Wednesday, 4 December 2013

BK1MC Anjur Aktiviti Galak Guna Infolib...



Sempena cuti sekolah, Bernama Kid's 1Malaysia Club (BK1MC) hari ini menganjurkan aktiviti menggalakkan penggunaan Pusat Maklumat dan Perpustakaan (InfoLib) khusus untuk anak-anak petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Bertemakan 'Magic', aktiviti tahunan itu dihadiri kira-kira 50 kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur yang juga anggota kelab tersebut di Wisma Bernama.
Penyelaras BK1MC Hasnita Ibrahim berkata aktiviti itu antara lain bertujuan memupuk budaya membaca dalam diri kanak-kanak supaya sedar kepentingan amalan itu dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
"Dengan cara ini juga, anak-anak boleh berkomunikasi dan berkenalan dengan rakan-rakan yang lain," katanya.
Beliau berkata aktiviti lain yang turut diadakan ialah sesi perkongsian menimba ilmu di New York bersama penulis Iwan Ghazali, pertunjukan silap mata, dan pertandingan laman kreatif.
Lebih menarik, seramai 20 orang anak yatim dari Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminah, Seremban, Negeri Sembilan turut membuat persembahan sketsa dan tarian.
BK1MC dilancarkan pada 31 Julai 2010 sebagai satu bentuk pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat Bernama.

Ia memberi keutamaan kepada penyertaan anak-anak petugas dan anggota keluarga petugas Bernama berumur empat hingga 17 tahun.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment