Monday, 21 May 2018

BERNAMA beri komitmen kepada kerajaan baharu

Para mantan pewarta Bernama di Jakarta berkumpul buat
 pertama kali pada majlis berbuka puasa Bernama hari ini.
Turut hadir Pewarta ANTARA di Kuala Lumpur Agus Setiawan
(tiga dari kanan)
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan berperanan lebih aktif dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada rakyat, sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan Pakatan Harapan membawa Malaysia ke tahap lebih baik.  
Menyatakan komitmen Bernama sebagai agensi berita nasional, Pengerusinya Datuk Seri Azman Ujang berkata pertubuhan itu akan menambah baik kualiti laporan berita khususnya dalam melaporkan pelbagai berita penting dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan baharu.
“Dalam suasana ‘Malaysia baharu’ ini, sudah tentu banyak berita yang besar akan diumumkan khususnya 100 hari pertama yang dijanjikan kerajaan.
“Kita bersedia berkhidmat sebaik mungkin dan semua kakitangan di pelbagai peringkat termasuk di negeri-negeri diberitahu supaya melakukan yang terbaik supaya hasrat kerajaan Pakatan Harapan untuk  membawa Malaysia ke tahap lebih baik akan tercapai dengan maklumat pemberitaan Bernama,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan sambutan ulang tahun Bernama ke-51 di Wisma Bernama, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab serta petugas Bernama.
Azman turut merakamkan ucapan tahniah kepada Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo atas pelantikannya sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu.
“Saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Gobind Singh, walaupun saya belum kenal beliau secara peribadi, kita merancang untuk mengadakan kunjungan hormat kepada beliau.
“Dengan pelantikan seorang ahli politik berkaliber seperti beliau, saya rasa dengan idea baharu oleh menteri baharu, ia akan memberi semangat baharu untuk terus bertugas,” katanya.
Sementara itu, Zulkefli berkata sebagai agensi kerajaan, Bernama akan berfungsi seperti biasa dan berkhidmat sebaik mungkin dengan kerajaan.
“Siapa pun yang dipilih oleh rakyat sebagai kerajaan, kita akan sebarkan maklumat kerajaan kepada rakyat sepertimana kita lakukan sejak 51 tahun Bernama beroperasi.
“Saya juga mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada YB Gobind (atas pelantikan), kita sedia bekerjasama dengan beliau,” katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment