Tuesday, 19 November 2013

Meningkatkan kemahiran IT...



Kebanyakan pengguna internet sering mengalami kesukaran  mendapatkan maklumat dengan tepat melalui Google atau Yahoo.
Justeru, bengkel ‘Google-Fu’ diadakan di Pusat Kecemerlangan hari ini, antara lain, bagi menerangkan cara lebih mudah mencari maklumat yang dikehendaki dengan mengaplikasikan teknik yang berkesan.
Empat belas petugas termasuk Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Datuk Zakaria Abd.Wahab menyertai bengkel tersebut yang dikendalikan oleh Encik Mohamad Nizam Kassim, Penganalisa Kanan, Keselamatan Siber dari Cybersecurity Malaysia.
Tiga aspek utama dalam carian maklumat ditonjolkan iaitu ‘recall & precision’ yang menyentuh tentang keputusan carian  (search results); ‘look up & learn search modes’ mengenai teknik sesuai diguna manakala ‘right keyword’ memfokuskan ke atas tindakan kreatif individu mengenalpasti dan memperolehi maklumat dengan lengkap.
Peserta berpeluang mencuba ‘Google Advanced Video Search’ selain meneliti laman perkongsian video seperti You Tube. Dengan hanya menaip ‘keyword’ atau ‘command’ tertentu, maklumat terus diperolehi.
Carian maklumat ke atas personaliti dan saluran media sosial seperti blogspot, facebook dan Twitter serta rangkaian internet turut diterangkan oleh Nizam secara terperinci selain latihan tubi di kalangan peserta.
Memandangkan peserta memberikan maklum balas positif,  Encik Shamir, Ketua Komunikasi Korporat, Cybersecurity Malaysia bercadang mengadakan bengkel susulan. Kursus itu nanti akan mengambilkira aspek kesedaran dan langkah diperlukan dalam menangani isu penggodaman (hacking).
Beliau berharap Bernama bekerjasama dengan Cybersecurity memperluaskan lagi program kesedaran keselamatan kepenggunaan IT kepada orang ramai.
Menurutnya, Cybersecurity Malaysia memainkan peranan penting di peringkat global di mana sejak enam tahun kebelakangan, selaku Sekretariat Teknologi Maklumat OIC, ia telah melaksanakan pelbagai program ke arah keselamatan siber dalam kalangan negara–negara Islam.
Ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi reputasi Malaysia di kacamata dunia.              


(Laporan dan foto Syed Khedher Ismail)

No comments:

Post a Comment