Tuesday, 3 December 2013

Bernama Ungguli Pertandingan Tulisan Jawi Dan Sahibba ...



Kecintaan terhadap tulisan Jawi membantu seorang penyunting berita bahasa Arab di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memenangi Pertandingan Pantas Jawi anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Muhammad Mujahid Ishak, 24, mengalahkan 20 peserta lain yang mewakili pelbagai jabatan dan agensi di bawah KKMM dalam pertandingan yang diadakan bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013.
Setiap peserta dikehendaki mengeja 10 perkataan Melayu dalam tulisan Jawi dengan cepat dan tepat.
Wakil Bernama turut memenangi pertandingan Sahibba apabila Ketua Kewangan dan Akaun (Bernama TV), Zainal Abidin Ibrahim, 42, mengalahkan 23 peserta lain untuk muncul juara.
Mereka menerima hadiah wang tunai RM500 beserta sebuah komputer riba yang disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari pada pertandingan yang diadakan hari ini.
Pertandingan itu dianjurkan bersama oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Mujahid berkata beliau amat bersyukur memenangi pertandingan itu yang boleh menjadi platform bagi kakitangan dan pegawai KKMM belajar dan memperkasa tulisan Jawi.
"Saya berharap agar pertandingan seperti ini dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi supaya generasi masa kini lebih menguasai bahasa Melayu dan tulisan Jawi," kata Mujahid yang baru menyertai Bernama September lepas.
Pemenang kategori Sahibba, Zainal Abidin juga sependapat agar pertandingan seumpama itu diteruskan kerana ia berkonsepkan pembelajaran secara interaktif.
"Platform sebegini perlu diperluaskan ke peringkat yang lebih tinggi memandangkan pertandingan ini mampu memperkasa dan memperkaya lagi bahasa Melayu," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment