Saturday, 11 April 2015

Bernama Kaji Langkah Teruskan Operasi BTV



Pengurusan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sedang mengkaji beberapa langkah untuk membolehkan saluran TV berita Bernama TV (BTV) meneruskan siarannya seperti biasa.
Pengurusan BERNAMA mahu agensi berita nasional itu meneruskan siaran BTV 24 jam itu kerana ia merupakan satu platform efektif untuk penyebaran berita dan maklumat.
BERNAMA telahpun mengambil alih operasi BTV daripada syarikat Bernama TV Synergy Berhad (BRTV) Sdn Bhd sejak November 2011.
Sejak itu, kos operasi termasuk gaji pekerja BRTV tidak lagi dibayar oleh syarikat tersebut tetapi oleh BERNAMA yang memiliki saham 33 peratus sahaja dalam syarikat itu.
Usaha menerusi rundingan untuk BERNAMA memiliki sepenuhnya saham syarikat itu sejak pengambilalihan tersebut sehingga kini tidak berhasil.
"Berikutan itu kami sedang meneliti dan mempertimbangkan beberapa opsyen tentang status pekerja BTV yang di bawah syarikat tersebut" kata Pengurusan BERNAMA dalam satu kenyataan hari ini.
Siaran berita BTV kini dikurangkan kepada sekitar 12 jam sehari. Namun belum ada keputusan untuk "merehatkan" sementara siaran BTV termasuk pekerja syarikat BRTV yang terus berkhidmat.
Mengulas laporan sebuah portal berita kononnya pekerja BRTV akan diberhentikan dalam masa terdekat, ia adalah spekulasi semata-mata.
Sekalipun BERNAMA terpaksa memberhentikan sementara sepenuhnya siaran BTV tersebut atas sebab-sebab kewangan, namun pekerja terbabit masih diperlukan untuk menerbitkan beberapa kandungan baharu tv itu mulai dari sekarang agar mutu siaran berita dan program yang disajikan lebih menarik perhatian penontonnya apabila siaran dipulihkan kelak.
BERNAMA bercadang memulihkan kembali jumlah waktu siaran BTV apabila ia mempunyai peruntukan kewangan yang cukup untuk mentransformasi saluran tv berita tersebut. Beberapa program 'flagship' sedang dikaji untuk menjadikan tv itu lebih berdaya maju.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment