Langkah
kerajaan mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu bukan
disebabkan musim pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebaliknya sudah difikirkan
sejak lama, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said
Keruak.
Beliau
berkata langkah menangani penularan berita palsu amat tepat memandangkan
penyebaran berita sedemikian boleh menjejaskan keselamatan negara, keharmonian
masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
"Tidak sama sekali, tidak ada
kaitan (dengan musim PRU14). Memang sejak dahulu lagi kita (kerajaan) telah
memikirkan perkara ini (langkah mengkaji undang-undang membendung berita
palsu).
Memang kita ada beberapa
undang-undang sekarang ini seperti Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta
Hasutan, tetapi apabila mengenai berita palsu, ia boleh jejaskan keselamatan
negara, maka, penting bagi kita ada undang-undang khusus berkaitan,"
katanya kepada pemberita selepas melawat GegaRia Fest 2018 di Angsana Johor
Bahru Mall hari ini.
Salleh berkata seperti yang
diketahui umum, penularan berita palsu berleluasa di seluruh dunia dan banyak
negara sudah mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani hal tersebut.
Salleh berkata jika penularan
berita palsu tidak dikawal, sudah tentu ia akan merugikan negara dan rakyat
malah setiap individu sepatutnya menggunakan media sosial secara positif
seperti meningkatkan rangkaian sosial atau pendapatan ekonomi.
"Kerajaan mengambil keputusan
untuk tubuh jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk
membendung berita palsu itu yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Kita di Malaysia pun banyak yang
menjadi mangsa akibat berita palsu, sebab itu kerajaan ingin mewujudkan satu
akta khusus untuk berita palsu ini yang diharapkan dapat dibentangkan di
Parlimen pada sidang akan datang," katanya.
Menurut Salleh, pelan cadangan
undang-undang tersebut dijangka dibentangkan Azalina pada mesyuarat kabinet
akan datang untuk diteliti.
Mengikut rekod, Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima 1,203 aduan berkenaan berita palsu
dan kandungan palsu sepanjang tahun lepas manakala lebih 1,800 laman web,
portal dan blog telah disekat dalam tempoh sama kerana menyebar kandungan yang
mengelirukan serta boleh menjejaskan suasana harmoni di kalangan masyarakat
berbilang kaum, katanya.
Portal sebenarnya.my yang
dibangunkan SKMM sebagai pusat rujukan kesahihan berita tular pula merekodkan
15 juta pelawat sejak dilancar Mac tahun lepas.
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment