Tuesday 10 December 2013

UNITAR minat usaha sama dengan BERNAMA



Universiti Antarabangsa UNITAR berminat menjalin usaha sama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) untuk menyusun sukatan pelajaran yang komprehensif berasaskan industri bagi Ijazah Sarjana Muda bidang Komunikasi universiti itu.
Pengarah Pejabat Komunikasi dan Kerjasama Strategik UNITAR, Sheikh Fahmy Sheikh Mohamed berkata universiti itu berharap dapat menggunakan kepakaran BERNAMA dalam bidang kewartawanan bagi menyediakan pengalaman pembelajaran sebenar berasaskan industri untuk pelajarnya.
Beliau berkata ini selaras dengan visi universiti itu bagi melahirkan graduan dan profesional berkaliber tinggi yang memenuhi jangkaan industri kerja.
Cadangan itu diutarakan Fahmy dalam satu pertemuan dengan Ketua Pengarang BERNAMA Datuk Zulkefli Salleh, yang mengetuai rombongan 18 orang melawat kampus baharu UNITAR di Kelana Jaya, Selasa.
Rombongan itu disertai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Amer Hamzah Md Sap, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Audio Visual Mokhtar Hussain, Editor Perkhidmatan Berita Am Khaidzir Md Yunus, Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Mikhail Raj Abdullah, Editor Perkhidmatan Audio Visual Abdul Rahman Ahmad dan Pengurus Kanan Pusat Kecemerlangan BERNAMA Syed Khedher Ismail.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak juga membincangkan kerjasama lain yang boleh diteroka pada masa akan datang.
Ini termasuk menyediakan program bagi mempertingkat kemahiran pensyarah UNITAR berkaitan inovasi terkini dalam dunia kewartawanan yang bergerak pantas.
BERNAMA juga menyambut baik cadangan UNITAR untuk melantik agensi berita itu sebagai satu daripada rakan kongsi bagi latihan industri kepada pelajarnya.
Sheikh Fahmy berkata Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dijadual dilancarkan pada tahun depan.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment