiat dan pembuat gasing generasi keempat berkata sememangnya terdapat usaha daripada pelbagai pihak terutamanya agensi kerajaan untuk mempertahankan permainan tradisi itu, namun usaha itu masih belum mencukupi.
“Impian saya untuk gasing ini mempunyai sebuah akademi khas yang menjadi sumber rujukan, yang segala isu mengenai gasing dibincangkan juga penyelidikan dijalankan dan mereka yang berminat mempelajari mengenai permainan ini dan juga cara membuatnya boleh datang sendiri.
“Contohnya saya hasilkan fidget spinner kayu daripada reka bentuk gasing bagi mendedahkan gasing kepada anak muda yang mendapat sambutan menggalakkan, tetapi selepas ini ke mana harus saya tuju. Kita perlu tulang belakang seperti akademi ini sebagai sumber rujukan untuk kita peroleh bantuan dan juga suatu sistem sokongan daripada kerajaan bersama pihak swasta,” katanya kepada Bernama di Melaka.
Remy Azizi berkata usaha gigih agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) untuk mempertahankan gasing wajar dijadikan contoh semua pihak terutamanya organisasi dan syarikat swasta.
“Namun kita perlu lihat kekangan dihadapi agensi kerajaan ini seperti Kraftangan, selain gasing ada berpuluh malah beratus warisan lain yang menjadi tanggungjawab mereka untuk kekalkan, jadi tumpuan khusus terhadap gasing itu ada kekangannya. Maka wajar gasing ada satu badan khusus supaya tumpuan dapat diberi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata syarikat swasta juga diharap memainkan peranan proaktif dalam usaha mempertahankan gasing antaranya dengan menaja permainan gasing untuk dimainkan komuniti setempat terutama generasi muda sebagai satu daripada program khidmat masyarakat (CSR) syarikat itu.
Katanya selain mempertahankan warisan, gasing merupakan antara produk pelancongan yang menarik perhatian ramai pelancong dan perlu dipopularkan bagi memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di negeri dan negara ini.
Beliau berkata apa yang dihadapi pembuat dan penggiat gasing sepertinya adalah perasaan terpaksa berseorangan tanpa ada ‘rakan kongsi’ yang gagah sebagai tulang belakang, dalam usaha mempertahankan gasing.
“Saya tiada pekerjaan lain hanya tumpu pada gasing sahaja. Bila terpaksa berseorangan tiada sokongan untuk pertahan gasing ini ada juga fikir hendak berhenti kerana fikir mungkin boleh dapatkan pekerjaan lebih baik, tetapi bila saya jumpa ramai orang terutama orang muda tidak kenal gasing, semangat saya naik balik.
“Saya sangat sayang gasing hingga sanggup habiskan hayat saya kerana gasing, tetapi saya juga seperti pembuat dan penggiat gasing lain amat perlukan tulang belakang untuk menyokong kami. Jika tiada amat susah untuk kami terus bergerak dan khuatir gasing hanya jadi pameran muzium sahaja suatu hari nanti,” katanya.
-- BERNAMA