Thursday, 8 November 2018

Garis Panduan Capaian dan Penggunaan Internet


1. Penggunaan Internet hanyalah untuk kegunaan rasmi dan secara berhemah. Ketua Jabatan atau Ketua Bahagian berhak menentukan petugas yang dibenarkan menggunakan Internet atau sebaliknya;
2. Laman yang dilayari hendaklah hanya yang berkaitan dengan bidang kerja dan terhad untuk tujuan yang ditetapkan mengikut senarai tugas;
3. Bahan yang diperoleh dari Internet hendaklah ditentukan kesahihan dan ketepatannya.
Sebagai amalan terbaik, rujukan sumber Internet hendaklah dinyatakan;
4. Bahan rasmi hendaklah disemak dan mendapat pengesahan daripada Ketua Bahagian atau Ketua Unit sebelum dimuat naik ke Internet atau dihantar secara meluas melalui e-mel;
5. Sebarang bahan yang dimuat turun dari Internet hendaklah digunakan untuk tujuan yang dibenarkan oleh BERNAMA sahaja;
6. Petugas yang dibenarkan dan diberi kuasa sahaja dibenarkan membuat sebaran media berkaitan BERNAMA melalui e-mel dan Internet;
7. Petugas adalah dilarang melakukan aktiviti-aktiviti seperti berikut:
i. Memuat naik, memuat turun, menyimpan dan menggunakan perisian tidak berlesen
dan sebarang aplikasi seperti permainan elektronik dan video/audio/multimedia yang
boleh menjejaskan tahap capaian Internet dan prestasi peralatan ICT; dan
ii. Menyedia, memuat naik, memuat turun dan menyimpan kandungan serta melibatkan diri secara sosial melalui teks ucapan, komen atau apa jua cara/ bahan yang mengandungi unsur-unsur fitnah, hasutan, lucah dan/ atau melanggar dasar-dasar semasa Kerajaan.
iii. Melayari laman web yang mengandungi unsur-unsur Lucah (Pornography), Perjudian (Gambling), Keganasan (Terrorism), Penggodaman (Hacking), Proxy Avoidance dan Kod Perosak seperti Spyware, Adware dan sebagainya

Wednesday, 7 November 2018

Kebaya jadi perhatian di Wisma Bernama,,,


Busana kebaya menjadi perhatian apabila para peserta Pertandingan Miss Malaysia Kebaya (MMK) berkunjung ke Wisma Bernama hari ini.
Mereka melawat Jabatan Pengarang, Bernama News Channel (BNC) serta Bernama Radio dengan  diiringi Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Datuk Mokhtar Hussain dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) Ahmad Fuad Yahya.
Turut hadir pengasas dan penganjur MMK Jason Hee.
Seramai 30 peserta akan bertanding merebut gelaran ‘Miss, Mrs Malaysia Kebaya and Petite Kebaya Queen 2018/19’ yang akan berlangsung pada 15 Disember ini.
Sementara itu, Azman berkata media perlu aktif memainkan peranan untuk mempromosikan  busana kebaya yang mempunyai ciri-ciri kesenian dan sejarah yang unik.
Hee berkata pertandingan itu membuka peluang  kepada penjenamaan semula pakaian tradisi kebaya selain mempromosikan budaya tempatan dan negara sebagai destinasi pelancongan di mata dunia.
Katanya, ia menjadi platform penting untuk mendidik golongan muda supaya tidak melupakan busana tradisional ini yang menjadi lambang warisan budaya tempatan.
“Semua orang tahu kebaya, tapi bagi generasi muda… tak ramai memakainya. Jadi ia menjadi misi dan visi kita untuk mendidik generasi muda, khususnya Gen Y mengenai kebaya,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk meningkatkan dan menambah nilai busana ​​​​​​​berkenaan di peringkat antarabangsa​​​​​​​​​​​​​​ melalui ikon MMK yang mampu menarik lebih ramai wanita untuk menggayakannya.
Sementara itu, Nor Natasha Suhaira Suhaimi, 24, yang merupakan pemenang MMK 2017/2018 berkata keluarganya menitikberatkan legasi turun temurun dan minatnya yang mendalam terhadap busana kebaya membuatkan beliau mengambil keputusan mencuba nasib melalui pertandingan MMK.
"Saya memang berminat dengan kebaya, saya pakai hari-hari. Jadi pentingnya kita ada asas MMK ini, bergerak serentak untuk menyuburkan minat dalam kalangan ramai tentang kepentingan kebaya dan meneruskan legasi kebaya ini,” katanya.
-- BERNAMA



KKMM akan sebar luas inti pati Belanjawan 2019


Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui jabatan dan agensi di bawahnya akan menyebar luas maklumat berkenaan inti pati Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan Belanjawan 2019 kepada masyarakat melalui pelbagai platform komunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata penggunaan pelbagai platform komunikasi yang telah tersedia di jabatan dan agensi masing-masing dapat memastikan penyampaian secara komunikasi bersepadu yang efektif dan berkesan.
”Jabatan Penyiaran Malaysia dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) contohnya boleh mencapai jangkauan penyampaian maklumat yang meluas dan pantas melalui pelbagai kaedah seperti program bual bicara, laporan berita dan hebahan infografik yang disiarkan melalui televisyen, radio dan laman berita dalam talian," katanya.
Berucap pada Majlis Perasmian Taklimat Khas KSP RMK11 dan Belanjawan 2019 di kementeriannya di Putrajaya hari ini, Eddin Syazlee berkata kerajaan juga komited meneruskan sasaran untuk memastikan kawasan yang diliputi jalur lebar mencapai 95 peratus sebelum hujung 2019 berbanding 93 peratus pada masa ini.
“Kita menerima respons yang positif dari kerajaan negeri terutamanya bagi membangunkan perkhidmatan jalur lebar di kawasan-kawasan pedalaman yang pastinya nanti akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi digital dan e-dagang,” katanya.
-- BERNAMA



Monday, 5 November 2018

Kolam hiasi lobi Wisma Bernama sempena Deepavali


Perayaan Deepavali yang disambut esok tambah berseri dengan kolam iaitu hiasan lantai daripada beras yang diwarnakan.
Hiasan itu dilukis di depan pintu rumah sebagai tanda rahmat.
Kolam juga kini mendapat permintaan meluas daripada kompleks membeli-belah, hotel serta bangunan pejabat untuk hiasan premis berkenaan.
Sempena perayaan Deepavali, sebuah kolam juga menghiasi lobi Wisma Bernama yang dihasilkan oleh seorang pengusaha berkenaan Lee Mahendran.
Menurutnya, kolam ibarat tiang seri yang menghiasai perayaan itu.
“Tujuan membuat kolam adalah tradisional selain memberi makanan kepada serangga kecil seperti semut dan burung,” katanya.
Bagi menghasilkan kolam yang cantik, sekurang-kurangnya 15 warna diperlukan menggunakan bahan seperti tepung beras, beras dan hampas kelapa.
Mahendran berkata kolam terbesar yang pernah dihasilkannya berukuran 25 kaki yang mengambil masa dua hari untuk disiapkan.


Sunday, 4 November 2018

BNC lancar siaran Berita Tamil

Siaran Berita Tamil (Bernama Seithigal) Bernama News Channel (BNC) dilancarkan hari ini dalam suasana kemeriahan sambutan Deepavali di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pelancaran disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy.
Turut hadir Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zakaria Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain.
Berita Tamil telah kembali bersiaran di BNC mulai 11 Jun 2018.
Ia disiarkan melalui saluran Astro 502, Unifi TV 631, MYTV 121 dan juga di seluruh dunia melalui laman sesawang www.bernama.com dan YouTube pada pukul 7 malam dengan siaran ulangan pada 11.30 malam setiap hari.
Dalam ucapannya, Waytha Moorthy berkata pengamal media perlu menggunakan kebebasan berkarya yang diberikan kerajaan Pakatan Harapan dengan menghasilkan laporan berita yang mampu meningkatkan tahap pemikiran kritis,
Katanya pengamal media perlu lebih ikhlas menghasilkan berita yang menguntungkan masyarakat meskipun ia tidak menarik mahu pun sensasi.
“Bersikap profesional dengan memberi ruang siaran dan liputan yang adil kepada mana-mana pihak mampu menarik minat masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang seimbang dan lebih tepat,” katanya.
Waytha Moorthy berkata media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk masyarakat India.
“Saya harap masyarakat India khasnya remaja mengambil peluang untuk mengenali Berita Tamil di BNC ini kerana ia mudah diakses melalui pelbagai platform.
“Berita Tamil ini adalah hadiah daripada kerajaan Pakatan Harapan untuk masyarakat India. Saya difahamkan rating kini semakin tinggi. Tahniah kepada semua pihak yang telah terlibat menjayakannya,” katanya.
Waytha Moorthy turut menggesa agar pihak pengurusan Bernama menambah laporan berita, program dan dokumentari untuk meningkatkan jumlah penonton dalam kalangan masyarakat India.
Sementara itu, Zakaria berkata Berita Tamil BNC kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat India dengan sejumlah 2.2 juta penonton berbanding 1.1 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
"Berita bahasa Tamil dan Mandarin kembali atas usaha Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo selepas lawatannya ke Bernama pada 28 Mei lepas.
“Syabas dan tahniah kepada mereka yang terlibat. Ia sangat signifikan untuk masyarakat India sebagai hab untuk mengikuti trend berita terkini. Ia lebih bermakna dengan menjelangnya perayaan Deepavali,” katanya.
Perayaan Deepavali diraikan pada Selasa.
-- BERNAMA

Liga Boling Bernama labuh tirai...

Liga Boling Bernama 2018 melabuh tirai hari ini apabila pusingan akhir berlangsung di Megalane Bowl, Endah Parade, Sri Petaling.
Perminan yang bermula jam 10.30 pagi diadakan dalam dua block dan berakhir pada jam 5 petang.
Selepas 9 pusingan awal yang berlangsung pada setiap bulan, mereka yang bermain sekurang-kurangnya enam pusingan, layak beraksi dalam pusingan akhir.
“Kami main 12 games dipecahkan kepada 2 block. Block 1 pada sebelah pagi 6 games.
“Lepas tu berhenti rehat dan sembahyang Zohor….kemudian sambung block kedua dengan games lagi,” kata Pengerusi Kelab Boling Bernama, Abdul Halim Hafidz.
Juara keseluruhan ialah Mohammad Faiz Shoib (BNC), naib juara Mohd Irwan Mohd Mustaffa (Keselamatan) dan ketiga Mohd Noor Atan (Media).
Bagi pusingan akhir, pemenangnya ialah Mohd Nazrin Abu Hassan (TMK), naib juara  Mohd Irwan Mohd Mustaffa (Keselamatan) dan ketiga Mohammad Faiz Shoib (BNC).
Mohammad Faiz mencatatkan ‘High Game’ apabila menjatuhkan 248 pin di game keenam.
Halim berkata beliau bangga dengan komitmen dan daya juang semua pemain yang sentiasa mencuba membuat jatuhan pin maksima pada setiap games.
“Bukan senang nak main 12 games dalam sehari….macam pemain profesional pula.
“Walaupun ada yang sakit-sakit sendi lengan dan lutut selepas selesai 12 games, namun reaksi semua pemain bertukar ceria apabila menerima hadiah.
“Bagi menghargai komitmen semua pemain yang bermain di pusingan akhir, semua diberikan hadiah …tak ada yang pulang dengan tangan kosong,” katanya.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh turut menyertai pusingan itu.
“Datuk Zul telah bermain dengan penuh bersemangat dan berusaha gigih bersaing dengan pemain-pemain lain,” kata Halim.
Untuk tahun depan, pusingan pertama akan bermula pada Ahad, 6 Januari.
“Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan perjalanan liga.
“Walaupun ada sedikit penurunan dari jumlah peserta yang bermain sehingga pusingan akhir, namun ramai peserta yang telah berjaya meningkatkan jatuhan pin mereka.
“Nampak mereka telah berjaya membaca dan mempraktikkan hayunan balingan yang betul, kerap melakukan strike dan mudah membuat spare,” katanya.
Halim berharap lebih ramai petugas Bernama akan menyertai liga boling pada tahun hadapan.
“Pemilihan pemain yang bagus berdasarkan ranking terkini pada setiap bulan, membantu Pasukan Boling BERNAMA bersaing dan memenangi tiga tempat teratas pada kejohanan-kejohanan boling media yang dianjurkan oleh syarikat korporat,” katanya.

Saturday, 3 November 2018

Dr Mahathir cadang pejabat kerajaan, swasta peruntuk 15 minit untuk senaman

Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan masa selama 15 minit bagi kakitangan melakukan aktiviti senaman sebagai budaya mengamalkan gaya hidup sihat.
Perdana Menteri berkata kakitangan boleh berbuat sedemikian dengan berehat seketika sekitar pukul 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin.
"Saya syorkan semua pejabat kerajaan mahupun swasta pukul 11 pagi berhenti kerja (seketika) dan membuat senaman...kalau boleh di luar bilik penghawa dingin.
"Saya syorkan semua (kakitangan) keluar selama 15 minit buat senaman dan selepas itu balik kerja  semula," katanya ketika berucap melancarkan Kempen Promosi Hidup Aktif atau WALK (When Active Living Kicks) peringkat kebangsaan Kementerian Kesihatan di Shah Alam hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat mengamalkan tiga petua untuk kekal sihat iaitu mengelakkan pengambilan makanan berlebihan, tidak merokok dan menghindarkan pengambilan minuman beralkohol.
Beliau berkata tiada rahsia yang diamalkannya untuk kekal sihat pada usia 93 tahun kecuali sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.
“Cara hidup kita mestilah selesa dan sesuai dengan kesihatan tubuh badan kita,” katanya.
Dr Mahathir turut berkongsi petua iaitu berhenti sewaktu sedang enak menjamah makanan kerana  kecenderungan makan dan minum terlalu banyak boleh menyebabkan seseorang itu gemuk serta perut buncit.
"Jangan makan terlalu banyak...kalau makanan itu sedap berhenti makan," katanya.
Dr Mahathir berkata adalah penting untuk mengawal berat badan sebab apabila badan bersaiz kecil, jantung mudah mengepam darah ke seluruh tubuh badan dengan mudah.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk banyakkan berjalan bagi mengelak penyusutan otot ketika sudah berusia.
"Otot kita kalau tak guna lama-kelamaan menjadi kecut dan lemah. Rumah saya ada lif tapi saya pilih naik tangga," katanya.
Menurutnya, dahulu terdapat banyak pekerjaan yang membuatkan badan menjadi sihat tetapi kini banyak masa dihabiskan di pejabat dengan duduk sahaja dari pagi hingga petang.

Friday, 2 November 2018

Persiapan rapi liputan Belanjawan...

Dengan tumpuan negara terarah kepada Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat petang ini, persiapan rapi telah dilakukan oleh Bernama terhadap liputan tersebut.
Pelbagai andaian telah dibuat umum terhadap Belanjawan itu yang pertama kali dikemukakan kerajaan baharu Pakatan Harapan ekoran kemenangannya dalam pilihan raya umum lepas.
Selain ucapan Belanjawan, reaksi terhadap pengumuman dalam bajet itu yang mencakupi pelbagai bidang juga perlu dilaporkan.
Usaha mendapatkan reaksi itu dibuat sebaik selesai ucapan Belanjawan.
Biasanya wartawan membuat persediaan awal dengan menghubungi sumber yang mereka akan mendapatkan reaksi dengan segera selepas Bajet dibentangkan.  
Liputan itu termasuk liputan foto yang kebiasaannya turut menampilkan persiapan menteri kewangan menuju ke bangunan Parlimen untuk membentangkan Belanjawan.
Bagi menjelaskan lagi intipati Belanjawan itu, Bernama juga menggunakan infografik untuk memantapkan laporannya.
Pakar-pakar ekonomi juga diundang untuk memberi pandangan mereka dalam  program yang disiarkan Bernama News Channel dan Bernama Radio.
Program khas mengenai Belanjawan 2019 juga disiarkan menerusi pelbagai platform berita dan maklumat Bernama.



Thursday, 1 November 2018

Bakri dan Zabidi mula tugas baharu dengan bersemangat


Editor Foto Mohamad Bakri Darus memulakan tugas baharunya itu hari ini dengan penuh bersemangat.
“Alhamdulillah, perasaan baik sahaja.
“Saya telah dapatkan maklumat petugas dan operasi bahagian foto,” katanya mengenai langkah awal yang dilakukan.
Berdasarkan maklumat yang diperolehinya itu, Bakri berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan semua petugas dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, antara tanggungjawab baharunya ialah pengurusan pentadbiran, merancang dan menambahbaik perkhidmatan meja foto.
“Saya amat berminat dengan fotografi dan akan cuba untuk mendalami bidang ini,” kata Bakri yang sebelum ini bertugas hampir tujuh tahun sebagai ketua biro Kelantan.
Beliau menggantikan Adnan Jahaya yang kembali bertugas di Perlis atas faktor kesihatan.
Bakri berkata beliau juga akan mengambilkira perkembangan teknologi dalam meningkatkan keupayaan perkhidmatan foto Bernama.
Ini termasuk penggunaan dron dan Mojo atau mobile journalism.
Pengganti Bakri di Kelantan, Zabidi Ishar juga memulakan tugas baharunya pagi ini dengan mengadakan pertemuan dengan para petugas.
“Mesyuarat ini untuk dapatkan maklumat opis termasuk isu-isu berbangkit seperti  operasi pemberitaan.
“Petang ini akan adakan mesyuarat bersama stringer untuk sesi pertemuan dan isu isu mengenai mereka,” kata Zabidi yang sebelum ini Ketua Biro Kedah.
“Selain itu, meninjau masalah opis seperti kerosakan dan sebagainya untuk tindakan lanjut,” katanya.

'Hello lady' no more...

Gone is the voice which many Bernamaians are accustomed to.
After 36 years of dedicated service, friendly telephone operator K.Devika S.Krishnan has retired.
“Of course I will miss Bernama…Bernama is in my blood,” said Devika, who retired on 25 September upon reaching 60.
She said she was grateful to Bernama for providing a good career, noting that “my pension is also because I had worked in Bernama’.
She even felt gratified of being promoted prior to her retirement.
Devika will not forget the day she went for the job interview in 1982 after seeing a notice for the telephone operator post at Bernama.
She was then working for Telekom after a brief spell at the once Jayapuri Hotel and a  nurse at Assunta Hospital in Petaling Jaya.
“The interview was conducted by Wan Mustapha, Zainal Hasnan and S.Visvakumar.
“They really needed an Indian girl to become an operator.
“They asked me where I was working and my hometown.
“When I said I was from Labu, Wan Mustapha asked Visva where he was from.
“Visva said he was from Lobak.
“That was funny because I was from Labu and he from Lobak…Labu and Lobak..I will not forget that,” said Devika explaining that Labu and Lobak could be considered as vegetables.  
Now that she is retired, Devika said she would have time to concentrate on her food and online business.
“The internet provides opportunities for pensioners to venture into online businesses.
“I don’t have writing skills like reporters who could continue as part-time staff in Bernama after retirement, but there are other things that I can do online,” said Devika who also deals in insurance.
For Deepavali, she said she would have her own time to celebrate as she was no longer tied to duty roster.
“When I was working, I did not take many days for the celebration,” said Devika who now also took orders to make the favourite snack --  vada.
Having travelled to places like Switzerland, France, Turkey, Australia and Germany, Devika said she was planning to go to Ireland next year where her sister is staying.
“I plan to learn about flower arrangement and do social work for one and a half month.
“As I had been trained as a nurse before joining Bernama, doing social work like  caring for the aged is something that I look forward to,” said Devika, who is taking care of her 77 year-old mother.
“My father taught me to respect others, if you are sombong (arrogant), you will not go far,”  said the mother of three.
Devika said retirement did not mean an end for anyone but a new phase to move on in life.
“You don’t have to feel sad because you are now a pensioner and worry that you might have no income, there are opportunities if you are prepared to work on them,” she said.