Friday, 18 April 2014

Tak perlu apologetik pertahan negara...

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pengamal media di negara ini supaya tidak bersifat apologetik dalam mempertahankan kepentingan nasional dan tanah air.
Beliau berkata ini kerana kewartawanan bertanggungjawab adalah yang membina, menjaga dan memelihara apa yang telah dibina sedangkan kewartawanan yang tidak bertanggungjawab adalah sebaliknya.
"Menjadi responsif kepada kepentingan nasional dan memajukannya adalah sebahagian daripada karakter media global.
"Apatah lagi dengan peledakan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, dunia jurnalisme yang menyaksikan kemunculan akhbar-akhbar dalam talian, penyebaran berita melalui twitter juga facebook, maka cabaran mempertahankan agenda nasional sesungguhnya menjadi amat besar," katanya ketika berucap merasmikan Malam Wartawan Malaysia 2014 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Petronas, di Petaling Jaya.
Muhyiddin berkata dalam perjalanan membina sebuah negara bangsa yang bersatu-padu, stabil, aman, makmur dan berjaya, peranan pengamal media yang bertanggungjawab adalah sangat penting.
"Biar secanggih mana teknologi yang digunakan dalam dunia kewartawanan baik di media cetak, elektronik mahupun portal-portal berita, etika serta tanggungjawab sebagai wartawan tidak pernah berubah," katanya.
Muhyiddin berkata arus permodenan tidak boleh menyanggah prinsip asas pemberitaan yang hakikatnya bersifat universal serta terpakai dahulu, kini dan selama-lamanya.
"Berita yang ditulis tidak boleh semberono, mesti berpaksikan fakta dan paling penting adil kepada subjek yang ditulis. Kesungguhan untuk memartabatkan profesion kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang adil, tepat, jujur dan sahih harus diberi tumpuan dan penekanan yang jitu.
"Tuntutan itu sejajar dengan peranan wartawan sebagai cerdik pandai yang tahu apa sebenarnya yang mereka ingin sampaikan," katanya.
Beliau turut mengingatkan pengamal media supaya tidak menjadi wartawan 'kering minda' atau yang popular kerana menulis berita tidak benar, mengejar sensasi dan didorong oleh agenda tertentu yang disebar pula kepada pembaca.
Beliau berkata peranan media bukan sekadar menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat malah turut terlibat dalam isu pendidikan, perkembangan ekonomi negara, politik semasa, kebudayaan dan hiburan.
"Tanggungjawab media dalam menyampaikan informasi, mendidik, membentuk jati diri masyarakat dan seterusnya menjadi ejen transformasi minda dalam kalangan masyarakat sehingga membentuk sesebuah masyarakat itu yang lebih bermoral, bermaruah dan berdaya saing, merupakan prinsip yang harus dipegang teguh oleh pengamal media," kata Muhyiddin.
Bagaimanapun, katanya apa yang melegakan dan membanggakan beliau adalah komuniti wartawan di negara ini, terutama dalam kalangan media arus perdana, mempunyai komitmen jitu untuk menjadikan prinsip kewartawanan bertanggungjawab sebagai pegangan mereka.
"Hal ini dapat kita saksikan dalam laporan mereka sewaktu kita menghadapi tragedi kehilangan pesawat MH370 yang sehingga sekarang masih kekal misteri, walaupun (operasi mencari) sudah memasuki hari yang ke-42 hari ini.
"Apabila kita meneliti kembali pendekatan kewartawanan dalam pelaporan MH370, kita akan dapati bahawa apa yang dipanggil standard antarabangsa dalam jurnalisme adalah sesuatu yang abstrak, tidak seragam dan tidak konkrit. Sebenarnya, tiada satu panduan yang jelas tentang standard tersebut," katanya.
Muhyiddin berkata laporan media mengenai MH370 juga tidak terkecuali daripada elemen patriotisme oleh wartawan negara yang terlibat dalam pencarian pesawat tersebut.
Semua wartawan daripada organisasi media yang berbeza itu diikat dengan unsur psikologi yang sama serta bersaing memaparkan kebenaran dengan objektif menyerlahkan aspirasi nasional masing-masing, katanya.
"Berdasarkan tingkah laku yang ditunjukkan oleh media-media dari pelbagai negara dalam melaporkan kehilangan MH370, kita harus sedar bahawa kepelbagaian itu adalah sesuatu yang bersifat global.
"Jadi, janganlah kita terikut-ikut dengan momokan kononnya wujud keseragaman atau standard tertentu kewartawanan. Kononnya set nilai antarabangsa perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh wartawan tempatan di mana-mana negara termasuk di Malaysia," katanya.
Muhyiddin turut memuji dan merakamkan penghargaan serta terima kasih kerajaan kepada semua wartawan dan media tempatan yang terlibat dalam melaporkan mengenai kehilangan MH370.
"Anda semua telah memainkan peranan masing-masing dan menjadi penyumbang kepada pembinaan negara bangsa. Adalah jelas bahawa kita bergerak melaksanakan tanggungjawab kepada audien dalam bentuk menyampaikan maklumat serta berjuang memaparkan kebenaran dengan suatu kesedaran nasional," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment