Agensi berita dan penyiaran
di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu lebih pantas dan
cekap menyebarkan maklumat untuk kekal relevan sebagai sumber utama maklumat
terutama daripada kerajaan.
Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi berkata sebagai
pembawa suara kerajaan, agensi seperti RTM dan Pertubuhan Berita Nasional
Malaysia (Bernama) perlu bergerak seiring dengan kepesatan teknologi maklumat
termasuk media sosial yang dilihat lebih menjadi pilihan pengguna sebagai
sumber utama maklumat mereka.
"Apa yang penting bagi KKMM atau Bernama itu sendiri adalah untuk pastikan
kita sentiasa relevan, 'current' dan 'real-time' (dalam menyebarkan sesuatu
maklumat).
"Dengan anjakan ini, kita lihat pada suatu hari nanti apabila rakyat ingin
maklumat yang rasmi mereka pasti akan memilih siaran kita," katanya kepada
pemberita ketika melawat Wisma Bernama hari ini.
Dalam masa sama, Abdul Rahim mengingatkan pengguna Internet dan media sosial
supaya bijak menilai maklumat dan menafsir fakta yang diperoleh bagi memastikan
perkara itu benar-benar sahih.
Katanya media sosial harus berperanan membawa kebaikan, bukannya dieksploitasi
sehingga menjadi alat yang boleh memecah-belah dan menimbulkan kekeliruan dalam
kalangan rakyat.
Lawatan sulung Abdul Rahim ke Bernama sejak berpindah ke KKMM dari Kementerian
Dalam Negeri turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha I KKMM Datuk Mohid
Mohamed.
Terdahulu, Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong menyampaikan taklimat
mengenai operasi Bernama kepada Abdul Rahim, diikuti lawatan ke bilik berita
Jabatan Pengarang, Radio24 Bernama dan BernamaTV.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment