Tuesday, 6 June 2017

Menghadapi situasi di Qatar dengan tenang..

Sitti Hadijah (dua dari kiri) dengan rakan-rakan kuliah
Dengan tumpuan dunia berpusat kepada Qatar yang kini dipulau oleh negara-negara jiran, wartawan Bernama Sitti Hadijah Mappeneding yang menetap sementara di Doha menyatakan keadaan di sana seperti biasa -- aman dan tenang.
‘Cuma semalam keadaan di beberapa pusat beli belah agak sesak dengan orang ramai yang sedikit panik. 
“Mereka berpusu-pusu membeli barangan harian sebab kebanyakan barangan keperluan diimport dari Arab Saudi dan Kuwait…selain daripada itu, okay je.
“Saya di Doha, ibu negara Qatar. Saya malah tidak 'alert' dengan apa yang berlaku sehinggalah semalam apabila ramai rakan-rakan Facebook bertanya…suasana tenang saja di sini,” katanya menerusi WhatsApp hari ini.
Semalam, beberapa negara Arab seperti Bahrain, Arab Saudi, Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar kerana mendakwa negara itu menyokong keganasan.
Sitti Hadijah berkata beliau tidak merasa bimbang sehingga perlu menyediakan bekalan makanan mencukupi kerana beliaupun akan pulang ke Malaysia pada 10 Jun ini setelah tamat pengajian bahasa Arab.
“Lagipun suasana masih terkawal dan berjalan seperti biasa.
“Masyarakat Qatar sangat konservatif, tertib, baik, saya duk mikir juga.. negara yang dakwa tak lindungi pengganas tu yang banyak menyaksikan pengeboman sana sini (sedangkan) Qatar yang dituduh lindungi terroris satu kes pengeboman pun tiada dalam rekod,” katanya.
Beliau telah memaklumkan kepada keluarga di Malaysia agar jangan risau keadaan dirinya apabila mereka menelefonnya semalam.
“Yang pasti hidup di Qatar yang 'mereka' dakwa negara yang melindungi pengganas ni, sangat aman berbanding negara pihak yang mendakwa tu. Walaupun kononnya tidak melindungi pengganas tapi letupan banyak juga. Qatar, tidak pernah menyaksikan kejadian seperti itu. Nak jalan malam sorang diri pun tak bimbang,” katanya.
Wartawan Meja Bahasa Arab itu berada di sana sejak 16 September tahun lepas kerana mengikuti Program Bahasa Arab Bagi Bukan Penutur Jati di Fakulti Sains dan Sastera, Universiti Qatar. (Arabic for Non-Native Speakers, College of Arts and Science,  Qatar University).


“Penulisan dapat 99 peratus,  alhamdulillah…syukur ada 'latihan awal' di Bernama,” kata Sitti Hadijah, 37, yang bercuti tanpa gaji sehingga 30 Jun.
Beliau merupakan wakil tunggal Malaysia untuk program itu malah yang pertama sejak  ia diperkenalkan.
“Saya tidak pasti berapa lama dah program ini tapi ada pensyarah yang dah nak pencen tahun ini dan dia orang yang cetuskan idea pewujudan program ini. Saya pernah tanya, dia kata dah  10 tahun mengajar untuk program ini.
“Tiada mana-mana institusi pendidikan kita yang ada MoU dengan Universiti Qatar (QU) untuk program ini….kita ketinggalan dengan Indonesia, yang  sudah belasan tahun hantar tiga pelajar setiap tahun untuk program ini.
“Batch saya kali ini  lebih kurang 60 orang yang dipecahkan kepada beberapa tahap: asas (basic 1-2) pertengahan (intermediate 1-2) lanjutan (advance 1-2). Saya di level lanjutan 2 sekarang.”
“Dalam kelas lanjutan 2 ada seramai 14 pelajar termasuk saya, yang lain dari Ukraine (non-muslim pun belajar bahasa Arab) Russia, India, Indonesia. Poland, Britain dan Amerika Syarikat," kata Sitti Hadijah.
Mereka akan menerima sijil pada majlis konvo 8 Jun ini.
Sitti Hadijah berkata beliau akan menaiki Qatar Airways untuk penerbangan balik terus dari Doha ke Kuala Lumpur pada 10 Jun.

Monday, 5 June 2017

Hajah Nancy bawa 'Sungkei' untuk warga Bernama..

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri menyampaikan  200 bungkus 'Sungkei' -- juadah berbuka puasa kepada wartawan dan petugas Bernama di Wisma Bernama hari ini. 
Sungkei bermaksud Berbuka Puasa dalam bahasa Sarawak. 
"Kita menghargai jasa dan pengorbanan wartawan dan petugas media yang menjalankan amanah, bertugas ketika seluruh umat Islam sedang menikmati juadah berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan,” kata Datuk Seri Hajah Nancy.
“Saya berharap ‘Packed Sungkei’ atau Packed Berbuka Puasa ini dapat membantu mereka melancarkan urusan kerja mereka terutamanya ketika sedang sibuk menyiapkan bahan berita untuk disebarkan kepada rakyat di negara ini.”
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC), Dr Mohd Zamzam Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Datuk Mark Rozario dan Ketua Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Encik Zamri Mahmud.
Kedatangan mereka disambut Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Wahab dan para pegawai kanan Bernama. 
Selepas menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa itu, Datuk Seri Hajah Nancy berkunjung ke Bernama Radio dan ditemubual dalam slot Ekspresi.

Kuliah Ihya Ramadan...


Sunday, 4 June 2017

Berbuka puasa di Dataran Merdeka...

Berbuka puasa bersama-sama ribuan orang di Dataran Merdeka di ibu negara hari ini merupakan pengalaman menarik bagi wartawan Kamarul Irwan Alias.
“Adalah rasa seronok sebab ramai-ramai duduk atas jalan depan Bangunan Sultan Abdul Samad…ada pelancong asing join sekali…nampak keamanan negara ni,” katanya yang ditugaskan membuat liputan program Iftar@KL 2017 yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kamarul mengakui bahawa jika tidak kerana tugasan, kemungkinan besar beliau tidak berbuka di sana kerana memikirkan kesesakan trafik dan masalah parkir.
“Ini bukanlah pengalaman pertama berbuka di kawasan terbuka kerana pernah merasa berbuka di padang MPK di Kuantan.
“Sebagai wartawan, kita merasai pelbagai pengalaman berbuka…di hotel, di kampung, di atas jalan raya, di padang dengan pelbagai lapisan masyarakat,” kata Kamarul.
Pada majlis itu, Datuk Seri Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyertai lebih 4,000 warga kota berbuka puasa. 
Datuk Seri Najib yang duduk bersila beralaskan tikar menjamah hidangan nasi beriyani di dalam pek selain bubur lambuk dan kurma.
Beliau kemudian menyertai jemaah menunaikan solat Maghrib di padang berhampiran yang diimamkan Sheikh Mohd Idris Al-Masyrafi dari Makkah.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Iftar@KL 2017 diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ramadan di Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula semalam hingga 18 Jun ini.
Sebanyak 16 aktiviti dilaksana dengan penyertaan kira-kira 300 sukarelawan pada Iftar@KL 2017 kali ini. Antaranya Tadarus al-Quran, Klinik Tahsin al-Quran, kaunter zakat, jualan melalui trak makanan, Bicara Ramadan, Pameran Pelancongan Islam dan Konsert Ramadan.
Program yang diadakan sejak 2012 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu bukan sahaja melibatkan acara berbuka, malah turut diadakan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih selain aktiviti penyediaan bubur lambuk.
Pelancong asing juga dilihat mengambil peluang merasai pengalaman berbuka puasa di kawasan ikonik itu.
-- BERNAMA 

Saturday, 3 June 2017

Nostalgia air batu bersalut sekam kayu...

Deretan balang air minuman pelbagai rasa dan warna menarik perhatian pengunjung ketika mencari juadah berbuka puasa di bazar Ramadan.
Namun pandangan pengunjung pasti lebih teralih jika melihat air minuman yang dibungkus dalam plastik bersaiz besar  dan digantung  seperti di gerai ABC King Kong di bazar Ramadan Satok di bandaraya Kuching.
Menawarkan air minuman yang biasa dijual sepanjang Ramadan, pemilik gerai tersebut Afenddy Ibrahim, tampil berbeza dengan menjual air dalam plastik saiz lebih besar.
“Air yang saya jual ini boleh didapati di bazar Ramadan lain, tetapi saya dapat idea untuk jual dalam plastik lebih besar dan lebihkan isi kandungan dalam setiap plastik tersebut,” katanya kepada Bernama.
Pemuda berusia 28 tahun ini mengendalikan gerai ABC King Kong bersama empat lagi rakan, menawarkan minuman seperti ABC, ABC Special King Kong, White Lady, Laicikang, Jagung Susu, Jagung Gula Apong, Asamboi, Limau Mantak (limau kasturi) dan Laici.
Keunikan gerai itu menjadi tular di Facebook sehingga bilangan pengunjung meningkat.
“Memang terkejut bila gerai ini jadi viral dan ramai pelanggan datang sampai tak menang tangan, sampai kadangkala tak sempat gantung lagi orang dah pesan. Apapun syukur dengan rezeki Allah,” kata Affendy.
Hasil jualan airnya mampu mencecah antara RM200 hingga RM300 sehari.
“Pendapatan Alhamdulillah… memang bulan puasa ini kita  dapat cari rezeki lebih. Niat saya dalam berniaga untuk turut sama bersedekah dan beri peluang rakan-rakan bekerja serta lebihkan isi kandungan dalam jualan. Sekiranya lepas ini ada orang tampil dengan idea sama itu rezeki masing-masing,” katanya.
Bulan Ramadan juga menimbulkan banyak kenangan berpuasa terutama semasa zaman kanak-kanak. Jika sekarang amat mudah bagi peniaga minuman seperti Affendy membungkus jualan mereka, keadaannya tidak sama waktu dahulu.
Generasi berusia 40-an ke atas mungkin ingat bagaimana air batu dijual dengan bersalut sekam kayu – pengalaman yang tidak dialami kanak-kanak sekarang.
Dalam internet, banyak kisah diceritakan mengenai habuk kayu ini yang dikatakan masih digunakan secara meluas sehingga era 70-an terutamanya bagi mereka yang tinggal di kampung dan tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Pada zaman teknologi habuk kayu ini memang ramai peniaga yang mengambil kesempatan di bulan Ramadan untuk menjual ais menggunakan kaedah ini,” menurut satu catatan blog.
Menjelang petang, para peniaga akan membawa air batu yang diletakkan dalam tong kayu yang dipenuhi habuk kayu gergaji. Ia bertujuan  melambatkan air batu daripada cair.
Apabila ada pembeli, air batu akan dikeluarkan daripada tong kayu untuk dibersihkan sedikit sebelum dipotong menggunakan gergaji.
Peniaga akan memotong ais mengikut permintaan pembeli seperti dengan harga 10sen, 20 sen atau 30 sen.
Setelah dibayar, air batu akan disalut dengan habuk kayu gergaji sebelum dibungkus dengan surat khabar untuk dibawa balik. 
Setiba di rumah, air batu biasanya disimpan dalam termos supaya tidak cair sementara menunggu waktu berbuka puasa.
"Sehingga lewat 70-an, menjadi perkara biasa kita membeli ais ketul atau ais bantal bersalut sekam," kata Editor Foto Adnan Jahaya.  
Semasa zaman remajanya, beliau sentiasa menunggu penjual air ketul yang berbasikal ke kawasan rumahnya sekitar jam 4 petang.
"Dia turut membawa gergaji dalam bekas di belakang basikalnya yang tersimpan ais jualannya," katanya.
Menurutnya, air batu bersalut sekam yang dibalut dengan kertas surat khabar dijinjingnya pulang dan disimpan dalam lubang tanah.
"Dalam lubang tanah itu ada sekam dan sesekali diletakkan juga habuk kayu...menjelang Maghrib, lubang sedalam dua kaki itu digali semula untuk mendapatkan semula ais ketul itu," katanya.
"Ais ketul bagaikan satu kemestian pada Ramadan kerana ia sebagai asas penyediaan minuman sejuk seperti serbat, air lengkong (cincau) dan minuman sejuk lain termasuk teh, kopi dan Milo. 
"Sekarang semua orang dah ada peti ais dan perniagaan ais ketul amat sukar ditemui. Yang ada hanya ais kiub yang dijual secara runcit di kedai-kedai," katanya. 

Friday, 2 June 2017

Baju Hijau Bapa, Selendang Ibu Jadi Pengubat Rindu...

Dua tahun selepas kematian ibu dan bapa mereka, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 9, dan adiknya Nur Firuza Aqilah , 5, masih tidak dapat dipisahkan daripada baju T berwarna hijau milik bapa mereka dan selendang ibu yang menjadi tempat mereka melepaskan rindu.
Menurut ibu saudara mereka Yusnidah Husain, 49, lazimnya Nur Firuza Amira akan memeluk baju arwah bapanya itu manakala Nur Firuza Aqilah pula akan mencium bantal serta memakai selendang arwah ibunya.
Katanya sejak pemergian arwah adik dan isterinya, kedua-dua anak saudaranya itu juga sering kali meminta supaya dibawa ke kubur arwah ibu bapa mereka yang tidak jauh dari rumahnya.
"Sebelum mereka berdua memeluk dan mencium batu nisan di pusara arwah ibu dan bapa mereka, Mira akan terlebih dahulu mengucapkan salam: 'Assalamulaikum mama dan papa, Mira datang dengan adik ini'. Begitulah reaksi mereka apabila setiap kali dibawa menziarahi kubur kedua orang tuanya," katanya.
Yusnidah berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan berbentuk pakaian, peralatan mandi kanak-kanak dan duit raya kepada dua beradik itu anjuran Hawa Business Centre sebagai projek Tanggungjawab Korporat Sosialnya (CSR) dengan kerjasama Bernama News Channel di Wisma Bernama hari ini. Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.
Dalam kejadian pada 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, maut dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves.
Yusnidah berkata bagi mengurangkan perasaan rindu adik beradik itu kepada arwah ibu bapa mereka, beliau akan memasak spaghetti dan roti bakar yang merupakan makanan kegemaran yang sentiasa dimasak oleh arwah ibu mereka sebelum ini.
"Saya juga akan cuba menenangkan mereka dengan memeluk dan meminta mereka supaya mendoakan dan menghadiahkan al-Fatihah setiap kali sebelum mereka tidur," katanya.
Sementara itu, Azman menzahirkan rasa gembira kedua-dua beradik itu berada dalam jagaan baik keluarga ibu saudara mereka.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya terutamanya pembonceng dan penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati kerana jumlah kematian daripada golongan itu adalah antara yang tertinggi di negara ini.
-- BERNAMA

Pengalaman serangan jantung...


Pewarta Bernama di Jakarta Azeman Ariffin amat terkejut apabila doktor menyatakan beliau terkena serangan jantung yang serius.
Doktor pusat perubatan di Pulau Pinang itu juga ‘menegurnya’ kerana pulang dengan kapalterbang sedangkan tekanan udara dalam perjalanan boleh membahayakannya.
Azeman semakin terperanjat apabila  doktor menyatakan dua saluran jantungnya tersumbat – satu 99 peratus dan satu lagi 100 peratus.
”You’re very lucky to survive,” kata doktor itu kepadanya apabila beliau mendapatkan rawatan dua minggu lepas.
Azeman kemudian menjalani prosedur angioplasti untuk memasang tiga stent bagi membantu melancarkan aliran darah.
Beliau menceritakan pengalamannya itu ketika berkunjung ke Wisma Bernama hari ini. 
“Mulanya ingat kena muscle pain dan saya buat carian di internet mengenai tanda-tanda penyakit jantung,” katanya.
Daripada maklumat yang diperolehi, banyak tanda yang dialaminya itu menunjukkan penyakit jantung. 
Namun Azeman tidak terus berjumpa doktor tetapi sebaliknya memenuhi undangan untuk memberikan ceramah mengenai pengucapan awam (public speaking) kepada para penuntut Malaysia dari seluruh Indonesia di Jakarta.
“Malah, saya meminta mereka sama-sama melakukan senaman dengan diiringi lagu kumpulan Sweet Charity untuk cergas setelah saya memberitahu mereka saya kurang sihat hari itu,” katanya.
Setelah selesai majlis selama dua jam itu, beliau merasakan denyutan jantungnya menjadi tidak menentu tetapi masih tidak mahu berjumpa doktor.
Sehinggalah anak saudaranya bertandang ke Jakarta keesokannya, baharulah Azeman pergi ke sebuah pusat perubatan yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Itupun setelah anak saudaranya menelefon keluarga Azeman di Pulau Pinang menyatakan kebimbangannya mengenai keadaan beliau.
Setelah membuat pemeriksaan, doktor menyatakan beliau mengidap sakit jantung dan mahu menempatkannya ke dalam wad untuk diperiksa lanjut oleh pakar jantung keesokannya.
Azeman sebaliknya meminta dibenarkan pulang walaupun pihak hospital memujuknya supaya dimasukkan ke dalam wad kerana penyakitnya yang serius.
Beliau tetap berkeras sehinggalah mereka akhirnya bersetuju dan beliau dikehendaki menandatangani surat akuan untuk tidak menyalahkan pihak hospital jika berlaku sesuatu.
Ubat yang dibekalkan pusat perubatan itu dapat melegakan Azeman yang membuat keputusan untuk pulang ke Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Sepanjang lebih 20 tahun bekerja, saya tak pernah mengambil MC (cuti sakit)…sebab itu saya amat terkejut apabila doktor kata saya kena serangan jantung,” katanya.
“Puncanya kolesterol terlalu tinggi,” kata Azeman yang bertekad untuk lebih menjaga kesihatannya.

Thursday, 1 June 2017

10 Tahun dah!!!

1 Jun 2007. Sepuluh tahun lalu, seramai 16 orang petugas baharu memulakan kerjaya di sebuah stesen Radio Berita yang pertama di Malaysia. (Masa tu memasing pun tak tau Radio apa ni)
Waktu dan ketika itu, studio dan nama radio pun masih belum ada. Pelbagai nama Radio seperti 93.9 News, Bernama FM dan sebagainya dicadangkan. Akhirnya Radio24 menjadi pilihan. Juga pelbagai bentuk program direncanakan. Tiga bulan masa diambil untuk mengatur segala persiapan sebelum secara rasmi ke udara pada 3 September 2007.
Melalui pelbagai fasa, sebelum ditukar nama kepada Bernama Radio24 dan Bernama Radio sekarang. Bernama Radio berkembang menerusi pelbagai faktor termasuk usaha keras kakitangan, kepimpinan pengurusan dan sokongan pelbagai pihak. Kini 4 jajahan frekuensi di Lembah Klang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching dan Insyallah dalam masa terdekat di Pulau Pinang.
Perjalanan kerjaya aku juga berubah dari seorang Wartawan kepada Penerbit Berita, kemudian bertukar Penerbit Dalam Radar, berstatus Penerbit Kanan serta Wartawan Penyiaran Kanan. Mula kerja hanya naik motor ke tugasan di setiap tempat. Sampailah satu ketika kemalangan di Lebuhraya Persekutuan dan patah kaki.
Daripada 16 dahulu rakan seperjuangan, melangkah ke 10 tahun hanya tinggal kami berempat, Nizuan Hanafi, Nazira Noran dan Enn Baleana. Selamat Ulang Tahun ke 10 yang masih setia.
Perubahan perlu ada dan setiap langkah pasti membawa azam yang sama untuk berjaya.
Kini, saya bertugas sebagai Penerbit Ruang Bicara di BNC dan masih dalam keluarga besar BERNAMA.
10 Tahun dah!!

 Catatan dan foto Essan Yahya