Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini meraikan 115 warga kerjanya yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khidmat Lama 2017.
Anugerah itu disampaikan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain.
Seramai 13 warga kerjanya yang bakal bersara tahun ini termasuk Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Nor Faridah Abdul Rashid dan Pengurus Kanan Pangkalan Data dan Maklumat Korporat Rita Gomez turut diraikan pada majlis itu.
Terdahulu, Azman dalam ucapannya berkata kecemerlangan dan kualiti kerja yang baik perlu dijadikan teras kepada budaya kerja di organisasi tersebut.
Azman berkata warga Bernama khususnya di Jabatan Pengarang juga perlu sentiasa berusaha meningkatkan kualiti laporan berita mereka pada setiap hari serta aktif menghasilkan lebih banyak penulisan berita yang pelbagai.
Dalam pada itu, Zulkefli mengingatkan wartawan Bernama agar sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dan maklumat terkini serta baharu agar dapat menyampaikan maklumat yang lebih berkesan kepada masyarakat.
"Tugas menyampaikan berita dan maklumat kini telah diambil alih oleh hampir setiap individu melalui telefon pintar yang menyebabkan berlakunya lambakan maklumat kepada orang ramai dan mereka tidak mahir dalam memilih berita yang benar-benar sahih.
"Maka di sinilah Bernama memainkan peranan penting dalam menyampaikan berita yang sahih, tepat dan benar kepada masyarakat agar mereka tidak perlu keluh kesah dengan berita palsu," katanya.
"Saya boleh katakan semasa saya bekerja di sini, saya belajar banyak benda baharu setiap hari. Berilah yang terbaik semasa bekerja dan lakukanlah apa juga tugas anda dengan gembira, itulah yang akan menjadikan anda selesa dengan tugas anda," katanya yang bakal bersara pada Julai ini.
Penerima Anugerah Khidmat Lama Mohd Wahid Md Som, 60, berkata persekitaran kerja yang kondusif dengan keakraban rakan sekerja seolah-olah seperti saudara mara sendiri menjadi faktor beliau ingin menamatkan kerjaya di Bernama.
"Kepada golongan muda saya ingin menasihatkan agar laksanakan tugasan dengan penuh amanah dan tanggungjawab untuk memperoleh keberkatan dalam kerja masing-masing," katanya yang berkhidmat selama 41 tahun dan akan bersara pada Julai ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment