Pertubuhan
Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus memainkan peranan penting bagi
pelanggan bukan media untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka
apabila dua unit daripada Jabatan Niaga
dan Pemasaran serta Bernama Radio
berjaya mencapai petunjuk prestasi (KPI) jualan pada tahun lepas.
Bahagian
Jualan Nasional, Pertubuhan Media dan
Pengurusan Acara (MREM) dan Bernama Radio masing-masing menerima sijil
kecemerlangan dalam satu majlis yang
disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh,
sebagai penghargaan di atas jasa serta sumbangan mereka.
Pengurus
Kanan Bahagian Jualan Nasional, Norena Wati Yaacob berkata, penghargaan yang
diberikan menjadi penyuntik semangat bagi semua petugas untuk bekerja dengan
lebih tekun bagi meningkatkan pendapatan Bernama.
“Tanggungjawab
sebenar petugas jualan dan pemasaran bukan hanya untuk mencapai KPI
masing-masing tetapi kami juga perlu
membawa pendapatan dan keuntungan kepada organisasi,” katanya.
Tambahnya,
mereka juga perlu merangka strategi yang
tepat dengan mendapatkan pelanggan baru serta menjalinkan kerjasama strategik
dengan pelbagai pihak.
Sehingga kini, pihaknya giat mengenal pasti bakal
pelanggan dan beliau yakin dengan imej yang dibawa oleh Bernama akan memberi
keyakinan kepada pelanggan untuk menjalin kerjasama bagi tempoh yang panjang.
Ujarnya, Bahagian Jualan Nasional menyasarkan
pendapatan sebanyak RM4.9 juta menjelang akhir tahun 2018.
"Dari
Januari hingga April tahun ini, kami telah memperoleh RM1.98 juta iaitu 40.45
peratus dan saya positif kami akan
berjaya melepasi jumlah yang disasarkan pada tahun ini berdasarkan usaha keras
yang ditunjukkan oleh semua petugas," katanya.
Norena
Wati berkata, pelanggan Bernama terdiri daripada kementerian, agensi di bawah
kementerian, entiti korporat dan badan bukan kerajaan seperti Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani, Pusat Pungutan Zakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),
Samsung dan Institut Diabetes Negara.
Mengimbas
kembali penubuhan bahagian itu pada 2009, Norena Wati berkata objektif Bahagian
Jualan Nasional adalah untuk membentangkan aspek jualan dan pemasaran produk
Bernama dengan cara bersepadu kepada
pelanggan berpotensi untuk meningkatkan pendapatan Bernama.
“Kami
membuat cadangan kepada pelanggan dengan membentangkan produk yang ditawarkan
dalam jumlah keseluruhannya, termasuk perkhidmatan yang diberikan oleh unit
lain seperti Perhubungan Media dan Pengurusan Acara (MREM), Perpustakaan
Bernama dan Perkhidmatan Infolink (BLIS), Berita News Channel (BNC) dan Bernama
Radio dan lain-lain, " katanya.
Beliau
berkata pada tahun ini, pihaknya akan menumpukan kepada sektor yang belum
diteroka seperti industri kecil dan sederhana, platform e-dagang, sektor
pendidikan, serta perbankan dan kewangan.
Sementara
itu, Pengurus Kanan MREM, Aniceta Ferns berkata pencapaian KPI pada tahun lepas
tidak bermakna unitnya kini sudah berada di zon selesa, sebaliknya penghargaan
yang diberikan oleh pihak pengurusan akan menjadi titik asas untuk bekerja
dengan lebih keras supaya penambahbaikan
sentiasa dapat dilakukan.
Katanya,
tiada rahsia strategi untuk mencapai KPI jualan selain daripada sentiasa
mengetahui perkembangan berita daripada dalam dan luar negara bagi mencari
pelanggan yang bersesuaian dengan perkhidmatan yang disediakan di Bernama.
Buat
Pengurus Pembangunan Perniagaan Bernama Radio, Raziyaza Mohammed pula, elemen
visual yang ditampilkan oleh Bernama Radio menjadi ciri unik untuk ditawarkan
kepada pihak pelanggan sekaligus membantu untuk membawa pendapatan kepada
organisasi dan Bernama Radio.
“Sejak
tahun lepas, kami menumpukan kepada media sosial di mana sesetengah segmen
disiarkan secara langsung di Facebook dan kami menjadikan ini sebagai kelebihan
untuk dijual kepada pelanggan sedia ada dan menarik pelanggan baru,” katanya.
Bagi
terus mendekati bakal pelanggan, Bernama akan mengadakan ‘Bernama Roadshow
2018’ tidak lama lagi.
Selain memperkenalkan produk dan perkhidmatan Bernama, acara itu bertujuan memberikan makluman mengenai program terkini yang disiarkan di BNC dan Bernama Radio.
--
BERNAMA